RENCANA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Sistem demokrasi Myanmar dalam pemulihan

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI (Yang mengikuti lawatan ke Myanmar baru-baru ini)
KAMI tiba di Myanmar, bumi emas yang penuh dengan pagoda, sehari selepas negara itu selesai merayakan Thingyan, pesta air yang berlangsung empat hari berturut-turut untuk menyambut kedatangan tahun baru kalendar mereka, serentak dengan Songkran di Thailand.

``Terima kasih kerana datang melihat negara kami. Hari ini hari pertama dalam tahun baru, dan kami percaya kedatangan saudara-saudara akan membawa tuah kepada Myanmar,'' kata seorang pegawai dalam kata-kata aluannya menyambut ketibaan kami.

Tetapi kami tidak begitu ambil berat kenyataan pegawai itu. Dalam kepala kami sarat dengan tanda tanya tentang keadaan negara yang diperintah oleh kerajaan tentera atau dalam bahasa tempatan disebut tadmadaw, sejak kebangkitan prodemokrasi tahun 1988.

Seperti orang lain yang berminat tentang Myanmar, kami juga mahu tahu: Sampai bila kerajaan tentera yang memakai nama Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) akan terus memegang kuasa? Bila agaknya ia mahu menyerahkan negara itu ke pangkuan demokrasi?

Menjawab persoalan yang sering timbul itu, Setiausaha (1), SPDC, Leftenan Jeneral Khin Nyunt berkata, pihaknya tidak mempunyai niat untuk terus memegang tampuk pemerintahan.

``Kami ini hanya kerajaan sementara. Matlamat utama kami sekarang ialah mewujudkan keamanan dan membangunkan negara ini,'' katanya ketika kami membuat kunjungan hormat ke pejabatnya, pada satu petang.

Tegas beliau, dua aspek itu keamanan dan pembangunan adalah asas kepada demokrasi yang berkekalan. ``Apa yang kami lakukan ini ialah meletakkan Myanmar ke landasan demokrasi.''

Kerajaan tadmadaw itu mula memerintah pada hujung 1988; tahun penting dalam sejarah moden Myanmar yang ditandai dengan peristiwa 8.8.88, mengambil sempena tarikh demonstrasi pelajar prodemokrasi yang kemudiannya bertukar menjadi huru-hara.

Setelah keadaan menjadi huru-hara dan kacau-bilau, tentera terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan negara itu daripada terjerumus ke dalam kekacauan yang berpanjangan, dan lebih bahaya lagi, perpecahan.

``Kalau kami tidak bertindak segera, Myanmar mungkin sudah tiada. Negara ini mungkin akan berpecah teruk,'' kata Timbalan Menteri Luarnya, U Khin Maung Win dalam satu pertemuan yang berasingan, malam sebelumnya.

Beliau menyifatkan kerajaan tentera itu memainkan peranan penting dalam mempertahankan Myanmar daripada terjerumus ke dalam kehancuran akibat kekacauan yang timbul pada tahun 1988.

Kacau-bilau bukan sesuatu yang asing bagi Myanmar. Sejak merdeka pada tahun 1948, negara itu sudah dipaksa berdepan dengan kebangkitan kumpulan bersenjata terutamanya Parti Komunis Burma (BCP) di kawasan sempadan.

Perlembagaan yang dipersetujui oleh pejuang nasionalisnya, Bogyoke (Jeneral) Aung San pula memperuntukkan pilihan kepada puak etnik minoriti untuk keluar dari persekutuan Myanmar selepas 10 tahun merdeka. Itulah punca kekacauan di Myanmar.

Tetapi sejak memerintah pada tahun 1988, SPDC yang ketika itu memakai nama Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketenteraman Negara (SLORC) berusaha memulihkan keamanan dalam negara.

Ia memulakan rundingan dengan kumpulan pemberontak, dan hari ini, hanya tinggal satu saja lagi kumpulan yang masih aktif di sempadan manakala 17 yang lain sudah kembali ke pangkuan Myanmar yang bersatu.

Pada masa yang sama, ia juga menghadapi tekanan politik dalaman selepas Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi menang mengejut pilihan raya tahun 1990 tetapi tidak dapat membentuk kerajaan.

Masalahnya ialah ketika itu, SLORC memperkenalkan agenda baru politik negara iaitu beralih daripada sistem sosialis satu parti kepada sistem demokratik pelbagai parti.

Maka itu, ia perlu kepada satu perlembagaan baru bagi menggantikan perlembagaan 1974 yang diperkenalkan oleh Jeneral Ne Win yang membawa kepada sistem sosialis satu parti itu. (Perlembagaan 1974 itu menggantikan Perlembagaan 1948 yang diterima oleh Aung San ketika Myanmar merdeka daripada British.)

Jelas Pegawai Kajian Strategik di Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Hla Min, pilihan raya 1990 itu diadakan bagi memilih perwakilan untuk menggubal perlembagaan baru Myanmar.

``Logiknya, negara ini ketika itu tiada perlembagaan yang diguna pakai dan tentera sebagai kerajaan sementara mentadbir secara pemerintahan tentera,'' katanya.

Beliau menyifatkan, adalah sukar untuk sebuah parti politik mentadbir sebuah negara tanpa perlembagaan, dan hanya menggunakan undang-undang darurat.

Menurut Timbalan Menteri Luarnya, negara itu akan kembali ke landasan demokrasi apabila proses penggubalan perlembagaan baru yang dimulakan sejak tahun 1993 selesai. ``Kuasa yang ada sekarang mesti dikembalikan kepada rakyat,'' katanya.

Maung Win menolak dakwaan bahawa kerajaan tadmadaw itu sengaja melengah-lengahkan penggubalan perlembagaan itu. Sebaliknya kata beliau, pihaknya mengambil pendekatan sebulat suara melibatkan aspirasi dan kepentingan 135 kumpulan etniknya dan kumpulan bersenjata itu.

``Sesetengah kumpulan bersenjata ini hanya menyertai proses penggubalan perlembagaan itu selepas 1993,'' katanya.

Tegas beliau, kerajaan tentera bukan keberatan untuk menyerahkan negara itu kepada masyarakat demokratik tetapi ``kita tidak boleh membina demokrasi tanpa keamanan dan kestabilan.''

Pandangan itu ditegaskan semula oleh Khin Nyunt apabila beliau berkata: ``Melainkan kami dapat membina satu asas yang kukuh, sistem demokrasi yang diidamkan akan hancur.''

Pandangan yang dipegang oleh Myanmar itu ada juga benarnya kerana ia belajar daripada pengalaman sejak merdeka. ``Kami tidak mahu melakukannya tergesa-gesa kerana kalau negara ini kembali kepada kekacauan, segala-galanya akan musnah,'' kata Maung Win.

Soalnya, apa benar persepsi bahawa kerajaan tentera itu hanya akan mengadakan pilihan raya umum apabila ia yakin boleh menang?

``Kami tidak ada parti politik. Kerajaan tentera dulu ada menubuhkan parti tetapi kerajaan sekarang tidak,'' katanya, sambil menekankan bahawa SPDC hanya kerajaan sementara.

Apabila ditekan sama ada SPDC bercadang menubuhkan parti politik pada masa akan datang, beliau berkata: ``Lebih baik kita jangan membuat sebarang andaian sekarang.''

Namun apa yang lebih penting sekarang ini, iklim politik di Myanmar sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif. Sejak Oktober lalu, pihak kerajaan telah memulakan beberapa siri rundingan dengan NLD.

Tetapi tanyalah kepada mana-mana pegawai kerajaan Myanmar tentang rundingan itu, jawapan mereka sama saja. Kedua-dua belah pihak, tentera dan NLD tidak akan mendedahkan sebarang maklumat tentang perbincangan itu kerana itulah janji yang mereka pegang dan patuhi bersungguh-sungguh.

Sambil menegaskan berkali-kali bahawa rundingan itu bukan kerana tekanan daripada mana-mana pihak, Maung Win berkata: ``Rundingan ini adalah sebahagian daripada polisi penyatuan semula yang dicita-cita. Bukan alasan lain, dan bukan tekanan.''

``Apa yang cuba kami buat ialah untuk menyatukan semula negara ini, bukan saja dengan kumpulan bersenjata tetapi parti politik kerana kami bercita-cita mahu menjadi masyarakat demokratik,'' katanya.

Proses rundingan itu, katanya, berjalan lancar. Apa yang diharapkan oleh kerajaan tentera ialah usaha positif itu akan membuahkan hasil yang positif untuk negara, iaitu mencapai keamanan yang seterusnya akan menggalakkan perkembangan ekonomi.

Dan hasil positif itu sudah mula nampak. Jepun minggu lalu meluluskan bantuan kewangan terbesar kepada Myanmar sejak kerajaan tadmadaw mengambil alih pentadbiran negara pada tahun 1988.

Bantuan sebanyak 3.5 bilion yen (RM 108.7 juta) itu dilihat meruntuhkan sekatan bantuan antarabangsa yang dikenakan ke atas Myanmar sejak peralihan kuasa itu. Ia akan digunakan untuk membaik pulih empangan Baluchaung di wilayah Kayah, yang dibina oleh Jepun pada tahun 1960-an.

Sampai sudah, kami tidak tahu sejauh mana lawatan kumpulan wartawan dari Malaysia selama lapan hari itu boleh membawa tuah kepada Myanmar.

Secara kebetulan, pada hari ketiga kunjungan kami, seketul mutiara 845 karat yang dikatakan terbesar di dunia ditemui dekat Pulau Zadetgyi di wilayah Taninthayi, di selatan Myanmar yang bersempadan dengan Thailand; sesuatu yang dipercayai juga membawa tuah kepada negara itu.

Tetapi kami _ saya sendiri khususnya _ percaya bahawa bertuah atau tidaknya Myanmar akan banyak bergantung kepada segala usaha pembaharuan ekonomi dan politik yang sedang dilakukannya. Lihat saja reaksi Jepun terhadap proses rundingan antara tadmadaw dengan NLD.

Seperti yang diakui oleh Menteri Luarnya, Win Aung kepada wartawan selepas mesyuarat tidak rasmi menteri luar ASEAN di Yangon beberapa hari lalu, sudah ada tanda positif dalam perkembangan politik negara itu.

``Kedua-dua pihak telah berhenti berkonfrontasi. Adakah ia baik untuk negara ini? Sudah tentu. Ia baik untuk rakyat,'' katanya.

Dan itulah tuah yang sebenar bagi Myanmar, yang banyak bergantung kepada usaha-usaha pemulihan yang sedang dan akan terus dilakukannya demi masa depan rakyatnya sendiri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum