Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Kedai buku, ukuran tahap intelek negara

Oleh:ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
KALAU ditanya, apakah perkembangan paling bermakna bagi para intelektual di Malaysia dalam dua tahun ini, jawapan paling tepat adalah kemunculan dua kedai buku besar di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Kuala Lumpur menyaksikan kemunculan kedai buku MPH di Mid Valley dan April lalu, kedai buku Kinokuniya menjadikan kunjungan ke KLCC bererti bagi peminat buku.

Buat pertama kali Malaysia memiliki kedai buku mega dan ini boleh dianggap sebagai petanda negara ini memasuki alaf baru di atas landasan ke arah kemajuan pemikiran.

Kedai buku mempunyai peranan besar dalam merancakkan perkembangan intelektual negara. Ia merupakan pintu bagi kemasukan idea-idea baru dalam bentuk yang tersusun dan jelas.

Bagaimanakah rakyat negara ini dapat memiliki daya pemikiran yang luas kalau tidak dapat akses kepada idea-idea terbaru yang berlegar di dunia hari ini.

Sememangnya kemunculan Internet membantu kemasukan idea-idea baru ke negara ini dan ia telah merobah banyak cara fikir dan hidup rakyat.

Tetapi peranan besar dalam memberikan idea yang jitu, kemas dan mencabar datangnya dalam bentuk buku. Dalam hal ini, kedai-kedai buku atas talian khususnya Amazon.com memainkan peranan besar dalam membawa masuk buku-buku ke dalam negara ini.

Sebelum adanya Internet dan Amazon.com, pemerolehan buku hanya dapat dilakukan melalui pos dan sudah tentu ia tidak memudahkan saluran buku-buku dari luar.

Namun begitu, kedai buku masih merupakan saluran terbaik bagi mendapatkan buku-buku kerana hanya di situ seseorang dapat membuat penilaian tentang sesuatu buku sebelum dibeli.

Sebelum kehadiran kedai buku mega MPH dan Kinokuniya di Kuala Lumpur, penyalur-penyalur buku dari luar banyak dibekalkan oleh rangkaian kedai-kedai buku bersaiz sederhana seperti Times, Popular, Big Book Shop dan MPH sendiri.

Selain itu, kedai-kedai buku Jepun seperti Kunikuniya dan Maruzen turut menyumbang kepada saluran buku-buku luar. Begitu juga dengan kedai buku koperasi Universiti Malaya, Minerva dan Skoob.

Kedai-kedai buku bukanlah suatu industri yang menarik dari segi keuntungan. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kebanyakan kedai buku dibuka akhirnya terpaksa ditutup. Ada yang membukanya kerana minat dan mencintai buku. Antaranya seperti Books Chamber yang pernah wujud di Bangsar. Kedai buku ini menmpa sejarah dengan memaparkan buku-buku yang bermutu tinggi dengan suasana kedai yang klasik.

Buku sememangnya mahal, terutamanya yang import dan berkualiti menyebabkan tidak ramai yang mampu membelinya.

Namun begitu, kerajaan telah menggalakkan pembelian buku dengan memberikan potongan cukai pendapatan sebanyak RM500.

Tetapi kegawatan ekonomi yang melanda rantau ini baru-baru ini memberikan tamparan hebat kepada pembeli-pembeli buku. Perbezaan nilai mata wang sudah tentu menjejaskan peluang pembelian buku. Buku import masih merupakan barangan mewah yang boleh dikatakan setaraf dengan barangan pengguna berjenama yang lain.

Tetapi peminat buku khususnya intelektual tidak dapat lari daripada membeli buku import. Hakikatnya buku-buku baik masih bersumberkan dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain dengan berbahasa Inggeris.

Namun begitu di peringkat dunia, buku-buku bukan Inggeris seperti Jerman, Perancis dan Jepun amat berkualiti. Tetapi di negara ini, bahasa intelektual adalah Inggeris dan sudah tentu sumber utama saluran intelektual adalah daripada buku-buku Inggeris yang diimport.

Sebenarnya, buku Inggeris yang baik bukan hanya dari AS dan Britain. Terdapat juga buku berbahasa Inggeris yang baik dari India dan Australia yang menawarkan harga jauh lebih murah. Tetapi tidak ada usaha jelas oleh pengedar untuk membawa buku-buku dari situ.

Namun begitu, sekiranya seseorang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik, mereka masih boleh menjadi intelektual dan peminat buku.

Di negara ini dan zaman ini, intelektual seharusnya menguasai bahasa Inggeris kerana sumber ilmu dalam bahasa itu adalah paling luas. Namun begitu bahasa bukan halangan. Bagi pembaca berbahasa Melayu mereka boleh meluaskan pembacaan mereka melalui buku-buku Indonesia.

Buku-buku Indonesia meliputi tajuk-tajuk pemikiran yang lebih luas dan mendalam daripada bahasa Malaysia. Terjemahan buku-buku intelektual yang berat-berat dilakukan di Indonesia walaupun negara itu tidak mempunyai kedudukan ekonomi yang baik.

Lagipun buku-buku Indonesia jauh lebih murah daripada bahasa Inggeris. Malangnya, ia tidak luas dipasarkan di negara ini. Di Kuala Lumpur, hanya Pustaka Indonesia di Wisma Yakin yang menawarkan buku-buku Indonesia. Dengan mengikut kehendak pasraan, kecenderungan adalah kepada buku-buku agama. Tetapi buku-buku agama mereka jauh lebih berkualiti dan pelbagai dari segi pemikiran.

Di kalangan pembaca Cina, buku-buku dari Hong Kong, China dan Taiwan juga sampai ke negara ini. Kedai-kedai buku Cina seperti Shanghai menjalankan perniagaan yang menguntungkan walaupun mereka terkenal dengan menjual alat-alat tulis.

Begitu juga buku-buku Tamil yang diimport dari India.

Umumnya, walaupun Malaysia mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih baik, tetapi industri perbukuan di China (termasuk Hong Kong dan Taiwan), India dan Indonesia adalah jauh lebih rancak.

Pasaran buku di negara ini amat lemah walaupun penduduk negara ini mempunyai pendapatan yang lebih baik berbanding rakyat negara-negara tersebut.

Bukan saja industri perbukuan seperti penerbitan dan kedai buku, malah perkhidmatan perpustakaan jauh daripada memuaskan.

Perpustakaan seharusnya menjadi tempat menampung keperluan buku memandang harga buku yang tinggi. Bagi peminat buku termasuk intelektual yang bekerja di universiti, mereka mungkin bernasib baik kerana mempunyai akses kepada buku-buku bermutu.

Tetapi tidak semua intelektual berada di universiti. Intelektual di luar universiti terpaksa bergantung kepada perpustakaan dan kedai buku.

Secara umumnya di seluruh negara, perpustakaan awam sering dikaitkan dengan kanak-kanak dan pelajar. Seolah-olah hanya kanak-kanak yang perlu digalakkan membaca sedangkan orang dewasa tidak perlu membaca.

Tidak mencukupi perpustakaan hanya di ada sebuah di satu bandar. Perpustakaan tidak seharusnya berbangunan besar. Rumah-rumah kedai sudah mencukupi untuk menjadi perpustakaan. Yang penting ialah bilangannya dan isi perpustakaan yang mengandungi buku-buku terbaru dan sentiasa diperbaharui. Perpustakaan bukan untuk menyimpan buku, tetapi sebaliknya memperluaskan pengedaran bahan bacaan.

Sememangnya tidak perlulah semua orang menjadi peminat buku kerana perkara ini merupakan kecenderungan individu masing-masing.

Namun begitu keperluan golongan minoriti yang bermakna ini haru ditampung oleh masyarakat kerana mereka merupakan pemacu pemikiran dalam negara yang sumbangannya kepada negara berlaku secara tidak langsung.

Sekurangnya-kurangnya bilangan peminat buku termasuk intelektual dapat mencapai tahap yang boleh menampung industri buku di negara ini dengan wajar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum