Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Lawatan Castro jadi perhatian dunia

Oleh: MOHD. RAMESH
SEMASA Mohamad Kamal Yan Yahaya ditemu ramah sebelum berlepas ke Havana untuk menjadi duta pertama Malaysia ke Cuba pada Februari lalu, beliau telah memberitahu bahawa: ``Malaysia melihat Cuba sebagai rakan dalam perjuangan kita menentang dominasi ekonomi oleh kuasa-kuasa barat,''.

Selain itu beliau turut berjanji untuk mengusahakan supaya pemimpin Cuba, Fidel Castro dapat melawat Kuala Lumpur.

Peluang terbaik adalah semasa Castro menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Bangladesh pada awal tahun depan.

Namun belum pun setahun Mohamad Kamal berada di Havana, beliau sudah pun berjaya mengotakan janjinya itu.

Fidel Castro Ruz, Setiausaha Pertama Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Cuba dan Presiden Majlis Negara dan Menteri-Menteri Cuba, menjejakkan kakinya buat pertama kali di negara ini, hari ini.

Keputusan Castro untuk melawat Malaysia agak mengejutkan banyak pihak.

Sesungguhnya Castro tidak dikenali sebagai seorang yang gemar ke luar negara.

Faktor keselamatannya menjadi punca utama mengapa maklumat mengenai lawatan-lawatan beliau dirahsiakan hinggalah ke saat-saat akhir.

Sejak beliau mula berkuasa 42 tahun lalu, Castro telah menjadi sasaran pembunuh bukan sekali atau dua kali tetapi sebanyak 600 kali pelbagai percubaan berbeza untuk menamatkan hayatnya. Kali terakhir ialah semasa menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Ibero-American (negara-negara yang bertutur bahasa Sepanyol dan Portugis) di Panama City, Panama, November lalu.

Sesiapa jua yang mengikuti perkembangan dunia akan mengetahui bahawa musuh-musuh Castro ternyata bukan dari golongan penjenayah-penjenayah jalanan mahupun kumpulan mafia tetapi terdiri daripada kuasa-kuasa besar dunia.

Ini kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin negara komunis malah merupakan ikon bagi perjuangan atau revolusi sosialis seluruh dunia. Selain itu, beliau ialah satu-satunya pemimpin moden yang telah berjaya menempa namanya di dalam sejarah dunia semasa hayatnya.

Bagi kebanyakan generasi muda sekarang, lawatan beliau mungkin tiada banyak berbeza daripada lawatan pemimpin-pemimpin asing lain namun tentu ramai antara kita yang menyedari bahawa Castro adalah seangkatan dan rakan karib Che Guevara, serta tokoh-tokoh dunia lain seperti John F. Kennedy, Nikita Kruschev, Mao Zedong dan lain-lain yang telah lama mati.

Tidak kurang pula yang berpendapat bahawa kedatangan beliau harus dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang lantang bersuara terhadap kuasa-kuasa Barat, memperjuangkan hak serta suara negara-negara membangun seperti mana yang telah dilakukan oleh Castro sejak 40 tahun lalu.

Sesungguhnya, kewujudan Cuba dan Castro sendiri amat tidak disenangi oleh kuasa besar dunia yang juga negara jirannya, Amerika Syarikat (AS).

AS bukan sahaja berjaya menumpaskan Soviet Union malah dapat menghapuskan terus blok komunis di Eropah dan menggantikannya dengan sistem kapitalis mereka. Adalah diketahui umum, sistem itu didominasi kuasa-kuasa Barat yang mana AS menjadi rajanya.

Tetapi Cuba yang terletak hanya beberapa ratus kilometer sahaja jauhnya dari pantai Florida masih seperti dulu, Castro dan parti komunisnya masih berkuasa, sistem politiknya juga masih yang sama.

Namun Cuba tetap merasai kesan sekatan ekonomi AS yang dikenakan terhadapnya sejak sekian lama.

Di jalan-jalan raya Havana misalnya kereta-kereta daripada tahun-tahun 60-an masih dapat dilihat di sana-sini, malah komputer peribadi yang seperti sudah sinonim dengan golongan muda di sini dianggap sebagai barangan mewah.

Sejak keruntuhan Soviet Union, Cuba telah hilang tempat pergantungannya sebagai sumber pendapatan eksport serta import barangan keperluannya.

Di sebalik `kesengsaraan' itu Cuba masih mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyatnya.

Kadar mortaliti rakyat negara itu diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai yang terbaik di rantau Hemisfera Barat.

Kadar kematiannya bagi setiap 1,000 penduduknya kini berada pada paras 6.4 berbanding 60 pada tahun 1959 ketika Castro mengambil alih kuasa.

Penyakit polio dan difteria telah berjaya dihapuskan sama sekali manakala batuk kering dan hepatitis B dapat dikurangkan dengan banyak sekali.

Jangka hayat warga Cuba kini adalah selama 76 tahun, hampir menyamai jangka hayat rakyat AS.

Sebagai sebuah negara sosialis, perkhidmatan kesihatan bagi rakyatnya adalah sesuatu dijamin.

Walaupun menghadapi sekatan yang teruk, ia tidak langsung menjejaskan perkhidmatan itu yang diberikan percuma hingga ke peringkat khidmat pakar.

Tahap kepakaran mereka juga diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara yang terbaik di dunia dan dapat diberikan dengan percuma.

Ini adalah salah satu perkara yang Malaysia sendiri tidak mampu mengadakan.

Kerajaan Cuba mampu mengadakan seorang doktor setiap 377 warganya cukup dengan segala kelengkapan.

Mereka dapat melaksanakan ini kerana seluruh perkhidmatan kesihatan Cuba memberikan fokus yang serius terhadap pencegahan penyakit sebelum ia menjadi masalah besar.

Walaupun begitu, Cuba tahu bahawa ia terpaksa mencari rakan-rakan kongsi baru dengan memperluaskan skopnya ke seluruh dunia.

Castro sedar antara punca utama kejatuhan Soviet Union dan blok komunis Eropah berakar umbi di sebalik penguasaan ekonomi dunia oleh AS.

Justeru, Castro mahu mempelbagaikan rakan-rakan niaga negara tanpa perlu bergantung kepada rakan tradisi mereka dari blok komunis yang sendirinya menghadapi pelbagai masalah dalaman mereka.

Sebelum tiba di Malaysia, Castro telah melawat Algeria dan Iran.

Menteri Luar Cuba, Felipe Perez Roque, semasa melawat Malaysia Februari lalu, menyatakan bahawa negaranya mahu menjalinkan hubungan ekonomi yang lebih erat dengan Malaysia.

Katanya, Cuba kini sedang membuka ekonominya kepada pelabur-pelabur asing dan mampu memberikan banyak peluang perniagaan yang menguntungkan kepada peniaga-peniaga Malaysia.

Malah katanya, sudah ada pelabur-pelabur Malaysia yang berminat untuk melabur dalam industri pelancongan, perladangan, pengilangan gula dan mencari gali minyak di negaranya.

Di samping itu, Malaysia juga boleh berkongsi kepakarannya di bidang teknologi maklumat dan perniagaan dengan Cuba.

Akhir sekali, mungkin ramai rakyat Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa yang tertunggu-tunggu komen serta pendapat Castro, yang juga dikenali sebagai seorang pemidato yang hebat dan berapi, mengenai negara ini dan pemimpinnya Dr. Mahathir.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum