RENCANA

Utusan Malaysia 30 Mac 2001

Pokemon, globalisasi media dan jawapan Islam

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
BUKAN suatu yang mengejutkan apabila Arab Saudi mengharamkan permainan Pokemon, siri animasi yang menjadi kegilaan jutaan kanak-kanak di seluruh dunia.

Sehingga kini, itulah saja jawapan Islam kepada tekanan yang dihadapkan oleh media terutamanya dalam zaman baru ini. Kalau berdepan dengan ancaman media yang mengambil bentuk baru melalui globalisasi, maka jalan penyelesaiannya ialah pengharaman.

Arab Saudi mengharamkan permainan video dan kad Pokemon kerana ia dikatakan mempunyai unsur Yahudi iaitu bintang enam segi, yang dapat kita kaitkan dengan lambang Israel.

Apa yang diharamkan ialah permainan Pokemon dan bukan rancangan animasinya. Tetapi jangan kita lupa bahawa rancangan televisyen dan filem Pokemon itu hanya iklan - yang hendak dijual sebenarnya ialah barang sampingan termasuk permainan video dan kad yang diharamkan oleh Arab Saudi itu.

Sebelum pengharaman di Arab Saudi itu, sesetengah kita di sini sibuk berdebat tentang binatang apa sebenarnya watak Pokemon, Pikachu, Pichu dan lain-lain itu.

Dan laporan semalam menyebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengkaji unsur-unsur yang mungkin bertentangan dengan Islam yang ada pada Pokemon.

Lama sebelum kebimbangan tentang Pokemon ini, masyarakat Islam pernah juga `takut' kepada anak patung Barbie yang dikatakan memberi pandangan hidup negatif kepada kanak-kanak. Lama selepas kanak-kanak ini dewasa, kajian psikologi menunjukkan mereka masih mahu menjadi seperti Barbie dan mencari kekasih seperti Ken.

Cerita Pokemon dan kebimbangan kita tentang pengaruhnya adalah satu gambaran sebenar apa reaksi umat Islam terhadap pengaruh media dalam era globalisasi ini. Kalau itu gambarannya, ia adalah sesuatu yang sebenarnya menakutkan, cukup menakutkan.

Pokemon yang datang dari Jepun itu adalah serangan baru kepada ketakutan kita selama ini yang banyak berkiblat kepada media Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Hollywood menjadi kilang mengeluarkan bahan hiburan yang masuk ke ruang tamu dan panggung wayang kita. Siaran langsung majlis penganugerahan Oscar baru-baru ini dikatakan ditonton oleh 800 juta manusia di serata dunia, tanda betapa meluasnya pengaruh Hollywood.

Melalui globalisasi yang turut ditakrifkan sebagai usaha mewujudkan desa sejagat dengan budaya dan nilai yang sama, Amerika tidak lagi menyebarkan hiburan yang serupa tetapi berita dan maklumat juga.

Lihat saja bagaimana Time-Warner dan CNN misalnya mempengaruhi cara kita `membaca' dan menerima apa yang berlaku di serata dunia, termasuk dunia Islam itu sendiri.

Upaya Islam menghadapi pengaruh media yang semakin dilonjakkan oleh kemajuan teknologi dan era globalisasi itu adalah topik yang dibahas dan dibincangkan selama dua hari di Institut Kefahaman Islam (IKIM) minggu ini.

Banyak yang sudah diperkatakan tentang globalisasi tetapi tumpuannya selalu saja kepada kesan pasaran bebas itu kepada ekonomi dan perdagangan. Jarang globalisasi dilihat dari sorot pandang sosial dan budaya.

Enam kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Kesan Globalisasi ke atas Kehidupan Sosial dan Budaya: Jawapan Islam itu membincangkan aspek pendidikan, negara bangsa, persoalan nilai dan budaya serta kesan media global.

Media mempunyai kesan dan pengaruh yang cukup besar kepada pembentukan minda sesebuah masyarakat. Profesor Mohd. Salleh Yaapar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kertas kerjanya membuat kesimpulan bahawa sekiranya tidak diawasi, globalisasi maklumat dan media boleh meruntuhkan kesatuan institusi dan masyarakat Islam.

Namun usaha mengawasi ancaman globalisasi itu cukup sukar kerana media hari ini wujud dalam bentuk yang luar biasa. Bermula dari dahulunya pentas dan mimbar, ia berpindah kepada kertas dan sekarang elektronik.

Melalui media elektronik ini, segala macam benda masuk ke ruang tamu kita malah tembus sampai ke bilik tidur tanpa dapat disekat oleh mana-mana `polis moral' pun.

Dalam Internet yang menjadikan dunia luas ini kecil dan terasa dekat hanya ada dua perkara saja yang menjadi kegilaan umum iaitu seks dan fail muzik MP3.

Profesor S. Abdallah Schleifer dari Universiti Amerika, Kaherah dalam kertas kerjanya membuat pemerhatian betapa kerana begitu untungnya perniagaan seks baik melalui Internet atau rangkaian televisyen kabel, ia menjadi medan pelaburan baru syarikat gergasi di Amerika Syarikat.

Dahaganya masyarakat kepada seks tertempias ke siri-siri televisyen yang secara halus memaparkan pornografi ringan. Lihat saja pada Sex in the City yang merakamkan gaya hidup bebas mencari kesukaan semata-mata. Apa yang hendak diberitahu melalui siri suka ramai Friends dan apa cerdiknya Baywatch yang turut ditayangkan di banyak negara Islam termasuk di televisyen kita?

Malah sekarang ini, berita pun hendak disekskan. Di Internet sekarang sudah ada bilik berita yang pembaca beritanya akan menanggalkan baju satu persatu sambil membaca berita. Mereka itu mahu telanjang atau baca berita, kita pun tidak faham.

Tetapi faham atau tidak, dalam keadaan yang begitu menekan seperti ini, apa jawapan kita sebagai umat Islam?

Kata Pengarah IKIM, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, umat Islam selama ini menjadi `penerima dan pengimport' nilai, norma dan budaya dari serata dunia.

``Maka itu, sesetengah orang Islam lebih barat daripada Barat sendiri,'' katanya.

Kita perlu belajar dari Iran sebenarnya. Selepas revolusi 1979 yang disifatkan sebagai kebangkitan terbesar yang terakhir dalam sejarah moden manusia selepas revolusi Perancis dan Rusia, Iran tumbuh sebagai negara yang membina budayanya dalam lingkungan Islam itu sendiri.

Filem-filem bermutu dari Iran yang keras subjeknya tetapi lembut pendekatan persembahannya, dan diiktiraf sebagai sinema yang berpotensi untuk berkembang. Tetapi selain Iran, mana negara Islam lain yang cuba sedaya mungkin membendung pengaruh Hollywood ini dan mengutarakan sinema mereka sendiri?

Selain budaya dan nilai yang datang dalam bentuk hiburan, negara Islam menerima dan menyebar berita tentang Islam yang ditulis dari perspektif Barat.

Profesor Datuk Dr. Syed Arabi Idid dan Dr. Mahmoud Galander dari Universiti Islam Antarabangsa dalam kertas kerja mereka mengupas trend laporan berita tentang dunia Islam oleh media Barat.

Mereka membuat pemerhatian betapa pengeboman bangunan Persekutuan Oklahama pada tahun 1995 dan tragedi pesawat Egypt Air dua tahun lalu misalnya dijadikan ruang untuk agensi media Barat menggambarkan Islam sebagai jelek, ganas dan tidak bertamadun.

Dalam beberapa kertas kerja yang dibentangkan di seminar antarabangsa IKIM itu ada kesatuan pemikiran bahawa sudah sampai masanya negara Islam membentuk acuan budaya dan nilai mereka sendiri melalui media.

Syed Arabi Idid dan Mahmoud misalnya, berkata, media global tidak lagi harus dilihat sebagai `mereka' dan penontonnya `kita'. Budaya global ini harus dilihat sebagai `kita' yang mana sumbangan dan bentuknya bergantung kepada kita sendiri.

Dalam konteks itu, kedua-dua pensyarah dari Jabatan Komunikasi UIAM ini mencadangkan tentang perlunya Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) dihidupkan semula di samping badan yang mengeluarkan program untuk televisyen negara Islam dan stesen radio Islam.

Ismail sendiri berpendapat, peluang yang dimungkinkan oleh globalisasi perlu direbut untuk menyebarkan imej Islam yang betul. ``Kita tidak boleh selamanya mengikut arus, sebaliknya perlu menentukan arus,'' katanya.

Pokemon dan segala macam `bahaya' lain boleh saja dihalang daripada masuk ke rumah kita. Kalau ia diharamkan kerana ada unsur Yahudi, apakah kita mahu mengambil langkah yang sama ke atas semua keluaran Hollywood?

Mengharamkan sesuatu yang tidak dapat kita tangani adalah jalan penyelesaian yang mudah, tersangat mudah. Tetapi adakah kita yakin, sebenar-benarnya yakin bahawa itu penyelesaian muktamad kepada asakan media sejagat ini?

Kalau kita yakin, tidak mengapalah terus saja berdebat binatang apa sebenarnya watak Pokemon itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi