RENCANA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Belanja kembangkan pasaran

Oleh:ROKIAH TALIB
SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang menyeru orang ramai berbelanja adalah langkah untuk memulihkan ekonomi yang lembap akibat keadaan ketidaktentuan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun. Seruan yang sama telah dibuat oleh Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Selain itu antara langkah yang diambil untuk menggalakkan orang ramai berbelanja ialah dengan mengurangkan dua peratus daripada 11 peratus caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Namun reaksi daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk berpiket sebagai membantah pengurangan caruman mereka menjadikan syor itu dipinda. Sebagai jalan tengah arahan ini telah dilonggarkan dengan memberi pekerja pilihan untuk mengurangkan atau terus mencarum sebanyak 11 peratus, seperti diperuntukkan di bawah Akta KWSP.

Seruan kerajaan untuk mengurangkan caruman kepada KWSP dan pekerja boleh menggunakan wang itu untuk berbelanja, dibantah oleh MTUC dengan menyatakan mereka lebih suka menabung untuk hari tua dan tidak perlu wang yang lebih untuk berbelanja. Sebenarnya kalau pun pekerja mengurangkan caruman kepada KWSP belum pasti mereka akan membelanjakan wang tersebut. Mungkin mereka mencari portfolio tabungan lain seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menawarkan dividen yang lebih menarik daripada KWSP. Namun MTUC mungkin berpendapat lebih baik pekerja membuat caruman paksaan daripada dibenarkan membuat caruman sendiri, terutama bagi pekerja golongan bawahan. Hari tua mereka mesti dijamin dengan tabungan paksaan melalui KWSP.

Dalam senario yang satu lagi pula, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid semasa mengumumkan dividen Amanah Saham Malaysia (ASM) baru-baru ini, mencadangkan kepada pencarum supaya mengekalkan dividen dalam simpanan sebagai caruman tambahan. Kalau kita lihat daripada dua pengumuman ini, seolah-olah ada percanggahan. Yang satu minta pengguna berbelanja dan yang satu lagi minta pengguna menabung.

Kadar tabungan rakyat Malaysia memang dikatakan sangat tinggi bagi yang mampu melabur, tetapi ini bukan bererti semua rakyat Malaysia begitu tabiatnya. Bahkan ramai yang tidak mampu untuk menabung kerana tidak cukup pendapatan. Ada juga yang terlalu boros hingga sentiasa tersepit oleh hutang atau tiada kecukupan. Mungkin bantahan MTUC ada rasionalnya tetapi tindakan piket bukan penyelesaian masalah.

Kontradiksi dari dua penggunaan ini dapat difahami kalau kita meninjau ekonomi pasaran dengan lebih dekat. Dalam ekonomi pasaran, yang selalu ditekankan ialah meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran - supaya barangan keluaran kita boleh bersaing. Akibat daripada penciptaan pelbagai teknik pengeluaran dan cara sistem komunikasi serta pengangkutan yang canggih, membolehkan pengeluaran barang dengan sangat banyak, cepat dan bermutu mengikut piawaian.

Oleh itu ekonomi kita mengalami keadaan barangan yang berlebihan dalam pasaran. Fenomena ekonomi pasaran moden ialah lebihan barangan dan bukan sebaliknya. Inilah antara sebab persaingan begitu memuncak yang kadangkala peniaga mencari jalan yang tidak beretika untuk melariskan barangan.

Sistem pengeluaran yang begitu pesat memerlukan penggunaan barangan yang juga begitu pesat dan cepat. Pengguna mesti menghabiskan barangan dengan cepat supaya jentera pengeluaran barang boleh berjalan cepat dan lancar. Pada masa yang sama ramailah rakyat yang dapat pekerjaan bagi mengeluarkan barangan yang pelbagai untuk memenuhi cita rasa pengguna.

Pelbagai cara mesti difikirkan khusus oleh bahagian pemasaran untuk melariskan barangan dengan cepat. Misalnya iklan direka sebegitu rupa bagi menarik minat pembeli. Kaedah pembungkusan diperindah supaya barang yang biasa pun boleh menarik selera pengguna. Ini yang dikatakan nilai tambahan yang perlu ada pada barangan supaya ia laris.

Dalam ekonomi pasaran sekarang, seolah-olah pemasaran sama penting dengan pengeluaran. Maka itu barang harus mempunyai daya tarik yang istimewa. Inilah yang dikatakan nilai tukaran dan bukan nilai guna sahaja. Setiap barang pasti ada gunanya. Sebagai contoh sabun mandi. Oleh kerana terlalu banyak pengeluar sabun, maka untuk melariskan sabun keluaran syarikat X, ia mesti memberi nilai lain kepada sabun keluarannya, seperti glamor pemakai sabun. Sabun keluaran X akan dikenal pasti dengan pelakon glamor yang mengiklankan sabun.

Ringkasnya pelbagai cara digunakan supaya pengguna boleh mengaut lebihan keluaran dalam pasaran. Kalau tidak, ekonomi akan lembap. Kekecohan mungkin timbul akibat barangan bertimbun tidak laku, sekiranya sebahagian besar pengguna bertekad untuk berjimat. Sebab itulah Perdana Menteri mahu rakyat Malaysia keluar beramai-ramai berbelanja.

Ekonomi pasaran perlukan sokongan pengguna untuk menggunakan barang dengan cepat dan banyak. Seruan Perdana Menteri itu janganlah pula disalah tafsir sehingga ada yang mengeluarkan tabungan untuk menyahut seruan pemimpin. Berbelanjalah kalau ada lebihan.

Untuk menampung ekonomi pasaran moden, pengguna mesti berbelanja, lagi banyak belanja lagi baik bagi pasaran. Siapa yang membeli barang itu tidak penting, anak watan atau orang luar sekiranya barang itu dieksport. Syarat utama pengembangan pasaran ialah ketagihan pengguna berbelanja. Makin banyak pengguna berbelanja makin berkembanglah pasaran.

Hubungan ini boleh difahami dengan memetik kes perniagaan makanan seperti restoran. Kita lihat pertumbuhan restoran makanan kafe mewah, ia bukan sahaja menjual makanan istimewa tetapi juga suasana tempat makan yang indah. Maksudnya pengguna akan membayar makanan dan kos tempat serta layanan yang menarik.

Apa akan jadi jika orang ramai sepakat tidak mahu makan di luar, sebaliknya makan di rumah sahaja, atau hanya makan di gerai-gerai sebagai langkah berjimat? Untuk minum kopi, kita sepakat minum di gerai teh tarik sahaja, jangan berkunjung ke cafe? Akibatnya restoran-restoran ini akan ditutup kerana tidak cukup pelanggan untuk menampung kos sewa dan pekerja. Maka ramailah pekerja yang hilang mata pencarian.

Rakyat Malaysia sangat rasional, mereka masih mengunjungi restoran dan kafe kelas mewah. Kadangkala mereka terpaksa menunggu giliran, walaupun semua yang datang itu sedar akan keadaan ekonomi yang lembap. Mungkin kita katakan mereka ini dari golongan pertengahan atau atasan yang memang pun ada simpanan, maka mereka masih sanggup berbelanja makan di luar.

Golongan ini bukanlah kerana mereka ingin menyahut seruan Perdana Menteri. Tetapi mereka telah biasa dengan satu gaya hidup makan di luar, tempat istimewa. Sekali makan sekeluarga enam orang misalnya, akan mencecah RM200 atau lebih termasuk minuman, kalau makan di steak house.

Satu ciri penting dalam pasaran terbuka ialah terdapat pilihan serta persaingan yang sihat. Maka itu pengguna mempunyai pilihan. Kalau teringin sangat makan steak tetapi tidak sanggup makan di restoran yang hebat, boleh pergi ke gerai-gerai tertentu yang ada menjual makanan ala Barat. Di situ ada steak harganya hanya satu perempat daripada kos di restoran mewah.

Tetapi kita tidaklah dapat nyaman seperti di restoran atau senyuman manis pekerjanya. Atau beli sahaja daging steak dari pasar raya dan buat sendiri. Segalanya terpulang pada pengguna membuat pilihan. Apa juga, kita tetap berbelanja mengikut perbelanjaan yang termampu.

Gambaran tersebut mencerminkan dilema pilihan pengguna dalam masyarakat pasaran moden. Zaman praindustri usahawan mengeluarkan barangan dengan jumlah yang kecil dan saiz pasaran juga terhad. Pendapatan pekerja juga sangat kecil. Ketika itu sangat sesuai orang ramai diseru berjimat kerana jarang sekali ada wang lebihan untuk ditabung. Tetapi zaman moden ini pengguna diseru berbelanja sebagai salah satu langkah kerajaan memberi nafas baru bagi ekonomi yang lembap.

Tokoh-tokoh ekonomi seperti Keynes, mengatakan selepas Perang Dunia Kedua, polisi ekonomi bebas dengan pengeluaran barang yang banyak menjadi penyelamat manusia kerana mereka akan dapat pekerjaan dan pendapatan daripadanya. Oleh itu rakyat akan hidup selesa. Tetapi pasaran mesti dipertingkatkan atau diperluaskan. Kalau zaman penjajah dahulu bolehlah dipaksa negara yang dijajah membeli barangan keluaran penjajah. Tetapi zaman pasca penjajah, mesti dicari jalan lain. Dengan apa jua cara, pasaran seluruh pelosok dunia mesti ditembusi. Melalui globalisasi semua negara mesti membuka pintu pasaran dan bersaing antara gergasi dengan si kerdil.

Bagi negara kecil seperti Malaysia yang mempunyai penduduk hanya 22 juta pasaran tempatan adalah sangat terhad. Namun bagi Malaysia kalau pun 50 peratus penduduk menyahut seruan berbelanja, jumlahnya masih kecil. Bagi mereka yang berpendapatan mewah, mereka mampu berbelanja keluar negara dengan melancong dan membeli-belah di luar negara. Kita perlu semak dengan syarikat-syarikat pelancongan untuk mengetahui berapa ramai rakyat Malaysia pergi melancong ke luar negara setiap bulan. Sekurang-kurangnya kerana keadaan ekonomi kita tidak seteruk semasa gawat tiga tahun lalu, maka tidak perlulah kerajaan melarang rakyat ke luar negara.

Namun sebagai rakyat yang prihatin akan keadaan ekonomi, kita patut juga kurangkan melancong ke luar negara bagi setahun dua ini sehingga ekonomi pulih semula. Kita tangguhkan sahaja niat itu, bukan batalkan niat melancong. Itulah sepatutnya pilihan pengguna yang bijak. Semasa berbelanja kita harus juga memikirkan keadaan ekonomi negara.

Kerajaan tidak boleh membuat seruan bersabit hal ini kerana itu adalah hak pengguna. Lagipun kerajaan tidak boleh terlalu banyak campur tangan dalam urusan ekonomi bebas. Sebab itu kita tidak ada cukai yang tinggi untuk keluar negara seperti sesetengah negara jiran.

Sehubungan itu, elok juga diperkatakan usaha gigih Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan menggalakkan orang ramai melancong dalam negara. Sebenarnya negara kita begitu kaya dengan keindahan semula jadi dari Perlis ke Sabah dan Sarawak.

Mungkin kementerian ini patut menarik semangat nasionalis rakyat supaya mengecap keindahan negara sendiri daripada pergi ke negara-negara luar, supaya wang yang akan dibelanjakan itu dapat meningkatkan ekonomi negara. Oleh itu seruan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan eloklah ditujukan kepada mereka dari golongan atasan. Bagi orang bawahan sebanyak manalah mereka berbelanja. Mereka seharusnya menabung untuk hari tua, kerana kita tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial seperti sesetengah negara yang mempunyai sistem kebajikan yang membantu golongan tua dan yang menganggur. Anak-anak pula kadangkala tidak boleh terlalu diharapkan untuk membantu orang tua mereka di hari tua.

* DR. ROKIAH TALIB ialah bekas Pensyarah Sosiologi Universiti Malaya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum