Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Isu KWSP-MTUC: Kerajaan prihatin atasi masalah

Pada Hemat Saya
Oleh G. Manimaran
(Wartawan Utusan)
SATU kepastian yang akan dapat dilihat pada pagi ini ialah wajah kebanyakan pihak yang menghadiri sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Bukit Jalil sudah tentunya ceria kerana berjaya menghimpunkan segenap lapisan pekerja termasuk segelintir mereka yang mahu memulaukannya.

Ini termasuk pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang sepatutnya berpiket pada waktu yang sama hari ini sebagai bantahan ke atas pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi mengubah pendirian untuk hadir bersama dalam perhimpunan ini.

Isu yang berlarutan selama hampir 33 hari, kini telah menuju ke arah penyelesaian. Malah jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad juga telah membuka laluan sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan anjuran kerajaan disertai bersama oleh anggota MTUC.

Jika sebelum ini kedua-dua pihak - penganjur Hari Pekerja dan MTUC membuat persiapan untuk tujuan berbeza (masing-masing untuk sambutan Hari Pekerja dan piket peringkat kebangsaan), dan dibimbangi akan mewujudkan suasana pertikaian perhubungan perusahaan, pada pagi ini wakil pekerja-majikan-kerajaan bersatu hati meraikan sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan. Suasana ini diharap akan berkekalan meskipun MTUC menangguhkan keputusan berpiket selama tiga bulan.

Beberapa perkara perlu diberi perhatian berhubung isu KWSP-MTUC kali ini.

Pertamanya, surat jaminan yang ditandatangani Dr. Mahathir dengan sendirinya mencerminkan keprihatinan kerajaan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh MTUC secara perundingan bersama. Berbanding dengan permintaan pemimpin-pemimpin MTUC bahawa pihaknya sedia menangguhkan tindakan berpiket jika sekurang-kurangnya dengan memberi jaminan lisan pun memadai.

Tetapi Perdana Menteri telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan memberi jaminan bertulis. Ini lebih daripada apa yang dihasratkan oleh MTUC. Malah difahamkan ini merupakan kali pertama MTUC menerima persetujuan bertulis pemimpin tertinggi negara dalam tempoh sedekad lalu.

Pokoknya, Perdana Menteri dan kerajaan begitu bersungguh-sungguh menyelesaikan apa juga perkara berbangkit dengan fikiran terbuka. Kesungguhan ini terbukti ekoran pertemuan perbincangan bersiri antara KWSP dan wakil kerajaan dalam tempoh sebulan lalu.

Sebenarnya kerajaan, khususnya pihak yang terbabit dalam sesuatu isu (dalam isu ini KWSP dan kerajaan), perlu diberi masa untuk mengambil keputusan menyelesaikan apa jua isu berbangkit.

Tidak ada pihak yang menang dan juga tiada pihak yang kecundang dalam isu ini. Sebaliknya, usaha penyelesaian menjurus ke arah kejayaan bersama demi kebajikan pekerja.

Peluang ini seharusnya digunakan untuk membincangkan segala masalah yang timbul secara perundingan, bukannya mengadakan tindakan perusahaan di jalan raya. Tindakan perusahaan sebenarnya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Keduanya, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga kelemahan di kalangan kepimpinan MTUC. Kelemahan yang dimaksudkan ialah kegagalan pemimpin-pemimpin MTUC yang dilantik sebagai wakil pekerja dalam Lembaga KWSP memainkan peranan secara aktif dan berkesan.

Adalah penting wakil-wakil ini menyuarakan pendirian mereka dalam sesuatu isu dengan jelas - sama ada menyokong ataupun membantah sesuatu perkara yang dibincangkan pada mesyuarat Lembaga KWSP. Pada waktu yang sama perkara-perkara yang dibincangkan seharusnya dibawa ke pengetahuan ahli-ahli peringkat bawahan menerusi perbincangan bersama dalam Majlis Am MTUC. Begitu juga dengan kesatuan-kesatuan lain yang mempunyai wakil dalam Lembaga KWSP.

Dalam aspek-aspek tertentu, langkah-langkah ini kurang diberi perhatian. Wujud sikap mengambil mudah dan situasi sedemikian pula diterima dengan `hati terbuka' selagi tidak wujud permasalahan `politik' dalam pergerakan kesatuan sekerja.

Isu KWSP-MTUC sebenarnya boleh diselesaikan pada pertengahan April lalu jika semua pihak yang terbabit mengamalkan sikap perkongsian bestari.

Menjadi lumrah manusia, mereka mahu diberi perhatian oleh pihak lain. Kemungkinan kepimpinan kesatuan sekerja mahu tuntutan mereka diberi perhatian sewajarnya dan didengar.

Justeru, segala masalah yang timbul pada hari ini kemungkinan tidak wujud jika kepimpinan MTUC turut memainkan peranan proaktif sejak pada peringkat awal-awal lagi.

Sebagai contoh, dalam soal pelaksanaan Skim Anuiti dan pemansuhan faedah hilang upaya dan kematian.

Meskipun pelaksanaan Skim Anuiti ditangguhkan sehingga kajian pakar runding selesai, kesan di sebalik memang dirasai oleh kebanyakan pihak.

Pokoknya, MTUC tidak membantah objektif Skim Anuiti tetapi menegaskan mahu ia diurus dan dilaksanakan oleh KWSP sendiri, bukannya syarikat insurans dilantik.

Ekoran penangguhan itu, isu yang menjadi persoalan sekarang bagaimana perasaan kira-kira 160,000 pencarum KWSP yang telah membeli premium perlindungan insurans itu. Pelaburan pencarum berkenaan dianggarkan RM1.5 bilion setakat ini.

Kesan-kesan sebegini sebenarnya boleh dihindari jika tindakan proaktif dipraktikkan oleh setiap pihak yang terbabit.

Ketiganya, KWSP sewajarnya bersikap terbuka dalam pelaksanaan skim ini dengan mendapatkan pandangan MTUC sejak dari peringkat kajian. Begitu juga dengan MTUC memaklumkan kepada ahli-ahlinya mengenai kekurangan dan kelebihan Skim Anuiti sejak peringkat awal lagi.

Jika dilihat secara positif, isu KWSP-MTUC juga membuka ruang kepada agensi badan berkanun itu memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam pengurusannya. Ada kemungkinan pengurusan KWSP telah tidak melihat peranan kesatuan dalam pembangunannya untuk menjaga kepentingan pekerja secara keseluruhan.

KWSP boleh merangka pendekatan-pendekatan baru dalam menguruskan simpanan pencarum menerusi pelbagai bentuk pelaburan di bawah kepimpinan pengurusan baru.

Seolah-olah wujud `jurang' antara Lembaga KWSP dan peringkat pengurusan dalam melaksanakan keputusan-keputusan yang dicapai.

Piket - salah satu tindakan perhubungan perusahaan dibenarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan. Tetapi ia tidak seharusnya cara penyelesaian masalah selama-lamanya. Perundingan bersama masih menjadi jalan terbaik dalam semua hal dalam bidang perburuhan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum