RENCANA

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Mempopularkan lagu patriotik

SIAPA agaknya yang akan menjadi pencetus kepada lagu-lagu patriotik seperti Tanah Pusaka, Malaysia Berjaya, Sungai Pahang atau Bahtera Merdeka untuk berada di tengah masyarakat? Ketika ini lagu patriotik dilihat sebagai antik. Ia tidak dibawa kepada rakyat dan dibalut dengan imej elit.

Ini telah menjarakkan rakyat dengan lagu-lagu yang sepatutnya menjadi nyanyian jiwa mereka setiap hari. Lagu patriotik diberi kedudukan yang sangat elit hingga semacam tidak sesuai untuk berada di dalam semua lapisan rakyat.

Semua pihak perlu mengubah imej elit ini dan menjadikan lagu patriotik akrab dengan jiwa rakyat. Kalau Raihan bertanggungjawab membawa nasyid menongkah arus, Noraniza dan Siti Nurhaliza membawa lagu tradisional, giliran siapa pula untuk membawa lagu patriotik?

Melihat kedudukan lagu nasyid dan lagu tradisional yang jauh lebih baik berbanding dulu, tidak ada sebab lagu patriotik tidak boleh berada pada kedudukan yang sama.

Memberi pendekatan popular serta memperluaskan definisi patriotik perlu bagi sesebuah karya muzik itu menjadi sebahagian daripada keperluan sosial rakyat. Selepas menjadi keperluan barulah timbul penghayatan terhadap nilai-nilai yang dibawa dalam lagu.

Pertandingan mencipta lagu patriotik diadakan setiap tahun ketika menjelangnya ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos. Setiap kali pertandingan sekurang-kurangnya sepuluh lagu terbaik ditemui dari sekian banyak yang menyertai pertandingan itu.

Tetapi selepas pertandingan berlalu, lagu yang menjadi juara misalnya turut hilang. Tahun berikutnya muncul lagi lagu terbaik yang baru dan ia pun turut hilang. Begitulah rutin satu acara yang kelihatan `patriotik' sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Secara rambang kita sebenarnya mempunyai banyak lagu-lagu yang bertemakan patriotik. Malah usaha menambah bilangan lagu patriotik juga sudah menjadi semacam agenda ulang tahun kemerdekaan. Tetapi masalahnya ia dilakukan tanpa hala tuju yang jelas.

Semua orang menganggap lagu patriotik penting bagi menyemai rasa bangga dan menghayati tanah air. Tetapi usaha untuk membawa lagu patriotik kepada rakyat seterusnya menjadi menu dalam mengisi tuntutan sosial amat rendah.

Kenapa lagu-lagu patriotik tidak mampu berada di dalam arus perdana muzik tempatan? Adakah kerana generasi hari ini merasakan era menyemarakkan semangat patriotik sudah berlalu atau sememangnya mereka tidak berpeluang menghayati definisi patriotik yang lebih luas?

Adakah lagu patriotik tidak boleh dijelmakan dalam pendekatan yang popular dan mempunyai unsur-unsur kontemporari yang boleh menarik perhatian?

Pendekatan lagu nasyid dan lagu tradisional perlu dibuat kepada lagu patriotik. Telah terbukti pendekatan popular mampu membina laluan baru yang luas untuk lagu-lagu seperti ini sampai kepada rakyat.

Kalau nasyid boleh berubah daripada imej produk kedai menjual kitab ke Tower Record, sebuah pusat menjual lagu dari seluruh dunia di Kuala Lumpur, ini bermakna nasyid telah teranjak dari kedudukan asalnya.

Lagu nasyid menjengah ke dunia yang lebih besar dengan adanya usaha mempopularkan lagu tersebut. Di sini pentingnya pendekatan popular serta strategi promosi yang proaktif hingga meletakkan lagu berkenaan pada tangga yang teratas dalam industri muzik.

Antara kaedah untuk mempopularkan lagu patriotik ialah dinyanyikan oleh penyanyi popular dan rakaman dengan menggunakan teknologi terkini. Memang pendekatan ini sedikit sebanyak kelihatan memancing khalayak dengan penyanyi popular.

Tetapi tentu tidak ada salahnya kalau penggunaan penyanyi popular dan gubahan yang lebih kontemporari menjadi pemangkin untuk membawa lagu patriotik kepada khalayak.

Pada masa yang sama definisi patriotik perlu diperluaskan seperti pencipta tersohor Indonesia Gesang menyemai patriotisme dengan lagu Bangawan Solo atau Ismail Marzuki dengan Melati Di Tapal Batas. Di negara kita ada lagu Tanjung Puteri yang melukiskan keindahan tanah air ini. Patriotik bukan saja perjuangan tetapi menyemarakkan kecintaan kepada tanah air.

Tidak lama dulu penyanyi Aishah telah mengangkat kembali lagu Bahtera Merdeka dengan pendekatan yang lebih popular. Bahtera Merdeka menjadi nyanyian anak-anak muda kerana melodi yang merdu, seni katanya indah dan dinyanyikan oleh penyanyi popular.

Kecenderungan RTM menyiarkan lagu-lagu patriotik sebagai selingan dilihat sebagai langkah yang boleh mempopularkan lagu patriotik. Ini tentunya lebih baik daripada klip video lagu Barat yang menjauhkan kita dengan manusia, alam dan tanah air ini.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum