RENCANA

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Wakil rakyat patut guna ICT

SEJAK dahulu dan kini kita dapat melihat wakil-wakil rakyat turun ke padang untuk melihat perkembangan di kawasannya tidak kiralah sama ada melalui program-program perasmian, perjumpaan tidak formal atau orang ramai sendiri yang datang ke pejabat atau rumah mereka.

Tidak kurang juga wakil-wakil rakyat yang menjadikan kenderaan mereka sebagai pejabat bergerak dengan membawa segala borang, mesin taip dan cap getah apabila ia diperlukan.

Malah wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat di kawasannya, mereka digelar pemimpin berjiwa rakyat.

Namun di era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini peranan wakil rakyat masih tetap sama, cuma mereka haruslah menggunakan kemudahan ICT agar skop pemahaman mereka terhadap masalah yang dihadapi di kawasan mereka dapat disalurkan dengan lebih berkesan dan cepat.

Dewasa ini kebanyakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi.

Dengan latar belakang ini mereka sudah tentu memahami dan sedar kepentingan ICT termasuk tahu menggunakan Internet sebagai alat komunikasi.

Barangkali masalah mungkin timbul bagi kalangan wakil rakyat yang berumur dan tidak begitu mahir dengan komputer. Ini tidak sepatutnya menjadi batu penghalang, kerana setiap orang pada era ini harus mempelajari dan menggunakan komputer.

Untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan, wakil rakyat secara tidak langsung memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan masyarakat yang dipimpin oleh mereka menggunakan kemudahan ICT untuk mereka berinteraksi.

Perhubungan yang terus antara masyarakat dan wakil rakyat tanpa menggunakan orang tengah akan menjadikan hubungan di antara wakil rakyat dan masyarakat lebih mesra.

Adalah disarankan agar setiap wakil rakyat mempunyai alamat e-mel mereka sendiri yang diketahui umum agar sebarang permasalahan setempat dapat disalurkan dengan cepat.

Menjadi tanggungjawab masyarakat pula untuk membantu wakil rakyat dengan memberi maklumat yang tepat dan sahih.

Sekiranya sistem perhubungan atau komunikasi antara wakil rakyat dan masyarakat ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, manfaatnya, bukan sahaja masyarakat tidak perlu lagi membuat temu janji yang belum tentu tarikhnya bahkan mungkin juga wakil-wakil rakyat dapat meluangkan lebih masa lagi di rumah bersama keluarga mereka dan pada masa yang sama dapat melihat perkembangan dan masalah masyarakat setempat.

Setelah meneliti permasalahan yang dikemukakan oleh masyarakat, maka mereka dapat menyalurkan pula maklumat tersebut kepada agensi atau jabatan yang berkaitan agar tindakan dapat dilaksanakan dengan segera.

Segala perhubungan dan transaksi antara wakil rakyat, jabatan dan agensi serta masyarakat akan menjadi lebih telus.

Dengan ini tidak akan kedengaran lagi satu perkara atau masalah itu ditolak dari satu jabatan ke jabatan yang lain yang tiada kesudahannya.

Dengan penjimatan masa yang banyak ini, dapatlah wakil-wakil rakyat memberi lebih tumpuan kepada perancangan pembangunan di kawasan mereka.

Untuk merealisasikan impian satu rumah satu komputer, semua negeri khususnya negeri yang berjiran dengan Koridor Raya Multimedia haruslah mengorak langkah dengan menyarankan semua wakil rakyat mereka serta agensi atau jabatan yang berkaitan seperti JKR, JBA, MPS, PDRM, Majlis Agama Islam dan sebagainya menyediakan e-mel untuk memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat.

Kerajaan sering menyeru supaya rakyat perlu terdidik menggunakan ICT untuk kemudahan mereka sendiri. Oleh itu kita adalah tanggungjawab wakil-wakil rakyat untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu ICT agar mereka juga tidak ketinggalan. - ROZMAL MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum