Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Kuota perlu untuk kesaksamaan ilmu

BERBAGAI pihak memberikan pendapat yang berbeza apabila saranan terhadap kuota bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu dikaji.

Tidak dapat dinafikan selama ini golongan profesional bumiputera yang sedang berkhidmat sekarang baik di sektor awam mahu pun di sektor swasta kebanyakannya lahir daripada dasar sistem kuota kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA.

Tidak boleh tidak, dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum tidak sepatutnya timbul sistem kuota kemasukan pelajar ke IPTA mengikut latar belakang kaumnya.

Keutamaan sepatutnya diberikan megikut pencapaian akademik seseorang itu.

Oleh yang demikian tidak akan berlaku pemilihan atas dasar perkauman semasa pengambilan pelajar ke IPTA.

Yang menjadi pokoknya di sini ialah untuk membentuk sebuah masyarakat yang berilmu di mana ilmu tadi boleh disumbangkan semula untuk membentuk sebuah masyarakat yang bertamadun dan negara yang maju.

Sejarah tamadun Andalus pada sekitar abad ke-10 Masihi membuktikan bahawa mereka telah mengutamakan ilmu lebih daripada yang lain di mana mereka membenarkan orang Eropah dan Arab belajar bersama dan hasilnya tidak kurang daripada 500,000 buah buku ilmiah telah dihasilkan daripada ilmu kimia, matematik, perubatan, astronomi, fizik, falsafah, muzik dan seterusnya.

Yang mana ia telah dijadikan sebagai asas penerokaan ilmu sains dan teknologi yang ada sekarang.

Akan tetapi dalam usaha untuk mengimbangkan taraf intelektual antara kaum, sistem kuota ini perlu diadakan kerana majoriti pelajar bumiputera tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA apatah lagi ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tanpa skim biasiswa dan pinjaman.

Ahli-ahli profesional yang telah mendapat keistimewaan ini dahulunya berasal dari keluarga yang terpencil, keluarga nelayan, keluarga penoreh getah dan keluarga petani.

Logiknya kuota bumiputera ini dikaji ialah secara tidak langsung ia telah menimbulkan kebergantungan penuh masyarakat kepada kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di mana secara tidak langsung masyarakat secara kolektif tidak menambahkan usaha untuk membantu membiayai pelajar-pelajar bumiputera seperti mengadakan lebih banyak konsortium, yayasan, badan amal dalam membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk ke IPTA atau ke IPTS.

Ia juga akan menimbulkan semangat belajar yang lebih kuat di kalangan pelajar bukan bumiputera kerana mereka akan merasakan mereka adalah harapan bangsa mereka, di mana mereka menyaksikan sendiri ramai rakan mereka yang sama kelayakan dengan mereka tidak mendapat tempat ke IPTA.

Kuota ini sebenarnya boleh dihapuskan, sekiranya masyarakat sendiri boleh memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan membiarkan seorang pun pelajar yang berkelayakan tidak dapat melanjutkan pelajaran dengan memastikan mereka akan mendapat tempat ke IPTA atau ke IPTS melalui pembiayaan kerajaan mahu pun masyarakat sendiri.

Jika sekiranya tempat di IPTA dan IPTS pula tidak mencukupi, maka kerajaan dan masyarakat haruslah memastikan agar lebih banyak IPTA, IPTS dan Kolej Komuniti dibina.

Mungkin usaha untuk membina sebuah Kolej Komuniti di setiap kawasan Parlimen harus diperhebatkan lagi dengan sokongan daripada semua pihak.

Ia juga boleh direalisasikan sekiranya golongan-golongan yang berkemampuan menyediakan tabungan daripada awal lagi untuk pembelajaran anak-anak mereka.

Dengan ini mereka mendapat dua manfaat iaitu yang pertama anak-anak mereka akan menghargai pengorbanan ibu bapa mereka dan yang keduanya mereka memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke IPTA.

Justeru akan terbentuklah masyarakat yang mengambil berat di antara satu sama lain dalam membantu kerajaan membentuk masyarakat Malaysia yang berilmu.

Keharmonian akan wujud bukan sahaja antara masyarakat berbilang kaum, malah di antara golongan kaya dan miskin, di antara kerajaan dan masyarakat, di antara masyarakat bandar serta desa dan seterusnya. Bolehkah ia menjadi realiti ?

Jawapannya terpulanglah kepada kesediaan masyarakat daripada semua golongan profesional baik di sektor awam mahu pun di sektor swasta, para usahawan, kumpulan cendekiawan, hartawan dan dermawan untuk memenuhi tanggung jawab sosial mereka. - ROZMAL MALAKAN, Seremban, Negeri Sembilan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum