Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Pemimpin UMNO Selangor bersikap matang

Oleh:AMIR SARIFUDIN (Wartawan Utusan)
SEMUA 17 bahagian UMNO di Negeri Selangor telah pun selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sepanjang April dan awal Mei ini.

Walaupun terdapat muka baru, namun secara keseluruhannya keputusan yang dicapai lebih menggambarkan pada gabungan antara muka lama dan baru.

Perkembangan ini dicapai hasil kompromi antara para pemimpin lama dan baru di peringkat bahagian setelah beberapa nasihat diberikan oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Namun begitu, masih terdapat pertandingan di beberapa bahagian yang agak `panas' seperti Bahagian Kuala Selangor, dan Gombak.

Sepanas mana pun keadaan ketika itu, tetapi mesyuarat masih berjalan dengan baik ekoran sikap profesionalisme para pemimpin yang bertanding.

Kompromi yang digalakkan sepanjang pertandingan di Selangor ialah mana-mana pemimpin yang terlalu lama secara sukarela boleh mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada muka baru.

Walaupun orang lama ini mengundurkan diri, tetapi khidmat mereka masih diperlukan. Oleh itu golongan ini terus diberikan tanggungjawab sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian.

Bagi Bahagian Tanjong Karang, Datuk Aini Taib dilihat sebagai mengotakan janjinya dengan memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk jawatan Ketua Bahagian.

Pemerhati politik berpendapat, langkah tersebut bukan sahaja dapat memperkukuhkan UMNO bahagian berkenaan, malah sebagai persediaan untuk menumbangkan calon Pas di situ, Datuk Dr. Hasan Ali.

Tindakan Aini juga dilihat sebagai langkah membuktikan bahawa kepentingan parti melebihi keperluan individu.

Pada masa yang sama, jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Tanjong Karang yang dilepaskan oleh Dr. Khir dimenangi oleh Selamat Dollah, Setiausaha Sulit kepada Dr. Khir, tanpa ada pertandingan.

Penganalisis politik berpendapat bahawa peranan Selamat mulai sekarang hinggalah tempoh pilihan raya umum 2004 amat besar dan timbul pertanyaan sama ada apa yang dilakukan oleh Dr. Khir sebelum ini dapat dilakukan juga oleh Selamat.

Dengan kata lain, Pergerakan Pemuda Bahagian Tanjong Karang bakal memainkan peranan dalam menentukan kemenangan Dr. Khir sendiri serta UMNO di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Tanjong Karang.

Untuk itu, Selamat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan anak-anak buahnya terutama Jawatankuasa Pemuda dapat menarik seramai mungkin pengundi. Untuk itu mereka perlu mendekatkan diri dengan pengundi muda dan juga golongan tua.

Jika Pemuda bahagian itu berterusan kuat menghormati orang lain serta tidak berputus asa, pasti amalan tersebut dapat menempa kejayaan.

Dalam pada itu, sesuatu yang amat menarik berlaku pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor apabila Daud Tarihep, Ketua Cawangan Kampung Sepakat berjaya membuat lonjakan dan kejutan hingga memenangi kerusi Ketua Bahagian berkenaan.

Walaupun pada mulanya berlaku pertandingan tiga penjuru yang sekali gus memperlihatkan perpecahan undi, namun Daud masih berjaya memenangi jawatan tersebut.

Daud memperolehi 125 undi manakala dua pencabar lain iaitu Jahaya Aziz yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Bahagian mendapat 114 undi manakala Datuk Hanapi Suliman, seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian pula mendapat 68 undi.

Sebagai ahli yang tidak mempunyai kedudukan dalam Jawatankuasa UMNO Bahagian itu sebelum ini, kejayaan Daud lebih dilihat sebagai satu angin perubahan yang amat besar memandangkan para perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor mahukan perubahan drastik.

Perubahan yang dimaksudkan bukan mahukan bahagian itu dipimpin oleh golongan muda kerana Daud sendiri sudah berusia 49 tahun.

Sebaliknya, pemerhati politik berpendapat, perwakilan kini mahukan satu perubahan yang agak berlainan iaitu memilih seorang pemimpin daripada kalangan ahli UMNO biasa tetapi di luar Jawatankuasa Bahagian.

Daud sebenarnya pernah juga cuba merebut jawatan Ketua Bahagian pada tahun 1987 tetapi tewas kepada Datuk Seri Abu Hassan Omar.

Ketika itu Daud merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan pada pertandingan berkenaan beliau tewas dengan 32 undi.

Kerana tidak berputus asa, beliau membuat percubaan kali kedua dengan cuba merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 1998 dan sekali lagi kecundang dengan 10 undi sahaja.

Dari tahun 1987 hinggalah kepada pertandingan baru-baru ini, Daud hanya berada di luar Jawatankuasa Bahagian.

Kemenangan yang mungkin tidak dijangka oleh ramai pemerhati politik itu juga sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa para perwakilan dan ahli UMNO Bahagian Kuala Selangor mahukan satu imej baru bagi bahagian berkenaan.

Para pemerhati politik berpendapat, keputusan Datuk Seri Abu Hassan Omar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor pada akhir tahun lalu sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan para perwakilan.

Mereka mahukan suatu perubahan drastik pada UMNO Bahagian berkenaan di samping mengembalikan semula keyakinan ahli-ahli dan imej sebagai sebuah parti berwibawa.

Semua ini dilihat perlu berlaku sekarang walaupun UMNO mempunyai masa tiga tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Satu lagi pertandingan yang menarik melibatkan Bahagian Gombak apabila dua calon jawatan Ketua Bahagian, Datuk Fuad Hassan dan Ahmad Bujang pada pemilihan 29 April lalu mendapat undi sama banyak iaitu 331 setiap seorang.

Oleh itu, pemilihan kali kedua bagi jawatan tersebut telah diadakan Ahad lalu dan akhirnya Ahmad yang mendapat 345 undi berjaya menewaskan Fuad dengan majoriti 48 undi.

Walaupun berlaku perpecahan yang memperlihatkan terdapat kem-kem tertentu, namun selesainya pemilihan itu, ahli-ahli UMNO seperti biasa akan bersatu semula.

Ini kerana pertandingan yang berlaku dilihat sebagai perkembangan sihat. Tambahan pula setiap pertandingan dan perjalanan mesyuarat sentiasa dipantau oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Jika pertandingan yang sudah selesai di Selangor masih gagal menyatukan ahli-ahli UMNO, sekali gus ia memperlihatkan terdapat ahli yang mahu mengejar kedudukan untuk kepentingan diri.

Namun, ahli-ahli tulen UMNO sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan sikap sedemikian bakal menentukan penyatuan kembali ahli-ahli dan seterusnya memantapkan kedudukan parti.

Di samping itu pemerhati politik berpendapat, kehadiran muka-muka baru sama ada bagi jawatan Pemuda, Wanita mahupun di peringkat bahagian, haruslah dilihat sebagai kesinambungan perjuangan UMNO dan para pemimpin veteran.

Kehadiran mereka ini tidak boleh dilihat sebagai mahu mengejar kedudukan. Ini kerana seharusnya para perwakilan sudah matang dalam menentukan arah tuju parti serta siapa para pemimpin mereka.

Jika masih ada juga segelintir pemimpin muka baru yang tidak memenuhi hasrat parti, kesalahan seharusnya diletakkan pada bahu perwakilan kerana merekalah yang membuang undi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum