RENCANA

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Daripada alam, bahasa membentuk buku

Oleh:MOHAMAD RADZI MUSTAFA
PANDANGAN umum tentang bahasa ialah ia dilihat sebagai satu alat untuk komunikasi. Fungsi bahasa untuk komunikasi sememangnya dapat dilihat dengan jelas. Saya sedang menggunakan bahasa untuk menyampaikan kepada pembaca hasrat saya menulis artikel ini.

Walaupun demikian, ciri komunikasi ini adalah struktur terpendam yang dipunyai oleh semua benda (seperti batu, angin, daun, kucing dan sebagainya) yang wujud dalam alam semesta yang berhubungan. Ciri bahasa yang lebih lengkap adalah cerminan kepada perhubungan-perhubungan yang wujud dalam membentuk alam realiti yang bebas daripada ilham manusia.

Jika bahasa dianggap sebagai alat komunikasi semata-mata kita gagal menunjukkan ciri-ciri bahasa yang sebenarnya. Segala sesuatu yang dapat dilihat difikirkan oleh manusia purba terungkap pada bahasa yang dizahirkannya.

Komunikasi di antara manusia purba sudah pun wujud dalam bentuk syarat yang digelar mimesis, iaitu penggunaan anggota-anggota badan dalam mengisyarat persepsi penutur kepada pendengar purba.

Setelah timbulnya bahasa, ia berperanan lebih berkesan daripada isyarat anggota pada keadaan tertentu dan akhirnya, menggantikan isyarat sebagai proksi persepsi utama (antara kebaikannya ialah pada waktu malam isyarat anggota tidak dapat dilihat sedangkan bahasa hanya perlukan pendengaran dan bahasa dapat dibawa ke mana-mana tanpa membawa penuturnya sekali).

Penzahiran perkataan-perkataan mencerminkan apa yang wujud dalam realiti manusia purba seperti objek-objek dalam persekitarannya.

Perkataan-perkataan ini akan kekal jika makna setiap perkataan tersebut dipersetujui bersama oleh penutur-penutur purba dan jika tidak terdapat persaingan daripada bahasa lain (sebagai contoh pinjaman kata asing kerana paksaan seperti penaklukan oleh puak lain).

Andaian-andaian ini dapat dibuat kerana sehingga sekarang andaian-andaian ini masih sebahagian besarnya menjadi ciri-ciri utama perkataan, iaitu kebanyakan perkataan mempunyai rujukan dalam alam semula jadi, terhasilnya kamus untuk tujuan perkongsian makna dan terdapat penggunaan bahasa asing dalam bahasa asal.

Oleh itu, bahasa yang digunakan dalam kertas kerja ini bukan sahaja untuk berkomunikasi tetapi lebih penting, mencerminkan struktur realiti yang telah sedia wujud bebas daripada penutur.

Ciri penyalinan yang mewujudkan kepelbagaian dalam alam biologi pada pendapat saya dapat ditemui dalam pembentukan konsep dan bahasa. Seperti yang dinyatakan di atas, bahasa purba adalah cerminan realiti.

Saya mencadangkan setiap perkataan yang dizahirkan oleh penutur purba adalah isomorfik (berpadanan) dengan realiti yang menggerakkan penyalinan realiti tersebut pada mulanya.

Sebagai contoh perkataan `kokok' dan `ngaum' mencerminkan objek-objek yang meyebabkan manusia purba `menyalin' kembali apa yang dilihat mereka ke dalam bentuk imej bunyi.

Penyalinan isomorfik ini saya percaya berlaku di dalam semua bahasa di dunia. Dalam bahasa Inggeris kita menemui perkataan pop, purr, hush, thud dan sebagainya.

Penyalinan ini tidak seharusnya meniru bunyi binatang atau objek-objek dalam realiti seperti deruan air atau gemersik daun tetapi bunyi-bunyi bahasa juga isomorfik dengan gerak laku atau kedudukan dalam ruang.

Sebagai contoh bunyi yang terhasil daripada pembentukan rupa bentuk mulut untuk membunyikan perkataan-perkataan yang menandakan jarak jauh seperti `nun', `tu'.

Kewujudan perkataan baru dalam dunia pengkomputeran dapat juga digunakan sebagai contoh. Terdapat banyak perkataan-perkataan baru untuk membolehkan penyampaian maklumat dibuat dalam penggunaan Internet. Contoh yang jelas ialah perkataan dot.com. Perkataan ini adalah kata adjektif yang membawa maksud `yang berkaitan dengan dunia siber'.

Oleh itu jika disebut dot.com companies, ini akan membawa maksud syarikat yang menjalankan urus niaga dalam dunia siber.

Penzahiran perkataan ini berkait dengan kewujudan sesuatu konsep dalam alam realiti sama ada yang dapat dilihat secara fizikal atau yang dapat diilhamkan.

Walaupun frasa dot.com companies tidak menyalin kembali realiti seperti kata-kata silam `ngaum' dan `kokok', frasa ini masih terikat dengan realiti kerana ia diwujudkan untuk mengungkapkan suatu idea yang lahir daripada realiti iaitu, satu dunia baru di mana penggunaan perkataan tersebut akan memberi pemahaman kepada penutur dan pendengar yang biasa dengan dunia Internet.

Kesimpulannya, penzahiran bahasa mempunyai lojiknya sendiri di mana ketika penzahirannya berpuluh ribu tahun yang lalu perkataan-perkatan yang dizahirkan adalah isomorfik dengan pengalaman manusia purba dalam persekitarannya.

Penciptaan yang isomorfik ini pula terhasil oleh sebab memang terdapat persamaan secara semula jadi di antara objek-objek dalam malam ini.

Seterusnya, ini mendasari pengeluaran imej bunyi oleh manusia purba yang berpadanan dengan fenomena-fenomena realiti.

Jika kita menganggap bahasa itu dizahirkan manusia purba berpuluh ribu tahun yang lalu, kita dapat lihat peranan yang dimainkan oleh metafora dalam mewujudkan konsep-konsep dan seterusnya bahasa.

Kajian-kajian dalam sains kognitif menunjukkan bahawa metafora bukanlah hanya melibatkan kesusasteraan sahaja tetapi ia dianggap sebagai mekanisme dasar cara mana otak manusia berfungsi.

Kenyataan ini perlu diberi perhatian sewajarnya. Bertitik tolak daripada kenyataan ini, saya beranggapan metafora adalah lebih asas daripada bahasa literal, malah bahasa dizahirkan menggunakan mekanisme metafora.

Ini seharusnya terjadi oleh sebab terdapat persamaan dalam realiti antara domain-domain yang berbeza seperti yang dibicarakan di atas.

Sebelum manusia purba dapat mengungkapkan persamaan di antara domain-domain dalam realiti seperti yang telah dilihat dalam penggunaan bahasa figuratif metafora, bahasa perlu dizahirkan dahulu.

Ini hanya mungkin jikalau imej bunyi yang dizahirkan oleh manusia purba dapat dipetakan kepada aspek-aspek realiti yang telah sedia wujud.

Pemetaan ini seterusnya hanya dapat dicapai jika terdapat persamaan di antara bunyi imej dan realiti atau dalam perkataan lain, jika bahasa isomofik dengan realiti.

Jikalau bahasa figuratif lain digunakan untuk memeta kejadian-kejadian yang wujud dalam realiti atau yang terilham akibat kesan psikologi penutur, metafora mengenal pasti sesuatu makna yang sebelum itu tidak dizahirkan oleh bahasa.

Pengenalpastian ini akan mempengaruhi cara mana penutur dan pendengar melihat dan memahami realiti dan memahami realiti. Sesuatu makna yang baru terhasil disebabkan metafora adalah didasari oleh realiti.

Dalam perkataan lain, makna baru ini mungkin satu aspek yang belum kelihatan sebelum ini kerana tumpuan adalah pada aspek-aspek lain.

Contoh cara mana sejarah menunjukkan perbezaan metafora daripada bahasa figuratif lain dalam menghasilkan konsep dan bahasa baru ialah penggunaan perkataan `hati'.

Hati ialah sebuah organ yang terdapat dalam badan manusia dan juga haiwan. Saya tidak pasti apakah makna silam perkataan `hati' yang telah diwujudkan oleh manusia purba. Namun, berkaitan dengan organ ini Kamus Dewan memberi makna sebagai organ yang ``.... berwarna kemerah-merahan terletak dalam perut di bahagian sebelah kanan...'' (dipanggil liver dalam bahasa Inggeris) atau jantung (dipanggil heart dalam bahasa Inggeris).

Melihat ciri jantung yang bergerak (ia berdegup), makna jantung dirasakan lebih primitif daripada liver kerana sesuatu yang bergerak dalam badan manusia bagi manusia purba mesti mempunyai keistimewaan.

Saya cadangkan manusia purba percaya di sinilah terletak pusat kehidupan yang menyebabkan manusia dapat hidup dan berkeupayaan mengetahui alam sekelilingnya, iaitu mempunyai ilmu.

Jika ini menjadi pemahaman manusia purba adalah amat sesuai jikalau seterusnya tercipta perkataan `perhatikan' untuk menyatakan perbuatan melihat dan oleh itu, memahami apa yang dilihat.

Konsep `perhatikan' memberi penutur satu makna tertentu yang sebelumnya tidak wujud untuk penutur tersebut dalam bentuk imej-bunyi atau perkataan. Setelah terzahirnya perkataan ini, penutur dan pendengar yang memahaminya telah mempunyai satu persepsi baru tentang konsep `perhatikan' yang akan mengawal cara mana mereka memahami realiti.

* MOHAMAD RADZI MUSTAFA, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bandar Sri Iskandar, Perak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum