RENCANA

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Kluang jadi permata Johor

Oleh:JAAFAR AHMAD (WARTAWAN UTUSAN)
KLUANG berpotensi menjadi pusat pertumbuhan kedua terpenting selepas bandar raya Johor Bahru ekoran kedudukan geografinya dan pembangunan pesat yang sedang dialami.

Dasar Kerajaan Negeri yang menggariskan rancangan menjadikan bandar Kluang pusat komunikasi utama tengah Johor telah membantu menjana pembangunannya sehingga kini ia didiami oleh 155,000 orang.

Bandar tersebut merupakan satu-satunya bandar di Johor yang mempunyai empat jalan utama dengan menghubungkannya secara langsung ke bandar Johor Bahru (Selatan), Kota Tinggi (Tenggara), Batu Pahat (Barat) dan Mersing (Timur).

Kedudukan itu menjadikannya seolah-olah sebuah `lukah' yang berupaya menarik para pelabur asing termasuk pelabur bertaraf antarabangsa untuk menanam modal atau membuka perusahaan di bandar tersebut.

Sebagai sebuah kawasan yang indah kerana fizikal semula jadinya berbukit-bukau, bandar Kluang adalah sebuah tempat yang nyaman dan selesa untuk didiami oleh segenap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika bandar tersebut terus menjadi tumpuan masyarakat dari luar Johor sehingga kini menjadikannya sebuah bandar yang padat dengan kawasan kediaman terutama taman-taman perumahan.

Bagi menjadikan Kluang sebuah pusat pertumbuhan kedua terpenting, maka pelbagai rancangan pembangunan telah disusun dan dirancang oleh Kerajaan Negeri terutama Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sejak 1980.

Yang Dipertua MPK, Hamsan Saringat ketika ditemui baru-baru ini tidak menafikan bahawa bandar itu akan menjadi pusat pertumbuhan kedua terpenting selepas Johor Bahru berikutan kemajuan yang dicapai sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, daerah tersebut mempunyai banyak keistimewaan sepertimana bandar-bandar besar lain yang telah pun menempa kemajuan yang tinggi.

Menyorot perkembangan lalu, menurut beliau, sebelum ini Kluang yang dibuka awal tahun 1910 hanya merupakan sebuah bandar kecil yang didiami oleh beberapa orang peniaga.

Pusat bandar ketika itu terletak di penjuru antara Jalan Batu Pahat dan Jalan Mengkibol dengan menempatkan sebuah pasar awam, beberapa deret rumah kedai dan rumah pasung.

Bagaimanapun, menurutnya, bandar itu mula berkembang hingga ke Jalan Ismail, Jalan Stesen dan Jalan Mersing pada tahun 1920 ekoran pembukaan beberapa buah ladang dan pembinaan landasan kereta api oleh pihak kerajaan British.

Kewujudan kem tentera British (Garisson Kem) terbesar di selatan yang menempatkan lebih 3,000 anggota tentera dan pembukaan hospital kerajaan berhampiran kem itu meningkatkan lagi bilangan penduduk selepas tamat perang dunia kedua.

``Perkembangannya menyebabkan kerajaan menubuhkan Lembaga Bandaran Kluang (Town Board) yang diketuai oleh seorang Merinyu Kesihatan pada tahun tersebut apabila penduduknya mencapai 5,000 orang,'' katanya.

Beliau berkata, berikutan pembangunan pesat yang dicapainya, maka pada tahun 1957, Lembaga Bandaran Kluang telah dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Kluang (MBK) yang mana Pegawai Daerah (DO) menjadi Yang Dipertuanya.

Menurutnya, lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1962, MBK telah menubuhkan lima buah Majlis Tempatan bagi menyusun semula kedudukan pekan-pekan kecil serta meningkatkan sosioekonomi para penduduk kawasan terbabit.

Kelima-lima Majlis Tempatan itu terdiri daripada Majlis Tempatan Kampung Paya, Majlis Tempatan Kampung Gajah, Majlis Tempatan Sri Lalang, Majlis Tempatan Chamek dan Majlis Tempatan Paloh.

Beliau berkata, pada 1 Januari 1977, MBK telah disatukan dengan lima Majlis Tempatan berkenaan dan membentuk pula Majlis Daerah Kluang Utara (MDKU) di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

``Pembentukan MDKU telah memperluaskan lagi kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sehingga merangkumi kawasan seluas 126.5 kilometer persegi dengan bilangan penduduk melebihi 65,000 orang,'' katanya.

Hamsan seterusnya berkata, bandar Kluang terus berkembang dan maju di bawah MDKU apabila lebih banyak projek-projek pembangunan dibangunkan menerusi perancangan Malaysia lima tahun serta komitmen daripada Kerajaan Negeri.

``Bilangan penduduk dalam bandar semakin meningkat dan kini mencapai 155,000 orang yang mana majoritinya terdiri daripada mereka yang `makan gaji' dalam pelbagai sektor terutama perindustrian.

Sementara itu, menurut beliau, perkembangan pesat sektor ekonomi dan perindustrian pula telah mendorong pada pembinaan lebih banyak projek perumahan, pusat dan kompleks perniagaan serta tapak-tapak perindustrian baru.

``Pada masa ini terdapat 500 buah kilang pelbagai jenis pengeluaran termasuk beberapa buah daripadanya bertaraf antarabangsa beroperasi di sembilan buah kawasan perindustrian dengan menjadikannya penyumbang utama pekerjaan kepada beribu penduduk tempatan,'' katanya.

Menurutnya, antara kilang-kilang gergasi antarabangsa itu ialah kilang jubin, elektronik dan tekstil dengan menjadikan Kluang pengeluar terbesar jubin bermutu tinggi di negara ini.

Beliau berkata, berikutan itu bilangan pegangan terus termasuk kediaman, perdagangan dan perindustrian meningkat daripada 20,500 dalam tahun 1988 kepada 42,455 tahun lalu.

Menyentuh peningkatan taraf MDKU kepada MPK mulai 1 Januari 2001, Hamsan berkata, peningkatan taraf itu akan menyerlahkan lagi peluang pembangunan dan sekali gus menjadikannya pusat pertumbuhan kedua terpenting di Johor.

Menurutnya, menerusi peningkatan itu taraf sosiopenduduk serta gaya hidup mereka juga akan turut berubah ke arah lebih berkualiti dan maju selaras dengan kemajuan yang dicapai.

Beliau berkata, bagi MPK, pihaknya telah pun menyusun pelbagai langkah untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan di samping menguruskan kewangan secara berhemah.

Menurut beliau, pihaknya akan hanya berbelanja serta melaksanakan sesuatu projek yang benar-benar penting bagi mengelakkan berlaku pembaziran wang rakyat.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri pula telah pun mengisi beberapa jawatan profesional termasuk jurutera, akauntan, pegawai penilai dan penolong pegawai perancang bagi memenuhi keperluan semasa.

``Kami turut memaksimumkan tenaga yang ada untuk mempastikan semua tugas terutama yang berkaitan kebersihan dan keindahan ditingkatkan,'' katanya.

Menurutnya, mutu perkhidmatan kaunter di semua pejabat termasuk cawangan-cawangan turut ditingkatkan kerana ia merupakan nadi pungutan hasil MPK.

Hamsan seterusnya melahirkan rasa lega kerana kedudukan kewangan MPK kini berada pada tahap yang memuaskan yang mana aliran tunainya sehingga Mac lalu sebanyak RM11 juta berbanding RM2 juta pada tahun 1998.

``Manakala pungutan hasil MPK pada tahun lalu meningkat RM16.67 juta berbanding RM14.3 juta pada tahun 1998 dengan peningkatan 16 peratus,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum