Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Perpaduan jadi perjuangan sepanjang zaman

Oleh: DR. NOVANDRI HASAN BASRI
HARI ini UMNO berusia 55 tahun. Secara rasmi, UMNO telah dilancarkan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru.

Sudah 55 tahun berlalu, kini UMNO berada dalam suasana yang amat berlainan jika dibandingkan sebelum ini. Usia 55 tahun sudah cukup menuakan seorang remaja dan mendewasakan seorang budak kecil.

Kekosongan yang mula ditinggalkan oleh pejuang sebelum merdeka setelah mengharungi perit getir kelemahan politik dan kedaifan bangsa kini diisi generasi Melayu baru yang masih muda dari segi umur mahu pun pengalamannya.

Kebanyakan pengalaman generasi muda lebih bersifat teori, berdasarkan kepada buku-buku sejarah, tanpa terpahat bekas-bekas luka perjuangan seperti pejuang nasionalis Melayu sebelum mereka.

Malah hari ini, sejarah bangsa dan negara biasanya dipelajari, semata-mata untuk lulus di dalam peperiksaan, tanpa sebenarnya menjiwai dan mendalami erti kata perjuangan itu sendiri.

Sungguhpun begitu, evolusi parti UMNO sungguh menakjubkan dan menggetarkan perasaan ini, terutama sekali di awal penubuhannya. Kita mungkin tidak mampu merasai bahangnya tetapi cuba bayangkan apabila 41 buah pertubuhan terbesar orang Melayu yang mewakili pelbagai kepentingan, dapat dihimpunkan dan berjaya mengadakan Kongres Melayu Setanah Melayu di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Suasana di masa itu tentu sangat hangat dibakar oleh api semangat perjuangan orang Melayu yang berada di kelab tersebut. Ia seterusnya telah mencetuskan bibit-bibit penyatuan dan perpaduan, hinggalah terbentuknya Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau pun UMNO.

Penyatuan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946 itu terasa begitu mustahil untuk direalisasikan tetapi ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan dan sepatutnya menjadi kayu pengukur kepada orang Melayu hari ini.

Hakikinya, seluruh orang Melayu mampu bersatu jika kita dapat mengutamakan agama dan bangsa sebagai nafas utama di dalam berpolitik di alaf baru ini.

Apakah setelah 55 tahun ini, generasi muda sedar bahawa UMNO tetap relevan untuk dipertahankan dan satu-satunya parti politik tulen orang Melayu yang perlu didekati dan difahami.

Kesemua objektif utama kewujudan UMNO adalah aspirasi dan semangat UMNO yang sungguh menarik untuk kita fahami dan perjuangkan. Secara amnya, aspirasi UMNO tidak berubah, tidak seperti parti-parti politik Melayu lain. Kebanyakan parti politik yang lain tidak berpendirian kukuh dan mengikut rasmi lalang di mana pendiriannya terhoyong-hayang mengikut rentak manusia dan politik di ketika itu.

Realitinya, terdapat parti-parti politik Melayu yang kedengaran hari ini yang mempunyai natijah penubuhan yang lahir daripada perasaan dengki atau pun kecewa. Yang terpenting sekali ialah parti-parti tersebut sebenarnya merupakan serpihan kepada acuan atau aspirasi asal parti politik Melayu iaitu UMNO.

Perkataan tidak sehaluan yang selalu dipakai oleh mereka ini adalah sekadar kosmetik sandiwara politik untuk menutup perasaan-perasaan negatif tersebut.

Persoalannya sekarang, apakah perasaan-perasaan negatif di dalam kepimpinan parti-parti tersebut dapat menyediakan landasan kukuh kepada perjuangan agama dan bangsa yang bersih lagi suci seperti perjuangan parti UMNO.

Sayangnya, ideologi fanatisme dan idola yang mewarnai kefahaman politik sesetengah orang Melayu hari ini telah menyebabkan semangat tulen UMNO dikaburi dan tidak menjadi kriteria terpenting di dalam memilih parti politik.

Pada hal, jika diteliti dan fahami, aspirasi UMNO merangkumi segala aspek kehidupan manusia, sama ada agama, ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum dan sebagainya. Tidak pernah wujud ideologi sekularisme di dalam kamus UMNO, seperti yang digembar-gemburkan oleh parti pembangkang. Malah realitinya, UMNO adalah parti Islam terbesar di Malaysia ini.

Parti UMNO juga telah disalah anggap oleh sesetengah pihak tidak lama dulu. Seruan Presiden UMNO supaya bangsa Melayu bersatu telah dilabelkan sebagai gimik politik yang wujud hanya selepas pilihan raya tahun 1999.

Pada hal perpaduan dan penyatuan bangsa Melayu merupakan salah satu daripada visi utama UMNO, sejak dari awal penubuhannya lagi.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya yang bertajuk The Challenge (1986) telah menekankan kewujudan UMNO yang dipenuhi dengan usaha untuk menyatupadukan seluruh bangsa Melayu, sejajar dengan nama UMNO itu sendiri iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Di dalam buku itu, Dr. Mahathir telah berasional dengan mengatakan bahawa perpaduan bangsa Melayu tidak semestinya bersatu di bawah payung UMNO tetapi bersatu atas nama Melayu itu sendiri.

Menurutnya lagi, perubahan di dalam sikap inilah yang memungkinkan kerjasama terjalin di antara UMNO dan Pas selepas peristiwa hitam tahun 1969. Parti politik hanyalah satu alat. Yang terpenting sebenarnya ialah perpaduan kerana perpaduanlah yang boleh mendatangkan kejayaan, tambah beliau lagi.

Hasil tulisan Dr. Mahathir itu ternyata telah menafikan segala fitnah yang ada kita dengar hari ini. Realitinya, seruan perpaduan adalah perjuangan UMNO sepanjang masa dan bukan hanya hadir selepas pilihan raya yang lepas, seperti yang telah dilemparkan oleh parti-parti pembangkang.

Hari ini, 31 tahun selepas kerjasama UMNO - Pas tahun 1970, muzakarah di antara dua parti ini telah gagal dan tenggelam di dalam lipatan politiking berlebihan bangsa Melayu. Majlis Fatwa Kebangsaan turut dikecewakan oleh pembentukan suasana yang tidak kondusif untuk meneruskan usaha muzakarah mereka.

Fakta-fakta di atas perlulah difahami dengan dalam oleh kita, generasi muda Melayu.

Realitinya, kita boleh keliru, lebih-lebih lagi di zaman teknologi maklumat (ICT) dan dunia yang serba pantas hari ini. Terlalu banyak putar belit, khabar angin dan informasi politik yang mudah kita baca, dengar dan ucapkan, sehinggakan boleh terperangkap di antara realiti dan dongengan.

Oleh kerana itu, sebagai seorang Melayu yang berilmu, kita dituntut untuk mengkaji wajah politik serta senario manusia dan kita mesti bijak membezakan di antara fakta dengan fitnah.

Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri tentang segala persoalan politik orang Melayu hari ini.

Jika kita selidiki, cara yang terbaik untuk mengelakkan kekeliruan sedemikian rupa ialah berpegang kepada sumber-sumber yang mampu mengemukakan bukti-bukti yang sahih.

Perlu bagi kita berpaksikan kepada pihak-pihak yang mempunyai rekod-rekod hasil kerja keseluruhan yang paling hampir konsisten dan terbukti keefesiennya. Maka dengan ini diharapkan semoga kita akan sentiasa berada di dalam kebenaran dan bersatu padu menghidupkan kembali perjuangan orang Melayu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum