Click here to download freeware

RENCANA

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Campur tangan dalam era globalisasi

Oleh:SYED HAMID ALBAR
AKIBAT daripada globalisasi, dunia tanpa sempadan, demokrasi liberal, hak asasi dan kebangkitan masyarakat madani, kehidupan kita telah dipengaruhi oleh insiden-insiden yang berlaku di luar sempadan kita. Perkembangan ini telah menghasilkan paradigma baru dalam hubungan antarabangsa. Kini, kita dapat perhatikan pertubuhan serantau, separuh rantau dan organisasi pelbagai hala, mula memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas.

Dunia hari ini tidak lagi dipisahkan oleh perbezaan ideologi, tetapi antara negara kaya dan miskin. Penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah memperluaskan jurang digital antara negara membangun dan negara maju. Secara umumnya, globalisasi adalah satu proses politik ekonomi, sosial dan budaya yang telah memusnahkan sempadan geopolitik antara negara.

Arus globalisasi melemahkan keupayaan negara bangsa dan pemerintahan untuk bertindak tanpa gangguan dalam membentuk dasar dalaman negara. Kebebasan negara merencana dasar ekonominya di peringkat domestik mengikut kehendak dan kepentingan, juga sering terjejas.

Pada masa ini kredibiliti sesebuah negara bangsa diukur dari sudut kemanusiaan dan hak asasi manusia. Tidak dapat dielakkan lagi bahawa kebergantungan antara negara mengakibatkan kejadian di sesebuah negara memberi kesan terhadap negara lain. Dengan itu timbullah persoalan sama ada prinsip ``tidak campur tangan'' secara holistik dapat dipertahankan ataupun dijustifikasikan lagi. Perkara ini telah dibahaskan secara berterusan. Sebilangan pemerhati berpendapat bahawa prinsip ``tidak campur tangan'' tidak patut menjadi amalan untuk semua keadaan.

Mereka menghujah bahawa skop krisis yang berlaku pada hari ini menimbulkan persoalan yang berbeza dari masa dulu. Mereka juga berpendapat prinsip `tidak campur tangan' yang dianuti begitu lama perlu dikaji semula dan diberi pendekatan baru oleh masyarakat antarabangsa bagi memberi jawapan yang sesuai dan tepat kepada masalah konflik.

Selepas era perang dingin kita menyaksikan peralihan daripada sistem pemerintahan komunisme dan kerajaan kuku besi kepada sistem kapitalisme dan demokrasi liberal. Lantaran itu, pendekatan mengenai hak asasi, kebebasan dan peranan masyarakat madani menjadi isu politik dalam negara dan menimbulkan masalah diplomatik di peringkat antarabangsa. Justeru, ia memerlukan anjakan pemikiran dan penerimaan untuk dilakukan perubahan secara radikal ataupun evolusi. Sudah pasti masing-masing ada kesannya yang tersendiri.

Konsep yang dianggap sejagat oleh sebahagian masyarakat antarabangsa membangkitkan kontroversi kerana pengalaman sejarah dan budaya di sesebuah negara berbeza. Masyarakat antarabangsa yang diwakili negara maju mahukan semua negara menerima pakai prinsip hak asasi untuk melahirkan masyarakat yang saksama dan adil. Mereka berpendirian bahawa amalan hak asasi dan masyarakat madani adalah prasyarat utama bagi membentuk sebuah negara demokrasi tulen, tanpa mengambil kira keadaan dan iklim setempat.

Negara membangun menghadapi cabaran hebat untuk mewujudkan pencapaian pembangunan sosial, budaya serta ekonomi dan pada masa yang sama menegakkan hak politik dan sivil rakyat. Mereka berusaha mencari keseimbangan antara hak politik dan sivil dengan hak untuk mengecapi nikmat pembangunan ekonomi, sosial dan budaya. Mereka juga tidak dapat menerima tekanan dari negara maju yang hendak mengenakan norma dan nilai negara maju sebagai sejagat untuk dipatuhi oleh negara membangun.

Hakikatnya di peringkat dua hala dan pelbagai hala, memang diakui bahawa undang-undang antarabangsa telah menyekat kebebasan mutlak sebuah negara merdeka dan berdaulat dari bertindak sesuka hati. Namun demikian pegangan ini tetap tertakluk kepada prinsip tidak mencampuri hal dalaman negara lain.

Sebaliknya bagi mereka yang mahu melihat supaya campur tangan dibolehkan berpendapat kedaulatan sesebuah negara terpakai jika nilai sejagat terhadap hak asasi diamalkan dan jenayah kemanusiaan tidak berlaku di dalam negara tersebut. Apabila berlaku kezaliman yang tidak berperikemanusiaan dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan di sesebuah negara, maka negara tersebut dianggap hilang hak kedaulatannya. Dalam aspek inilah prinsip konvensional kedaulatan negara dan wilayah kelihatan dipersoalkan. Yang manakah patut diberi keutamaan jika timbul pertentangan antara hak asasi manusia dan hak negara? Peperangan di Semenanjung Balkan, memberi contoh yang baik tentang bagaimana prinsip campur tangan antarabangsa melalui mekanisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan.

Dalam isu Semenanjung Balkan, Malaysia yang berpegang teguh kepada dasar tidak campur tangan, telah membuat pengecualian. Negara kita mendukung tindakan unilateral Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggunakan ketenteraan terhadap bekas Republik Yugoslavia. Sokongan ini telah diberikan di atas asas bahawa jenayah pembunuhan dan serangan zalim ke atas rakyat Kosovo memerlukan tindakan segera dan hanya dengan campur tangan sahaja keadaan yang lebih buruk dapat dielakkan.

Konflik di Timor Timur pula mencetuskan dilema antara menghormati kedaulatan wilayah Indonesia dengan tuntutan masyarakat antarabangsa. Akhirnya masyarakat antarabangsa memaksa Indonesia untuk menerima mekanisme antarabangsa. Setelah Indonesia sendiri bersetuju, barulah kita menyokong tindakan masyarakat antarabangsa. Walaupun di peringkat awal masyarakat antarabangsa hanya mahukan Indonesia memberi kuasa autonomi kepada wilayah Timor Timur, namun Indonesia memutuskan untuk mengadakan referendum bagi rakyat. Timor Timur memilih antara autonomi dalam Indonesia ataupun sebagai sebuah negara merdeka. Rakyat memilih kemerdekaan dari Indonesia bersesuaian dengan kemahuan antarabangsa berasaskan rasional sejarah penjajahan.

Sayugia diingat bahawa negara-negara membangun terus khuatir bahawa tanpa garis panduan dan prinsip jelas dan di atas asas melahirkan masyarakat yang lebih saksama dan adil, negara-negara maju akan memaksa negara yang lemah ekonomi dan politiknya menerima apa sahaja yang dikehendaki oleh mereka. Walau bagaimanapun, kekhuatiran ini dapat diredakan dengan adanya penegasan bahawa campur tangan tidak akan diambil melainkan persetujuan diperoleh dari negara-negara yang terlibat dalam konflik tersebut.

Dalam konteks jenayah yang kini bersifat antarabangsa, seperti pengedaran dadah, penganiayaan terhadap kanak-kanak dan wanita, pembersihan wang dan rasuah, masyarakat antarabangsa berhadapan dengan fenomena baru untuk diuruskan dengan lebih berkesan lagi. Tidak syak lagi ada keperluan untuk kerjasama antara negara-negara bagi menangani masalah jenayah rentas sempadan ini. Apakah ini juga boleh dilihat sebagai campur tangan? Seterusnya ada konflik dalaman yang boleh mencetuskan kesan antarabangsa kerana negara berkonflik memiliki senjata kecil ataupun mereka memiliki persenjataan yang memusnahkan. Oleh itu PBB, pertubuhan serantau dan separuh rantau seharusnya berperanan jika kita mahu melihat keamanan dan keselamatan terjamin.

Lanjutan daripada itu kehadiran mekanisme penyelesaian konflik antarabangsa yang adil dan seimbang serta tidak membezakan antara negara-negara adalah penting.

Daripada pengalaman, kita perhatikan sering berlaku kuasa global dan rantau menghalalkan campur tangan bukan kerana kepentingan kemanusiaan tetapi lebih kepada kepentingan ekonomi dan strategik serta bertujuan memaksa penerimaan ideologi mereka. Persepsi kepada pandangan ini diperkukuhkan lagi apabila negara yang menghadapi krisis ekonomi dan kewangan memerlukan bantuan dari institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, pembentukan dasar dan pelaksanaannya diawasi dan dipantau oleh mereka.

Banyak negara membangun berpendapat konsep demokrasi liberal, ekonomi pasaran, perdagangan bebas dan hak asasi digunakan sebagai kaedah supaya mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh negara maju. Ini telah terbukti apabila negara maju mengenakan cara yang berbeza untuk menyelesaikan masalah yang sama ke atas satu negara dengan negara lain. Perhubungan rapat dengan negara yang berkuasa menjadi penentu kepada bantuan antarabangsa.

Di Timur Tengah misalnya, kepentingan Israel diberikan keutamaan daripada mencari penyelesaian damai jangka panjang dalam konflik Arab-Israel, walaupun pencabulan hak asasi dan jenayah kemanusiaan jelas sekali berlaku. Perang saudara di Afrika (Rwanda, Burundi) dibiarkan berterusan untuk sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kesengsaraan dan penderitaan kepada orang awam. Pada masa yang sama bila konflik berlaku di Eropah kelihatan ada kesengsaraan untuk menanganinya. Sebaliknya pula di Asia, ada kecenderungan untuk campur tangan dan mengenakan syarat terhadap isu buruh, alam sekitar dan demokrasi. Keadaan yang sama juga berlaku di Amerika Latin.

Seterusnya, Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah mengenakan zon larangan terbang di utara Iraq, tanpa mendapatkan kebenaran yang jelas dari Majlis Keselamatan PBB. Campur tangan sedemikian sememangnya telah mengetepikan prinsip dan integriti wilayah Iraq. Mereka menjustifikasikan campur tangan kononnya di atas prinsip kemanusiaan dan bagi memberi perlindungan kepada orang awam di kawasan yang dizalimi oleh kerajaan. Masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB tidak berdaya menyekat tindakan ini kerana ia melibatkan kuasa besar yang menjadi ahli tetap Majlis.

Oleh kerana tidak ada ketentuan yang jelas terhadap prinsip dan konsepnya maka campur tangan tersebut dibahaskan secara meluas. Sebenarnya konsep dan prinsip tidak campur tangan bukan perkara baru dalam perhubungan negara kerana ia sememangnya termaktub dalam piagam PBB.

Malaysia berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan dalam perhubungan antarabangsanya. Kita melaksanakan perhubungan antarabangsa bersandarkan kepada prinsip kedaulatan negara dan integriti wilayah, kesaksamaan negara, saling hormat menghormati antara negara, tidak menggunakan kekerasan untuk merumuskan pertikaian, tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara, merumuskan pertelingkahan melalui rundingan serta mencapai manfaat dan keamanan secara bersama.

Pegangan ini adalah dengan Resolusi 47/130 PBB pada tahun 1992 yang menyeru supaya semua negara menghormati kedaulatan negara lain dan juga tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sistem pilihan raya negara lain. Antara lain resolusi tersebut menyebut:

i. Terus menegaskan ``sama hak'' dan ``pemerintahan sendiri'' hendaklah ditentukan oleh rakyat, sebagaimana terkandung dalam piagam PBB. Semua rakyat memiliki hak, secara bebas dan tanpa gangguan dari luar, memutuskan politik mereka serta melaksanakan program pembangunan ekonomi sosial dan budaya. Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk menghormati hak tersebut sejajar dengan peruntukan yang terkandung di dalam piagam.

ii. Mendesak semua negara menghormati prinsip tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara lain dan hak mutlak rakyat untuk menetapkan sistem politik, ekonomi dan sosialnya.

iii. Dengan sekuatnya merayu kepada semua negara untuk menghindarkan diri daripada membiayai ataupun memberikan wang secara langsung atau tidak langsung kepada parti-parti politik ataupun kumpulan ataupun mengambil tindakan untuk menjejaskan proses pilihan raya di sesebuah negara.

iv. Mengutuk apa juga bentuk tindakan yang menggunakan kekerasan bersenjata atau mengancam untuk menggunakan kekerasan terhadap rakyat sesebuah negara, kerajaan yang dipilih ataupun pemimpin yang sah di negara tersebut.

Prinsip-prinsip yang disebutkan di atas, seharusnya dipatuhi dengan penuh setia. Namun kita sering melihat kecenderungan negara maju untuk menekan dan mencampuri hal-ehwal dalaman negara membangun. Mereka sering berbuat demikian di atas galakan oleh kumpulan-kumpulan politik pembangunan dan pertubuhan bukan kerajaan tertentu. Mereka didorong oleh matlamat politik pembangkang yang suka mengheret kuasa luar untuk mencampuri hal-ehwal dalaman negara sendiri.

Walau bagaimanapun ramai pemerhati politik dan masyarakat antarabangsa berpendapat bahawa globalisasi dan kebergantungan menyebabkan sempadan kedaulatan sesebuah negara mula runtuh. Ada pihak yang mengatakan bahawa konsep kedaulatan negara yang dianggap sebagai kebal di masa lampau, kini tidak lagi relevan dan lapuk. Lantaran itu pemerintahan dalam negara menjadi lebih menyusahkan dan kompleks.

Dalam konteks kebergantungan inilah negara membangun menghadapi tekanan hebat. Namun demikian campur tangan tidak dikatakan campur tangan jika ia berlaku dengan persetujuan negara yang terlibat.

Persetujuan yang diberikan menjadikan hak dan kedaulatan negara tersebut tidak terjejas. Lantaran itu pertelingkahan mengenai campur tangan hanya timbul apabila insiden tersebut dilaksanakan dengan cara unilateral dan tanpa mendapat persetujuan daripada negara yang terbabit.

Setiap negara tetap tidak akan melepaskan hak mereka sebagai negara bangsa yang berdaulat untuk satu jangka masa yang agak lama lagi. Oleh itu perlu dicari satu kaedah baru yang munasabah dan terhormat bagi mengizinkan campur tangan yang dirasai selesa oleh semua negara. Setiausaha Agung PBB dan beberapa negara maju menganjurkan campur tangan kemanusiaan apabila berlaku pencabulan hak asasi manusia dan kezaliman yang dahsyat oleh pemerintah terhadap rakyat negaranya sendiri ataupun ke atas negara dan rakyat negara lain, sepertimana yang berlaku di bekas Republik Yugoslavia. Tetapi kebanyakan negara, khususnya negara membangun masih berhati-hati untuk menerimanya. Tindakan NATO secara unilateral, dengan mendapat izin Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu terlebih dahulu menimbulkan pendebatan, sama ada ia wajar atau tidak. Ternyata sekali keputusan tersebut telah diambil kerana NATO percaya jika tindakan tegas tidak dikenakan, keganasan dan kezaliman tidak dapat dihentikan. Buktinya ialah tindakan mereka telah mencegah penerusan pembunuhan kaum (genocide). Lagi pula mereka yakin jika proses Majlis Keselamatan digunakan keizinan tidak akan diperoleh kerana Rusia dan China sebagai ahli tetap akan menyekat kelulusan resolusi untuk membenarkan tindakan ketenteraan.

Cabaran yang dihadapi oleh negara membangun ialah bagaimana hendak dimanfaatkan kebergantungan tanpa menggadaikan prinsip kedaulatan dan kebebasan. Tidak dapat dinafikan bahawa hak negara untuk bertindak bebas terus tertakluk kepada perjanjian dan perundingan antarabangsa dan rantau yang telah ditandatangani atau diratifikasikan.

Di kalangan negara-negara ASEAN prinsip asas yang digunakan untuk perhubungan sesama mereka ialah tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing. Malahan prinsip tersebut sememangnya terkandung secara tersurat dan tersirat di dalam dokumen-dokumen penting ASEAN, seperti deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dimeteraikan pada tahun 1971 dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara pada tahun 1976.

Walaupun begitu kerap timbul perbahasan di kalangan ahli-ahli ASEAN sama ada prinsip tidak campur tangan dapat dipertahankan pada masa ini. Sesetengahnya berpendapat prinsip ini mesti dikekalkan kerana melaluinya ASEAN telah berjaya memapankan kejituan, persoalan dan kesatuan semenjak ia ditubuhkan. Minat untuk mengubah pegangan kepada prinsip ini mula dirasai apabila bekas Menteri Luar Thailand dan Filipina mengatakan bahawa pendekatan interaksi fleksibel atau ``campur tangan membina'' seharusnya boleh digunakan tanpa menjejaskan prinsip tidak campur tangan. Pendekatan ini tidak disenangi dan tidak diterima oleh kebanyakan ahli ASEAN.

Ada pendapat, ASEAN boleh menerima pendekatan mempertingkatkan interaksi. Dengan terbentuknya mekanisme ``Troika ASEAN '', negara-negara ASEAN bersetuju untuk membuat keputusan yang pantas bagi membincangkan isu-isu tertentu yang berlaku dalam negara-negara ASEAN jika negara yang terbabit dan negara ASEAN lain bersetuju untuk berbuat demikian. Oleh itu mekanisme troika dilihat sebagai melonggarkan prinsip tidak campur tangan. Dengan mengarahkan usaha terhadap penggunaan `langkah-langkah membina keyakinan' dan `diplomasi pencegahan' mungkin pada satu masa akan datang akan terbentuk garis panduan untuk membolehkan campur tangan dalam keadaan-keadaan tertentu. Ada tanda-tanda yang menunjukkan ASEAN telah mula beralih sedikit demi sedikit ke arah `campur tangan terhad'. Ia berlaku mungkin kerana peningkatan kebergantungan di kalangan negara ASEAN dan usaha ke arah kesepaduan ASEAN. Ia juga berlaku kerana keadaan dalaman sesebuah negara ahli boleh mempunyai kesan limpahan ke atas negara ASEAN yang lain. Mereka mula memikirkan bahawa prinsip tidak campur tangan tidak lagi praktikal untuk diamalkan dalam semua keadaan.

Perkembangan masa kini menimbulkan banyak persoalan tentang campur tangan negara asing melalui perwakilannya. Campur tangan kini dikaitkan juga dengan tindak-tanduk perwakilan asing semasa menjalankan tugas mereka. Perkara ini menimbulkan kontroversi dan perbahasan di antara perwakilan asing dengan negara tuan rumah.

Konflik dikatakan timbul akibat daripada pemakaian dan tafsiran peruntukan yang terkandung dalam Artikel 3 dan 41 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik. Perwakilan asing menggunakan Artikel 3 bagi menyokong tindakan mereka untuk mengetahui situasi sebenar dalam negara tuan rumah melalui pengumpulan maklumat terkini secara sah di sisi undang-undang. Persoalannya, sejauh manakah ia boleh dilakukan supaya tidak dianggap sebagai mencampuri hal-ehwal dalaman negara tuan rumah? Jika ditinjau dari aspek peruntukan Artikel 3 semata-mata tanpa mengaitkan Artikel 41, perwakilan asing boleh melakukan apa sahaja di atas nama mengumpul maklumat. Tetapi Artikel 41 dengan jelas menyebut bahawa perwakilan asing hendaklah melaksanakan tugas dengan tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara tuan rumah.

Di kalangan negara-negara membangun dan ASEAN, pegangan pada prinsip tidak campur tangan dianuti dan dipatuhi tanpa menimbulkan masalah. Sebaliknya negara maju dan kuasa besar mempunyai sikap dan keangkuhan bahawa mereka berhak mengumpul maklumat dengan cara yang mereka fikir perlu dan sesuai. Mereka menggunakan tafsiran tidak campur tangan secara longgar dan meluas mengikut norma dan nilai mereka sendiri. Seringkali perilaku dan tindakan mereka dilihat sebagai mempunyai matlamat dan motif politik yang boleh mengancam kestabilan politik dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Dalam konteks Malaysia pula, kita berpegang kepada prinsip bahawa sesebuah perwakilan asing akan dianggap mencampuri hal ehwal dalaman negara jika mereka mendekati isu politik kepartian termasuk menghadiri perjumpaan tertutup yang dianjurkan oleh parti politik pembangkang ataupun badan bukan kerajaan yang menentang kerajaan secara langsung. Parti-parti pembangkang selalunya menggunakan perhubungan mereka dengan negara luar untuk menyelar dan menghina kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Perkara ini menjadi lebih ketara lagi jika diambil kira pendapat negara-negara tersebut yang cenderung kepada parti pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan tertentu. Apatah lagi ada bukti menyokong bahawa mereka membiayai aktiviti menentang kerajaan. Perilaku mereka telah memberi galakan dan perangsang kepada parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah ataupun dengan menggunakan taktik yang melanggar peraturan dan undang-undang setempat. Dalam konteks ini kehadiran dalam mesyuarat tertutup dan tidak telus yang dianjurkan oleh parti pembangkang akan dianggap sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara tuan rumah.

Kita sedar bahawa tidak mungkin bagi sesiapa menemui maksud yang tepat apakah sebenarnya campur tangan dalam konteks hubungan antarabangsa. Tetapi secara mudahnya selain dari campur tangan yang dimandatkan oleh PBB atau perjanjian dan konvensyen antarabangsa serta rantau, seharusnya perwakilan asing mengambil kira sensitiviti negara tuan rumah dan kepentingan perhubungan dua hala. Sebelum mengambil sebarang langkah, perkara paling utama bagi perwakilan asing laksanakan ialah untuk memastikan hubungan dua hala yang baik terjalin antara negara yang mereka wakil dengan negara tuan rumah.

Oleh yang demikian maka sudah tibalah masanya untuk masyarakat antarabangsa mencari pendekatan yang dapat diterima pakai oleh semua negara maju dan membangun sebagai panduan. Antara perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan untuk mencapai keharmonian dan mengatasi konflik ialah:

i. Persoalan mengenai kesan konflik, dan sejauh mana ia boleh mengancam keamanan dan keselamatan rantau ataupun antarabangsa.

ii. Soal tanggungjawab moral atau kemanusiaan yang boleh digunakan sebagai asas mengetepikan kedaulatan dan integriti wilayah di sesebuah negara. Misalnya, jika ia melibatkan pelanggaran besar terhadap hak asasi manusia atau jenayah kemanusiaan ataupun pembunuhan berasaskan kaum.

iii. Setakat mana patut dicari kesepakatan antarabangsa untuk tindakan bersama atas alasan kemanusiaan dan sekali gus mengetepikan prinsip kedaulatan negara. Pada ketika mana pula boleh dibenarkan campur tangan antarabangsa yang menghalalkan pelanggaran terhadap prinsip kedaulatan negara.

iv. Jika ada persetujuan, apakah mekanisme yang terbaik untuk digunakan bagi tujuan campur tangan?

v. Menimbangkan kesan kepada keamanan dan keselamatan serta kemanusiaan jika tidak diambil tindakan segera bagi mempertahankan prinsip tidak campur tangan.

vi. Kesahihan tindakan yang diambil oleh pertubuhan rantau untuk mempertahankan soal hak asasi manusia ataupun jenayah kemanusiaan dengan tidak memperoleh kelulusan daripada Majlis Keselamatan PBB terlebih dahulu.

vii. Tindakan yang menggunakan kekerasan ataupun kuasa tentera tanpa mendapatkan mandat dari Majlis Keselamatan terlebih dahulu.

viii. Sudah tiba masanya satu definisi yang unggul dicari dan digunakan bagi menjelaskan maksud kepentingan dan hak negara semasa konflik.

Semua persoalan yang diutarakan di atas sudah tentu akan menjadi bahan perbahasan yang tanpa kesudahan selagi prinsip tidak campur tangan masih terkandung dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa serta ia diiktiraf sebagai sah dalam undang-undang antarabangsa.

* DATUK Seri Syed Hamid Albar ialah Menteri Luar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum