RENCANA

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Rashid Mydin mengajar al-Quran di selatan Thailand

Oleh: NORMALA HAMZAH
SAYA masih kepenatan akibat terlalu lama duduk di dalam lori pikap yang kami sewa menjelajah sempadan selatan Thailand. Perjalanan melihat cadangan lebuh raya baru menyambung sempadan selatan kawasan Thailand dengan Sik dan Kuala Nerang cukup menyeronokkan walaupun penatnya bukan kepalang. Laluan menuruni bukit dan kawasan curam yang dulunya menjadi kubu pengganas komunis sesekali menggerunkan tetapi saya berbangga kerana berjaya memenuhi tugasan yang mencabar ini setelah hampir dua bulan merancang.

Kehadiran Ustaz Abd. Rahman, jurutunjuk jalan menambah keyakinan saya. Beliau cukup mahir dengan selok-belok laluan di kawasan tersebut. Mana ada lubang, mana ada lubuk, semua dapat dikesan dengan mudah.

Dalam pada bergayut berdiri menunggu saat kenderaan yang dinaiki kembali ke hotel penginapan di Yala, saya dikejutkan oleh pertanyaan Ustaz Abd. Rahman yang sekali gus menjadikan saya terpinga-pinga.

``Mahu singgah bertemu Pak Rashid Mydin?'' terpacul soalan daripada mulutnya. Saya tidak menjawab kerana tidak percaya dengan apa yang terkeluar daripada mulut Ustaz Abd. Rahman. Saya terus memandang Rosle Azmi, pembantu komunikasi korporat Utusan serta jurugambar Mahathir Ali yang ikut sama. Mereka melemparkan senyuman penuh makna. Memahami kehendak mereka, saya mengangguk-anggukkan kepala. Biarpun begitu saya menyembunyikan rasa bimbang dan takut. Maklumlah...

``Tidak apa, kita singgah bertanya khabar terlanjur sudah melalui kawasan ini. Suka dia dapat jumpa orang Malaysia,'' balas Ustaz Abd. Rahman yang dapat meneka kegelisahan di hati saya. Ustaz Abd. Rahman banyak membantu Pak Rashid Mydin dalam perkara-perkara berkaitan keagamaan.

Demikianlah terciptanya sejarah pertemuan saya, Rosle Azmi dan Mahathir Ali dengan Rashid Mydin, bekas pemimpin kanan Parti Komunis Malaya (PKM) yang kini menetap di sebuah perkampungan yang dinamakan perkampungan Malaysia di sempadan selatan Thailand.

Sebaik sahaja kenderaan kami membelok menghala ke perkampungan tersebut, beberapa penduduk memerhati dengan penuh tanda tanya. Kanak-kanak yang sedang bermain turut berhenti sambil melambai-lambaikan tangan. Memang perkampungan misteri bersejarah itu cukup tenteram dan damai. Rumah Rashid Mydin terletak di atas bukit di penghujung perkampungan tersebut.

Rumah dua tingkat yang diubahsuai sedikit demi sedikit daripada rumah asal yang hanya mempunyai satu bilik dan dapur kelihatan tenang dari jauh. Kiri kanan dipenuhi pokok dokong, rambutan dan buah-buahan tempatan iaitu pemandangan yang biasa dilihat di kampung-kampung di Malaysia.

Sebaik meninggalkan kenderaan, serentak kami memberi salam. Belum selesai salam diberi, kedengaran suara menyambutnya dari dalam, diikuti langkah kaki berderap menghala ke pintu yang sudah terbuka.

Seminit kemudian muncul satu tubuh tegap, berpakaian serba putih lengkap berketayap. Wajah yang masih kelihatan segar itu melemparkan senyuman yang membayangkan kegembiraan yang tidak terkata. Tidak terduga lelaki yang di hadapan kami ketika itu telah berusia 84 tahun kerana keadaan fizikalnya menampakkan beliau seperti berusia awal 50-an.

Selesai bersalam, kami dipelawa masuk lalu diperkenalkan oleh Ustaz Abd. Rahman kepada Pak Rashid seorang demi seorang. Saya lantas teringatkan zaman persekolahan lebih kurang 27 tahun lalu. Nama lelaki di hadapan saya ini sering tertulis dalam akhbar, begitu juga di radio, bersama kisah perjuangannya yang kini hanya menjadi catatan dalam buku sejarah.

Kini setelah melewati usia 40-an dan hampir 27 tahun meninggalkan bangku sekolah, saya berdepan dengan lelaki ini tanpa dirancang, tanpa diduga. Memang benar kata-kata kita hanya merancang, Tuhan menentukan segalanya. Bagi saya ini juga satu sejarah yang akan kekal terpahat dalam lipatan hidup saya sebagai wartawan.

Biarpun tidak berpeluang menemu ramah Pak Rashid seperti sepatutnya namun masa hampir sejam bersamanya cukup bermakna. Ikuti perbualan ringkas kami bersama Pak Rashid dalam pertemuan di rumahnya untuk menyelami hati dan perasaannya tentang kehidupannya masa kini.

Apa khabar bapak?

Sihat. Alhamdulillah.

Maaf kami mengganggu bapak. Sebenarnya tidak ada temu janji. Terlanjur lalu, kami singgah.

Oh tidak apa. Memang bapak suka. Bapak suka. Bapak gembira jumpa kamu anak-anak dari Malaysia.

Berapa usia bapak sekarang?

Anak kiralah. Bapak lahir pada 10 Oktober 1917. Kira-kira genap 84 tahun.

Bapak tinggal berapa orang di sini?

Oh, dua sahaja. Bersama ibunya (isteri).

Anak-anak macam mana?

Anak-anak semua ada di Malaysia. Anak di sini ada seorang, tetapi tinggal bersama ibu angkatnya.

Macam mana kehidupan bapak sekarang?

Oh biasa. Macam orang lain juga. Apa lagi yang hendak dibuat tua-tua ini. Mesti banyak beribadat, ingat Tuhan dan buat amal kebajikan.

Kehidupan masa lalu bapak bagaimana?

(Diam seketika). Itulah yang sudah tu sudahlah... buat apa nak diingatkan lagi. Sekarang ini bapak gembira dengan kehidupan ini. Bapak gembira kamu anak-anak dari Malaysia sudi singgah di rumah bapak. Orang Malaysia yang sudi ke sini adalah sahabat-sahabat dan saudara-saudara bapak. Jangan segan untuk singgah. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Orang rumah mana?

Ada di dapur sedang memasak. (Melaung isterinya yang dipanggil Latifa keluar).

Bapak tinggal berdua sahaja.

Ya. Berdua sahaja. (Ketawa)

Apa yang bapak fikirkan tentang Malaysia?

Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Hujan batu di negeri sendiri hujan emas di negeri orang, biarlah di negeri sendiri. Di mana pergi pun tentulah terkenang-kenang.

Keluarga di Malaysia bagaimana?

(Ketika ini air matanya kelihatan bergenang. Lama Pak Rashid mendiamkan diri).

Beginilah nak... nak cerita panjang-panjang dan nak cakap panjang-panjang pun mungkin orang tidak faham. Apa yang bapak rasa hanya bapak sahaja yang faham. Biarlah bapak sahaja yang rasa. Yang utama anak-anak tetap bapak sayang, selamanya tetap akan diingat. Bapak sudah ada cucu pun... seronok dengar anak-anak menantu dan cucu-cucu hidup bahagia. Bapak doakan mereka terus bahagia sampai bila-bila. (Termenung).

Selalu mereka datang menjenguk?

Ada jugalah, sesekali.

Bagaimana perasaan apabila teringatkan mereka?

(Sekali lagi dia termenung. Terpancar kerinduan yang amat mendalam pada matanya).

Beginilah nak. Bayangkan begini sahajalah. Bapak ini tersepit di antara dua persimpangan. Di sana kasih, di sini sayang. Dua-dua terkenang dan teringat. Susah nak cerita. Pun begitu macam bapak katakanlah... semuanya ketentuan Tuhan.

Pada masa lapang, apa yang bapak buat?

Bapak nak berkebun tidak daya, nak buat kerja berat tak daya, umur dah tua. Kebun ada, sesekali pergi jenguk juga dengan ibunya. Saja ambil angin. Ada masa pandu kereta jalan-jalan sampai Haadyai jumpa kawan-kawan. Bapak masih kuat pandu kereta (ketawa). Selebihnya hanya buat kerja ringan di rumah ini sahajalah, tengok pokok-pokok bunga atau jalan-jalan sampai ke bawah (hujung kampung).

Dengar bapak sudah ke Mekah, boleh bapak ceritakan sedikit?

Ya. Bapak pergi ke sana dua tahun lepas. Ini tahun apa ya... 2001. Oh ya, bapak pergi tahun 1999. Terima kasih banyak kepada kerajaan Malaysia kerana menguruskan pemergian bapak dan isteri. Syukur sampai juga hajat hendak ke Mekah. Bapak cukup bahagia semasa di sana. Tidak dapat nak diceritakan dengan kata-kata, bahagia teramat sangat. Harapkan duit sendiri entah bila.

Apa yang bapak ingat tentang kawan-kawan lama?

Anak dari Utusan Melayu ya? Bapak pun dulu ada kawan di sana. Pak Sako yang bapak dengar khabarnya sudah meninggal dunia, juga Pak Ahmad Boestamam dan ramai lagi, tidak ingat pula bapak yang lain. Majalah Wanita pun bapak pernah tengok dan baca dulu-dulu.

Berapa jumlah rumah di kampung ini?

Penduduk ada lebih kurang 200 orang. Jumlah rumah 62 buah. Orang Melayu Malaysia ada tiga kelamin, yang lain semua warga tempatan.

Bagaimana hubungan bapak dengan mereka?

Macam adik-beradik. Saling tolong-menolong antara satu sama lain. Sebagai orang tua, bapak main peranan untuk bimbing mereka. Yalah... macam jaga anak-anak sendiri.

Apa perancangan masa depan bapak?

Apa lagi yang nak dibuat? Dalam usia 84 tahun rasanya sudah puas hidup. Inilah masa nak buat amal ibadat dan menebus segala kesilapan masa lalu. Yalah, kita ini manusia biasa, selalu buat silap dan ada keburukan. Tidak semestinya buruk seorang manusia itu dibawa sampai ke mati. Sampai masa bapak percaya semua orang akan berubah.

Perasaan bapak ketika ini?

Gembira, bahagia dan tenang. Mudah-mudahan sampai ke akhir begini. Bapak mahu menghabiskan sisa-sisa hidup ini dengan cara ini. Sekarang ini bapak mengajar mengaji budak-budak di kampung ini. Adalah enam tujuh orang, kelasnya waktu malam. Sedikit ruang di rumah ini dikhaskan untuk kelas mengaji. Selain mengaji bapak juga mengajar mereka tulisan jawi.

Ada apa-apa yang bapak hendak katakan?

Itulah bapak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Thailand serta semua pihak yang membantu dan memberi peluang bapak hidup seperti hari ini. Terima kasih banyak-banyak.

Terima kasih bapak kepada anak-anak kerana sudi berbual-bual.

Datanglah lagi kalau terlanjur lalu di sini. Ralat bapak tidak dapat menjamu makan. Patutnya bagi tahu, dapatlah ibunya masak. Balik nanti kirim salam pada sahabat-sahabat di Malaysia.

Begitulah antara perbualan kami dengan Pak Rashid. Daripada perbualan singkat itu jelas sekali kerinduan yang terpancar di mata Pak Rashid terhadap kaum keluarga dan negara tanah tumpah darahnya Malaysia. Namun segala-galanya ketentuan Tuhan.

Pun begitu pertemuan tidak dirancang itu serta hidangan air Milo dan biskut empat segi (kata orang utara) serta biskut Merry berintikan coklat, disulami luahan perasaan Pak Rashid terhadap kehidupan terkininya membawa makna yang cukup mendalam kepada saya dan rombongan. Teringat saya pada pepatah, yang lalu biarkan berlalu, buang yang keruh ambil yang jernih. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Demikianlah adanya kehidupan Pak Rashid kala ini.

Merenungi wajah, kata-kata yang terbit daripada bibirnya dan stail dia berbicara, jelas sekali karismanya sebagai pemimpin masih ada. Di sebalik kelebihan yang dimilikinya kini, saya membuat andaian, hanya Pak Rashid saja yang tahu apa terbuku di hati serta sejarah yang kini tersimpul kemas dalam lipatan hidupnya. Mungkin elok kita ambil iktibar daripada kata-katanya di sana kasih, di sini sayang. Pasti anda akan mendapat jawapannya.

* Normala Hamzah adalah Pengarang majalah Wanita terbitan Kumpulan Utusan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum