RENCANA

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Menghargai wira-wira senyap

DALAM kehidupan harian sering kita kedengaran wira-wira yang telah berjasa dan mengharumkan nama negara.

Akan tetapi tahukah kita dalam kehidupan masyarakat yang hampir dengan kita juga terdapat ramai orang yang banyak menyumbangkan khidmat kepada masyarakat tetapi mereka ini tidak pernah disebut-sebut kerana mereka ini menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai memenuhi kehendak hidup bermasyarakat.

Peristiwa ini berlaku baru-baru ini di sebuah taman perumahan di Seremban. Pada hari minggu ketika penduduk sedang berehat, mereka dikejutkan dengan berita kematian salah seorang saudara penduduk tempatan.

Seperti biasa, tanggungjawab bermasyarakat ialah menziarahi keluarga yang meninggal dunia dan belum pun ramai yang berkumpul, mereka yang berkunjung diberitahu mangsa yang meninggal adalah pembawa HIV.

Walaupun masyarakat di sekelilingnya rata-rata mereka yang berpendidikan, majoritinya tidak tahu bagaimana hendak menangani masalah ini, kerana selama ini mereka menyangkakan perkara ini tidak akan berlaku di tempat mereka.

Waris si mati telah dibawa ke balai polis untuk mendapatkan keterangan lanjut, mereka telah dinasihati untuk merujuk ke Hospital Seremban.

Hospital Seremban mengatakan kes ini terpaksa dirujuk ke Pusat Kesihatan kerana mangsa meninggal dunia di luar hospital. Pihak hospital telah membantu menghubungi salah seorang pegawai kesihatan yang tidak bertugas (kemungkinan on-call) dan dia iaitu En. K Mariapan telah dapat dihubungi ketika sedang membeli-belah. Waris si mati tadi telah dapat berjumpa dengan Mariapan di pusat membeli-belah.

Mariapan dengan tenang telah menjelaskan kepada si waris apa yang patut dilakukan dan dia mengatakan dia akan datang membawa peralatan untuk membawa si mati ke hospital untuk pengurusan jenazah.

Dalam pada itu Mariapan telah menghubungi pekerja bilik mayat sebagai persediaan dan memberi nombor telefon imam yang menguruskan mayat dan pengebumian.

Salah seorang penduduk tempatan telah memanggil kenderaan jenazah Jabatan Agama Islam untuk membawa si mati ke hospital. Pada mulanya pemandu kenderaan jenazah tadi agak keberatan untuk membawa si mati.

Sekali lagi Mariapan telah meyakinkan pemandu bahawa peralatan (polibeg khas) yang dibawa mencukupi untuk membawa si mati.

Walaupun sudah menjadi tugas Mariapan untuk mengendalikan kes sebegini, pujian harus diberikan kepadanya kerana dia sanggup meluangkan masa hari minggu menunaikan tanggungjawab tanpa keluhan dan muka berkerut.

Mariapan, pemandu kenderaan jenazah, imam yang menguruskan jenazah, penggali kubur, kakitangan hospital dan masyarakat setempat adalah merupakan wira-wira yang tidak dikenali (the unsung heroes), kerana jika sekiranya kes sebegini tidak ditangani dengan berkesan ia akan membawa padah yang lebih teruk.

Di antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa ini ialah :

1. Apabila berlaku kematian, masyarakat harus membantu tanpa mengenal erti batas perkauman.

2. Tahap kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS masih lagi rendah, terutamanya bagaimana hendak berinteraksi dengan mangsa dan keluarga mangsa.

3. Masyarakat tidak harus menyisihkan diri daripada keluarga yang ditimpa masalah ini.

4. Keluarga yang ditimpa masalah ini haruslah bersabar dan menerimanya sebagai kehendak Tuhan dan tidak merasa rendah diri atau tersisih.

5. Masyarakat haruslah berganding bahu dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam menangani masalah ini mengikut fahaman agama dan budaya masyarakat tersebut.

6. Sikap tegur menegur, tolong-menolong, nasihat-menasihati dengan cara yang baik antara semua golongan tidak kira tua muda, tidak kira kaum, tidak kira agama dan tidak kira fahaman politik haruslah dihidupkan terutamanya berkaitan dengan gejala sosial, maksiat dan sebagainya.

7. Jangan kita menyangka perkara sebegini tidak berlaku di kawasan kediaman kita. - ROZMAL MALAKAN, Seremban, Negeri Sembilan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum