RENCANA

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Republik atau autonomi

DUNIA dikejutkan dengan laporan Manila Times pada 4 Mei lalu bahawa Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengisytiharkan penubuhan Republik Bangsamoro dengan pengerusinya Nur Misuari sebagai presiden.

Perisytiharan itu dibuat melalui resolusi kongres MNLF yang menggesa kepimpinannya menggugurkan perjuangan menuntut autonomi, sebaliknya kembali kepada perjuangan asal untuk kemerdekaan.

MNLF sejak penubuhannya pada tahun 1972 sememangnya memperjuangkan negara merdeka Bangsamoro di Pulau Mindanao, Filipina.

Pada tahun 1996, MNLF terima persetujuan penubuhan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) dengan Misuari selaku gabenor.

Perisytiharan itu menarik perhatian negara-negara Asia Tenggara yang telah menyaksikan perjuangan pemisahan di banyak tempat di rantau ini.

Indonesia yang telah kehilangan Timor Timur menyaksikan usaha pemisahan wilayah di Acheh, Irian Papua, Maluku Selatan, Sulawesi Timur dan Riau. Sementara media Thailand menimbulkan semula soal pemisahan Pattani apabila berlaku satu letupan di selatan.

Kecuali dalam soal Timor Timur, kerajaan-kerajaan ASEAN menolak sebarang usaha pemisahan kerana ia hanya menimbulkan suasana ketidakstabilan di rantau ini dan merugikan semua pihak.

Perisytiharan itu hanya mengeruhkan suasana politik rantau ini. Sejak MNLF memilih untuk autonomi, perjuangan kemerdekaan Bangsamoro di Mindanao diteruskan oleh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kumpulan Abu Sayyaf.

Perisytiharan itu menimbulkan kegelisahan di Manila yang sedang berhadapan dengan krisis politik antara Presiden Gloria Macapagal-Arroyo dan pengikut-pengikut bekas Presiden, Joseph Estrada.

Malah sentimen di Manila menyifatkan MNLF sedang menangguk di air keruh.

Dari segi undang-undang, perisytiharan itu bersifat hasutan dan Misuari boleh ditangkap.

Namun begitu, pada Isnin lalu, dalam wawancara dengan radio dari Zamboanga, Misuari menafikan dia mengisytiharkan sebuah Republik Bangsamoro dengan dirinya sebagai presiden.

Beliau hanya menegaskan bahawa MNLF ``tetap teguh dalam tuntutan bagi suatu autonomi politik yang adil''.

Walaupun ARMM sudah memperoleh autonomi tetapi ia dianggap tidak sempurna dan adil.

Menurut Misuari, perisytiharan yang dilaporkan itu hanyalah sebahagian daripada resolusi yang dikemukakan oleh sayap pemuda kepada Kongres Rakyat Bangsamoro Keempat (BPNC) ``supaya isu itu terus hidup bagi memastikan kerajaan memegang pada janjinya.''

Menurutnya, tuntutan MNLF terkandung dalam persetujuan dengan kerajaan-kerajaan pimpinan bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, Corazon Aquino, Fidel Ramos dan Estrada.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) hanya mengiktiraf autonomi dan bukannya republik merdeka.

Manila Times juga melaporkan penjelasan pengerusi jawatankuasa penerangan MNLF, Ibrahim Omar yang menyatakan bahawa ia hanya merupakan suatu usul yang mana belum ada tindakan daripada jawatankuasa pusat MNLF.

MNLF perlu mengkaji, memberi persetujuan sebelum diambil tindakan, kata Omar.

Menurutnya, kongres MNLF itu menyetujui perisytiharan sebuah kerajaan sementara dengan Misuari sebagai presiden pertama.

Persidangan itu juga meluluskan beberapa resolusi yang dikemukakan oleh badan-badan profesional, pemuda, wanita dan ulama mengisytiharkan Misuari sebagai presiden Bangsamoro.

Menurut laporan awal, kongres yang diadakan di sebuah kampung pergunungan, Cabatangan dengan kehadiran 2,000 perwakilan.

Dalam kongres itu, Misuari dikatakan turut mengajak MILF menyertai kembali MNLF ``kerana tidak ada sebab bagi kita untuk tidak bersatu''.

MILF pimpinan Salamat Ali merupakan serpihan kepada MNLF. Ketika mana MNLF menekankan soal kebangsaan, MILF lebih cenderung kepada sentimen Islam. Dari segi politik, perpecahan itu adalah lebih kepada penolakan sebahagian daripada pejuang Moro kepada pimpinan MNLF. Mereka juga menolak dasar damai dan proautonomi MNLF.

Republik Bangsamoro yang dinyatakan itu meliputi 13 wilayah dan sembilan bandar raya di Filipina selatan atas alasan bahawa Manila gagal mematuhi persetujuan yang mereka tandatangan pada tahun 1996.

Menurut penganalisis, perkembangan ini lebih mencerminkan kepada pergolakan politik dalam MNLF.

Suatu usaha oleh sekumpulan pemimpin MNLF yang dikenali sebagai Majlis 15 untuk menggulingkan Misuari sedang dilakukan apabila mereka cuba menaikkan kedudukan gabenor itu kepada kedudukan pengerusi kehormat, suatu jawatan terhormat tetapi tidak ada kuasa.

Untuk mematahkan kongres di Zamboanga itu, sekumpulan lain kumpulan pemimpin MNLF mengadakan mesyuarat berasingan dan sulit di Hotel Manor, Manila bagi mengeluarkan dokuman menaikkan pangkat Misuari.

Demikian menurut Mahendra A. Madjilon, ketua Biro Penerangan Awam ARMM.

Menurut Madjilon, dalam kongres itu, ahli-ahli jawatankuasa pusat MNLF mengulangi sokongan padu, kesetiaan dan kepatuhan kepada kepimpinan Misuari ``sebagai pemimpin MNLF dan Revolusi Bangsamoro.''

Madjilon juga berkata Misuari mengingatkan bahawa perjuangan bagi penubuhan Republik Bangsamoro haruslah dilakukan secara aman, diplomatik dan mengikut undang-undang.

Sementara itu, bekas ketua propaganda MNLF, Hadji Ahmad Bayam berkata, persaingan antara pemimpin-pemimpin kanan MNLF telah lama berlaku dan ini merupakan pendorong kepada usul kepada usaha penubuhan Republik Bangsamoro.

Bayam yang kini bertugas dengan Pejabat Penasihat Presiden Filipina mengenai ehwal politik menegaskan bahawa usul itu bercanggah dengan persetujuan damai yang ditandatangani oleh MNLF dan kerajaan Manila.

Persetujuan itu telah mengikat MNLF dan sukar bagi pemimpin-pemimpinnya untuk kembali kepada perjuangan menuntut kemerdekaan.

Bekas ketua peguam MNLF, Macapanton Abbas Jr berpendapat kemungkinan akan berlaku penyingkiran oleh Misuari ke atas pemimpin-pemimpin yang menentangnya. Menurutnya, ia boleh menjadi berlaku rombakan besar ke atas MNLF, malah boleh berlaku pembunuhan.

Bagaimanapun, menurut jurucakap dan penasihat kanan MNLF, Absalom G. Cerveza kongres itu pada mulanya hanya dipanggil untuk berbincang tentang pendirian yang perlu diambil oleh organisasi terhadap mesyuarat tiga pihak akan datang yang terdiri daripada kerajaan, OIC dan MNLF.

Ia juga bercadang untuk membincangkan jangka waktu baru bagi pelaksanaan persetujuan damai yang ditandatangani oleh kerajaan dan MNLF pada 2 September 1996.

Menurut Cerveza, pemimpin-pemimpin MNLF juga terkejut apabila perwakilan meluluskan usul MNLF untuk menggugurkan perjuangan autonomi dan kembali menuntut kemerdekaan secara demokratik dan aman.

Perwakilan juga, menurut Cerveza meminta MNLF sebagai wakil tunggal Bangsamoro mengemukakan satu petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut kemerdekaan.

Menurutnya, perisytiharan kemerdekaan itu tidak menghasut kerana Piagam PBB menjamin hak rakyat di mana-mana wilayah dunia untuk menentukan nasib kenegaraan mereka sendiri.

Menurut wakil tetap MNLF ke OIC, Dr. Abdurrahman Amin, tuntutan untuk kemerdekaan timbul kerana kerajaan gagal melaksanakan peruntukan yang terkandung dalam persetujuan damai 1996.

``Cukuplah,'' kata Amin, ``Kita telah menunggu sangat lama. Rakyat kita terpinggir, tanah kita telah menjadi medan perang dan keseluruahnnya hampir musnah.''

Namun begitu, Ketua Ehwal Luar MNLF yang merupakan salah seorang penentangnya, Dr. Parouk Hussein menyatakan bahawa perisytiharan kemerdekaan itu adalah hasutan dan kerajaan patut menangkap Misuari.

Perkembangan ini bertambah merumitkan suasana politik Filipina. Bukan saja Manila menghadapi pertembungan antara Arroyo dan Estrada tetapi presiden itu juga sedang dalam rundingan dengan pihak komunis.

Ketika perisytiharan itu dibuat, satu pertembungan berlaku pada Hari Buruh di mana penyokong-penyokong Estrada mengepung Istana Malacanang untuk menggulingkan Arroyo. Pertembungan itu berakhir dengan kematian enam orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Namun begitu, kerajaan Arroyo mengambil berat tentang perkembangan MNLF ini. Pada Ahad lalu, Setiausaha Rendah Filipina, Jesus Dureza yang ditugaskan sebagai pembantu presiden tentang ehwal wilayah Mindanao Selatan telah menemui Misuari.

Namun begitu, kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Perkembangan MNLF ini tidak menyumbang kepada kestabilan rantau Asia Tenggara dan ia mengesampingkan perhatian daripada isu sebenar rakyat iaitu ekonomi dan pembangunan.

Tetapi Misuari selaku pemimpin yang berpengalaman dan pragmatik tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjerumuskan kembali rakyatnya dalam kancah peperangan dan kesusahan.

Selain daripada soal politik di Manila, masalah Filipina ini juga merupakan limpahan daripada kegawatan ekonomi di rantau ini. Walaupun Filipina tidak terjejas secara langsung tetapi akibat kegawatan itu, pelaburan dari negara-negara lain termasuk yang dirancang untuk Mindanao tidak dapat diteruskan. - Agensi

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum