RENCANA

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Belajar memahami agama lain

DALAM sesebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada berbagai bangsa dan agama, selain daripada wujudnya fenomena Islamophobia, wujud juga fenomena Aslamaphobia. Kalaulah Islamophobia itu rasa curiga dan takutnya masyarakat bukan Islam terhadap kebangkitan Islam, Aslamaphobia pula adalah satu fenomena di mana umat Islam merasa fobia terhadap sebarang usaha untuk merapatkan jurang kefahaman orang bukan Islam terhadap agama Islam.

Sebenarnya ini merupakan satu sikap atau perangai yang merugikan. Ia adalah antara penghalang utama untuk mempraktikkan ajaran agama Islam dengan lebih meluas dan mendalam.

Persekitaran yang kondusif adalah penting bagi melahirkan sifat menyesuaikan orang bukan Islam terhadap keinginan kita untuk mengamalkan ajaran Islam.

Persekitaran kondusif hanya akan lahir jika masyarakat bukan Islam diberi peluang untuk memahami hakikat Islam yang sebenarnya.

Apabila umat Islam berjaya mempamerkan keindahan Islam dalam bentuk sumbangan yang konstruktif terhadap kepentingan bersama, masyarakat bukan Islam akan lebih bersimpati terhadap keperluan kita. Bahkan mereka akan merasa satu kerugian jika keperluan tersebut tidak diperuntukkan.

Contoh semasa adalah penyediaan surau ataupun ruang solat di dalam bangunan pusat beli-belah di negara kita yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Begitu juga dengan para peniaga bukan Islam di Malaysia yang cenderung memohon untuk diiktirafkan produk mereka sebagai `halal'. Mereka akan merasa rugi jika keperluan orang Islam itu tidak mereka penuhi.

Skop `kepentingan bersama' ini juga dapat kita luaskan kepada pelbagai aspek lain dalam kehidupan di platform nasional. Pihak pemerintah sendiri telah melahirkan keprihatinan mereka terhadap penyisihan masyarakat Melayu, seperti tiada perwakilan Melayu yang secukupnya dalam arena utama kehidupan.

Kekhuatiran ini menggambarkan bahawa penyisihan masyarakat Melayu daripada arus nasional akan merugikan masyarakat Malaysia dan akan menjejaskan perkembangan sosial selanjutnya.

Contoh mudah sering berlaku ialah apabila majlis tertentu yang melibatkan kakitangan Islam dimulakan pada pukul tujuh malam. Kakitangan Islam merasakan bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak mengambil peduli akan keperluan untuk menunaikan solat. Mereka terpaksa menarik diri daripada menghadiri majlis tersebut, semata-mata untuk mengelak daripada terlepas waktu solat.

Sementara itu, mereka yang bukan Islam pula merasa hairan mengapa ramai kakitangan dan tetamu Islam sering memberi sambutan dingin terhadap majlis-majlis mereka. Perkembangan ekstrem yang mungkin muncul ialah kecurigaan masyarakat bukan Islam kepada kesungguhan orang Islam untuk menjalin hubungan mesra dengan mereka.

Bagi pihak lain pula, orang Islam berprasangka masyarakat bukan Islam sengaja tidak mahu memenuhi keperluan orang Islam. Jelaslah bahawa jurang kefahaman yang luas telah membangkitkan kepada satu keadaan tegang dan tidak sihat.

Sebenarnya jurang kefahaman antara agama boleh diselesaikan dengan adanya sikap saling faham memahami antara satu sama lain dan juga melalui perbincangan-perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

Kita boleh memanfaatkan orang bukan Islam, walaupun dalam kerja dakwah, sekiranya tiada kemudaratan daripada kerjasama tersebut.

Terdapat banyak contoh sirah, Rasulullah s.a.w sendiri telah melakukan sedemikian bagi kepentingan Islam.

Pelbagai pakatan yang dibuat Rasulullah s.a.w dengan orang bukan Islam, termasuk dalam peperangan melawan orang kafir, bagi menjaga kepentingan bersama. Pemanfaatan tawanan bukan Islam untuk mengajar anak-anak orang Islam membaca dan menulis.

Yang paling jelas sekali adalah perlindungan Abu Talib kepada dakwah Rasulullah s.a.w daripada ancaman Quraisy sepanjang hayatnya. Ini menunjukkan bahawa walaupun berterusan sentimen memusuhi dan memerangi Islam, kita disuruh untuk mempunyai sikap sederhana dan tidak boleh bertindak sehingga kehilangan sumber bukan Islam yang berpotensi untuk menjayakan misi Islam yang sememangnya bersifat kebaikan bagi manusia sejagat.

Berdasarkan sirah tersebut, menunjukkan kepada kita bahawa di kalangan orang bukan Islam, ada yang mampu menjadi aset penting bagi dakwah sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan kepada agama.

Oleh yang demikian, antara strategi dakwah yang harus kita lakarkan ialah meraih manfaat yang sepenuhnya daripada golongan tersebut.

Saranan pendekatan cabaran utama umat Islam bagi merapatkan jurang kefahaman tersebut adalah untuk mengenal pasti pendekatan yang proaktif yang dapat memberikan kefahaman yang lebih mendalam dan betul kepada masyarakat bukan Islam terhadap agama kita.

Ia dapat memangkin pembentukan persekitaran yang sihat. Jelas bahawa pendekatan tersebut harus berlaku dalam suasana yang penuh muhibah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Sebarang pendekatan yang berbentuk konfrontasi dan agresif hanya akan melahirkan lebih banyak kecurigaan dan melebarkan jurang kefahaman tersebut.

Selain memastikan `duta' Muslim yang secukupnya di pelbagai arena penting kehidupan awam, antara pendekatan lain yang patut kita berikan tumpuan ialah melancarkan program-program yang dapat meningkatkan kefahaman orang bukan Islam terhadap agama kita, sama ada melalui sesi dialog, perbincangan bersama, pertemuan tidak formal semasa makan atau minum dan sebagainya.

Selain itu menganjurkan program bersama dengan orang bukan Islam yang dapat memberikan faedah bersama. Secara konsisten dan berterusan memperbetulkan setiap salah faham ataupun laporan media yang berat sebelah mencemari imej Islam.

Memberikan komentar ataupun pandangan Islam terhadap perkembangan, trend ataupun polisi tertentu yang mempunyai kesan terhadap masyarakat umum.

Kita harus menyokong dan membantu kepada perkara yang positif dan sebaliknya menyarankan alternatif Islam kepada perkembangan yang negatif. - MOHD. SHUKRI HANAPI, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Pulau Pinang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum