RENCANA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Urus niaga melalui Internet A2B dan D2D

Oleh:SHAHAROM TM SULAIMAN
BAGI anda yang sudah akrab dengan aplikasi Internet untuk keperluan perniagaan, istilah B2B (business to business) mungkin bukan sesuatu yang baru lagi. B2B adalah istilah yang digunakan khususnya berkaitan dengan aplikasi Internet untuk memudahkan dua buah organisasi perniagaan yang berada pada rangkaian penawaran bertukar-tukar maklumat yang mereka perlukan. Maklumat-maklumat tersebut mungkin saja berupa fakta tentang pemesanan barangan, status pengiriman, pembayaran, harga dan sebagainya.

Tulisan ini tidaklah bertujuan membahas B2B kerana sudah banyak ulasan mengenainya. Yang tidak banyak diperkatakan adalah ramalan perkembangan aplikasi teknologi Internet setelah B2B tersebut.

Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Merill Warkentin, seorang profesor dari Universiti Northeastern, Amerika Syarikat secara menarik meramalkan bahawa A2B dan D2D adalah dua generasi yang bakal menyusul B2B yang ada sekarang. Apakah gerangan dua istilah baru ini?

A2B adalah singkatan kepada Appliance to Business (peralatan kepada perniagaan), sedangkan D2D adalah Device to Device (alat kepada alat). Appliance adalah alat-alat yang digunakan sehari-hari seperti pendingin hawa, sistem keselamatan bangunan, lif, kenderaan, bahkan kasut sukan yang digunakan untuk berlari.

Pada saat ini, peralatan-peralatan tersebut tidak ada yang terhubung dalam suatu jaringan yang memungkinkan pemakai atau pemiliknya untuk berkomunikasi secara talian. Katakanlah, pada saat alat pendingin hawa pejabat tidak berfungsi, kita memerlukan beberapa jam atau sampai beberapa hari untuk membaiki peralatan tersebut.

Dengan adanya A2B, peralatan-peralatan tersebut dilengkapi dengan device atau alat pengesan yang mampu `mengkomunikasikan' keadaan peralatan-peralatan tersebut ke server yang dimiliki oleh syarikat yang membaiki peralatan tersebut. Komunikasi ini akan terjadi secara masa sebenar mengikuti pola aplikasi Internet untuk B2B.

Pada saat ini, konsep seperti ini hanya diaplikasikan pada lingkungan yang sangat terbatas. Misalnya, syarikat pengiriman barang dari gudang ke pasar raya yang didasarkan atas data-data penjualan langsung atau EPOS (Electronic Point of Sale). Prinsipnya, adalah barang-barang melalui pengesan yang ada di kaunter pembayaran, kod bar yang ada pada barang tersebut akan mentransmisikan data penjualan ke gudang pengeluar. Dengan demikian, gudang akan mengetahui secara masa sebenar bahawa ada satu barang yang terjual. Perencanaan pengeluaran mahupun pengiriman boleh dibuat lebih efisien dengan transmisi data-data EPOS seperti ini.

Apabila A2B dan D2D ini nanti terlaksana, boleh dibayangkan besarnya peningkatan kecekapan yang boleh dicapai oleh para peniaga mahupun pengguna. Yang jelas, keuntungannya sangat luar biasa. Bayangkan saja keadaan lampu yang ada di rumah atau di pejabat kita akan terkesan oleh ejen penjual lampu yang terdekat. Tanpa dipanggil, para petugas akan datang membawa lampu pengganti beberapa saat sebelum lampu yang lama benar-benar mati. Bukan hanya pengguna yang mendapat untung daripada sistem seperti ini, tetapi semua elemen di sepanjang rangkaian penawaran ini.

Anda yang memahami secara keseluruhan proses di sepanjang rangkaian penawaran dengan mudah membayangkan keuntungan-keuntungan yang mampu dijanjikan oleh A2B dan D2D tersebut. Pertama, ketidakpastian permintaan barang-barang yang menjadi faktor utama kesulitan semua proses pada rangkaian penawaran dewasa ini, akan turun dengan drastik, kerana keadaan peralatan sudah terkesan. Peniaga akan mampu membuat perencanaan pengiriman dengan jauh lebih tepat dan efisien dibandingkan dengan masa lalu. Ejen penjual akan mempunyai maklumat bahawa di sepanjang jalan A, misalnya, ada 30 biji lampu yang tidak akan berfungsi dalam masa dua hari yang akan datang, ada 100 meter kabel yang harus diganti, dan ratusan peralatan berkaitan yang perlu diperbaiki. Dengan maklumat seperti ini, pengiriman akan boleh dirancangkan dengan lebih tepat.

Kedua, dengan mendapatkan maklumat seperti ini daripada pelbagai ejen penjual dan dengan mengagihkannya pada wilayah tertentu, gudang pengeluar lampu akan mampu membuat perancangan pengeluaran dengan lebih baik. Ertinya, pengeluaran dirancangkan dengan ramalan yang jauh lebih tepat.

Dengan ramalan yang tepat, perancangan sumber daya akan mampu dibuat secara cekap dan persediaan yang tidak terduga akan mampu dikurangi secara dramatik. Tentu banyak lagi keuntungan yang lain.

Benarkah sistem seperti ini akan mengurangi ketidakpastian pada rangkaian penawaran? Benar, tetapi kita tetap perlu menyedari bahawa banyak ketidakpastian alam yang tidak dapat dihindarkan. Misalnya, pengiriman barang dari lokasi A ke lokasi B tetap harus melalui jalan tertentu yang tingkat `kesesakannya' selalu tidak pasti.

Namun, apabila setiap kenderaan pengangkut kelak dilengkapi dengan alat yang mampu mentransmisikan tanda isyarat secara masa sebenar kepada syarikat pengirim mahupun tempat yang dituju, visibility aliran material dan maklumat akan sangat tinggi. Ini juga memungkinkan perencanaan dan kelancaran proses-proses perniagaan mampu dilakukan dengan lebih baik.

Persoalannya sekarang, bilakah kita akan memasuki era ini? Jawapannya tentu bergantung pada para pencipta teknologi dan para peniaga dan usahawan yang mempunyai daya imaginasi tinggi untuk membaca peluang-peluang masa depan seperti ini.

* SHAHAROM TM SULAIMAN ialah pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum