RENCANA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Kelonggaran syarat hartanah rancakkan ekonomi

Oleh: KHAIRUDDIN MOHD AMIN (Wartawan Utusan)
Keputusan kerajaan membenarkan rakyat asing membeli semua jenis hartanah berharga lebih daripada RM250,000 rata-rata disambut baik oleh semua pihak kerana tindakan tersebut dilihat boleh membantu membaiki pasaran hartanah tempatan.

Pertumbuhan pasaran hartanah tempatan, khususnya bagi kategori ruang pejabat, dijangka menerima manfaat paling besar daripada kelonggaran syarat itu.

Bagaimanapun, yang dipersoalkan ialah apakah kesan yang mungkin diterima oleh penduduk tempatan dengan pengumuman itu.

Secara logik, sudah tentu terdapat peningkatan permintaan terhadap premis kediaman mewah yang mungkin akan menyaksikan pemaju hartanah lebih cenderung membina banglo berbanding rumah kos rendah dan sederhana.

Ia mungkin terjadi kerana sebelum ini masalah kecenderungan pemaju membina rumah mewah sering diutarakan oleh media.

Menerusi ucapan dan gesaan, para pemimpin sering meminta pemaju hartanah supaya tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka dengan terus membina rumah kos rendah dan sederhana.

Bagi warga asing untuk membeli rumah yang berharga RM250,000 ataupun AS$65,789 bukannya mahal dan bagi rakyat Singapura pula kelonggaran tersebut menyaksikan mereka hanya perlu mengeluarkan kira-kira S$125,000 untuk memiliki kediaman di negara ini.

Berapa sangatlah nilai AS$66,000 atau S$125,000, lebih-lebih lagi apabila gaji mereka dibayar dalam nilai dolar Amerika Syarikat.

Yang dikhuatiri ialah harga rumah yang sememangnya mahal di Johor Bahru, malah lebih mahal daripada Kuala Lumpur, akan terus menghantui penduduk bandar raya itu untuk memiliki rumah impian, yang rata-rata mahukan rumah kos sederhana.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan kelonggaran garis panduan pelaburan asing untuk menggalakkan lebih banyak warga asing membeli hartanah di negara ini dalam usahanya menangani kemuraman ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat asing kini dibenarkan membeli semua jenis unit kediaman, rumah kedai, ruang pejabat dan ruang perniagaan yang terdiri daripada bangunan lama dan projek baru berharga lebih RM250,000 tanpa perlu menubuhkan sebuah syarikat dengan penyertaan ekuiti tempatan.

Beliau berkata, semua pembelian tersebut juga dibenarkan dibiayai daripada sumber kewangan dalam negara berbanding kelonggaran sebelum ini yang menetapkan pembiayaan hendaklah melalui sumber kewangan luar negara.

Apa yang mungkin boleh dilakukan oleh kerajaan ialah mengenakan kuota dengan jumlah nisbah tertentu membina rumah mewah kepada rumah kos rendah dan sederhana ke atas pemaju perumahan.

Bagaimanapun kuota itu perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan masalah lebihan bekalan kerana pemaju yang terlalu ghairah membina rumah kos mewah akan terjerat kerana dalam masa yang sama mereka juga terpaksa membina rumah kos rendah dan sederhana.

Ini akhirnya akan merugikan pemaju itu sendiri.

Masyarakat boleh berkata, jika pemaju mempunyai tanggungjawab sosial sudah pasti masalah kekurangan rumah kos rendah dan sederhana tidak akan timbul.

Memang ada pemaju yang mempunyai tanggungjawab sosial namun secara realiti, bukan mudah untuk menerapkan amalan tersebut kepada semua pemaju yang terdapat di negara ini.

Perlu diingat seseorang tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimilikinya dan ini adalah sifat manusia.

Selagi sikap itu tertanam di hati pemaju, selagi itu masalah membina rumah kos rendah dan sederhana akan wujud.

Pemaju tidak boleh dipersalahkan kerana sebagai seorang ahli perniagaan mereka perlu menjana keuntungan untuk terus hidup dan mengembangkan perniagaan sedia ada.

Tindakan untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran hartanah tempatan adalah dialu-alukan oleh semua pihak namun ia perlu dilakukan berhati-hati bagi memastikan orang ramai tidak menghadapi masalah untuk memiliki kediaman.

Apalah ertinya jika pasaran hartanah tumbuh pesat menerusi pembelian daripada warga asing tetapi rakyat sendiri menghadapi kesukaran mendapatkan tempat berlindung.

Bagaimanapun sekadar untuk renungan, seorang ejen hartanah yang dihubungi semalam berkata, warga asing yang datang ke negara ini mempunyai `kehendak tertentu' terhadap hartanah.

Beliau yang menghuraikan `kehendak tertentu' bermaksud ruang pejabat, manakala premis kediaman pula lebih menjurus kepada banglo.

``Bagi ruang pejabat yang kini mempunyai lebihan bekalan ini (pengumuman) boleh katakan ia satu berita baik (kepada pemaju),'' katanya.

Bagaimanapun masih terdapat kesan positif dengan kelonggaran yang diberikan itu apabila warga asing akan melakukan pelaburan di Malaysia dengan membeli kediaman di negara ini.

Bagi warga asing yang akan menghabiskan masa yang panjang di sini, mereka akan dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membayar sewa dan menjualnya apabila pulang ke negara masing-masing, dengan kata lain sekurang-kurangnya wang yang dilaburkan itu akan diperoleh semula.

Malahan pulangan yang diterima daripada penjualan semula rumah yang dibeli itu dijangka lebih tinggi kerana pada kebiasaannya harga rumah tidak akan jatuh.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum