RENCANA

Mingguan Malaysia 01 April 2001

Cina tidak lahirkan perasaan dengan jelas

Parti Pas sekarang menunjukkan minat untuk menarik perhatian masyarakat Cina dengan memperlihatkan ia melindungi kepentingan orang Cina. Apakah yang berlaku sebenarnya?

DR. OONG: Sejak 10 tahun lalu Pas berusaha mengubah imej dan pendekatan mereka. Mereka cuba menunjukkan mereka lebih dekat dengan akar umbi dan cepat memberi respons kepada sesuatu perkara.

Sama ada perubahan itu bersifat sementara untuk memancing sokongan ataupun sebaliknya, ia sukar untuk dipastikan. Untuk mengetahui isi hati orang memang sukar.

Adakah benar andaian kononnya jika kerajaan menyediakan suasana ekonomi yang baik, kehidupan selesa dan memelihara perniagaan orang Cina, maka sokongan daripada masyarakat Cina sudah dikira selamat?

DR. OONG: Saya berpendapat sekiranya ekonomi berkembang dan dapat dipertahankan, sudah tentu tidak akan ada masalah.

Cuma persepsi orang Cina adalah samar-samar dan sukar untuk diramalkan. Mereka tidak suka bercakap untuk melahirkan perasaan dengan jelas. Ini berlaku kerana orang Cina merupakan golongan minoriti dan kehidupan mereka yang lebih makmur berbanding kaum lain.

Masyarakat Cina sensitif dalam soal pendidikan dan kebudayaan yang kemudiannya menjadi agenda politik mereka. Mengapa ini berlaku?

DR. OONG: Masyarakat Cina sebenarnya berasa tidak selamat khususnya dari segi identiti. Kebiasaannya identiti orang Cina di Malaysia ialah soal bahasa dan pendidikan.

Kalau orang Melayu, identiti mereka ialah agama. Bagi orang Cina di Malaysia, identiti dikaitkan dengan penekanan penggunaan bahasa dan pemeliharaan kebudayaan Cina. Dalam soal ini, orang Cina sanggup berkorban harta dan wang ringgit mereka untuk memajukan bahasa dan kebudayaan.

Mengapa bahasa dan pendidikan Cina dikaitkan dengan identiti Cina Malaysia sedangkan di Singapura, ia bukan menjadi identiti orang Cina di sana?

DR. OONG: Saya rasa ia berlaku kerana dasar kerajaan dalam perkara ini tidak konsisten. Di Malaysia, dasar kerajaan tidak jelas kepada orang ramai. Apabila ia tidak jelas, ia menjadi lebih ditakuti. Contoh terbaru ialah Sekolah wawasan.

Dari segi perkembangan politik, bagaimana anda melihat perubahan dalam politik orang Cina sejak akhir-akhir ini berbanding pada masa lepas?

DR. OONG: Perubahan politik orang Cina bergantung kepada situasi. Kadang-kadang mereka prokerajaan dan kadang-kadang sebaliknya. Sebagai contoh, ketika konfrontasi pada tahun 60-an, ancaman terhadap masyarakat Cina dari luar adalah besar, jadi ketika itu mereka menyokong kerajaan.

Yang kita tidak faham ialah dalam situasi bagaimana orang Cina akan 100 peratus menyokong kerajaan dan dalam keadaan apa pula mereka akan kelihatan 100 peratus menentang kerajaan?

DR. OONG: Saya berpendapat mereka akan 100 peratus menyokong kerajaan apabila mereka melihat kerajaan sebagai pelindung mereka, apabila kerajaan tidak mengancam kepentingan mereka.

Keadaan 100 peratus menentang pula berlaku apabila mereka sudah merasakan hopeless terhadap kerajaan seperti apabila Malayan Union dibatalkan pada tahun 1946 dahulu yang membolehkan Parti Komunis Malaya mengeksploitasi keadaan dan melancarkan pemberontakan menentang kerajaan.

Tetapi pada pilihan raya tahun 1955, orang Cina kembali 100 peratus menyokong kerajaan Perikatan dan UMNO tetapi pecah sikit pada tahun 1959 dan kembali bersatu dengan kerajaan pada masa konfrontasi. Mungkin hari ini masyarakat Cina tidak sepenuhnya menyokong kerajaan tetapi majoriti masih bersama kerajaan. Cuma kita tidak tahu apakah trend pada masa depan.

Adakah perubahan ini merupakan perubahan biasa iaitu turun naik dalam sokongan atau satu perubahan struktur yang kekal?

DR. OONG: Saya fikir masyarakat Cina sekarang ini hendak menguji kerajaan. Mereka hendak melihat respons daripada kerajaan.

Baru-baru ini muncul beberapa isu seperti permintaan MCA untuk menaikkan status Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) sebagai universiti dan permintaan Diong Jiao Zhong menaikkan taraf Kolej ERA ke status universiti. Ini adalah antara beberapa isu yang sedang diperhatikan dan ditunggu oleh masyarakat Cina. Selain itu, mereka juga sedang mengikuti perubahan yang dibuat oleh Pas yang sangat menarik bagi sesetengah orang Cina.

Anda berhujah bahawa pada masa ini masyarakat Cina sedang menguji dan memerhati kerajaan. Di pihak kerajaan, apakah yang perlu dilakukan?

DR. OONG: Hal ini sebenarnya sukar. Pada hari ini masyarakat Cina terlalu curiga dengan kerajaan kerana tidak ada orang yang boleh menjelaskan sesuatu isu berkaitan orang Cina bagi pihak kerajaan.

Tetapi bukankah di dalam kerajaan ada MCA?

DR. OONG: Benar, tetapi MCA masih sebahagian daripada masyarakat Cina. Perjuangan MCA lebih kepada masyarakat Cina. MCA tidak boleh dianggap akan menerima dasar kerajaan walaupun ia mungkin bersetuju.

MCA ialah parti politik Cina, ia ditubuhkan bukan untuk menjaga kepentingan UMNO. Sebagai contoh, dalam satu-satu hal MCA mungkin tidak bersetuju. Bagaimanapun, dengan kehendak UMNO mungkin mereka bersetuju.

Dalam hal ini, kadang-kadang timbul apa yang disebut bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita boleh lihat contoh lain semasa Perikatan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Tanah Melayu. Ada bahagian-bahagian dalam memorandum Perikatan itu tidak dipersetujui oleh MCA tetapi MCA masih boleh bersama-sama UMNO menyerahkan memorandum tersebut.

Anda fikir situasi itu juga berlaku pada hari ini?

DR. OONG: Ini saya tidak pasti, cuma saya lihat tentulah MCA tidak boleh memainkan peranan seperti yang saya sebutkan itu. Dalam erti kata lain, kadang-kadang MCA tidak boleh keluar dengan pendirian 100 peratus menyokong dasar kerajaan secara terbuka.

Saya kira dalam pilihan raya kecil Lunas perkara ini berlaku. Pada ketika itu, MCA tidak 100 peratus mempertahankan dan menjelaskan isu Sekolah Wawasan kepada masyarakat Cina.

Saya mungkin silap dari segi ini tetapi saya nampak jika ada pun penentangan MCA terhadap dasar kerajaan, ia tidak boleh menyatakannya secara terus terang.

Adakah situasi ini berlaku kerana model politik orang Cina di Malaysia sebenarnya bukan ditunjangi oleh MCA atau parti politik sebaliknya mempunyai sebuah payung yang lebih besar yang didukungi oleh persatuan dan pertubuhan Cina?

DR. OONG: Ya, saya rasa keadaan itu masih berlaku. Maknanya, wujud satu payung besar terdiri daripada beribu-ribu persatuan dan pertubuhan Cina yang memayungi masyarakat Cina. Parti politik Cina hanya satu unit dalam payung itu.

Masyarakat Cina menggunakan parti politik sebagai sebuah badan penggerak untuk memperjuangkan dan mempertahankan hak mereka.

Sebagai sebuah badan penggerak, MCA perlu membuat pelarasan dalam tindakan mereka berdasarkan situasi semasa. Badan ini tidak boleh terus berjuang sehingga mengakibatkan diri mereka musnah.

Kadang-kadang pandangan MCA itu tidak dianggap mewakili majoriti Cina. Bagaimanapun MCA tetap penting. Orang Cina tidak akan menghapuskan MCA. Mereka akan terus sokong parti itu. Begitu juga DAP dan Gerakan. Mereka akan terus disokong selagi mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Cina.

Untuk memenangi hati orang Cina, apakah yang kerajaan perlu buat?

DR. OONG: Soal ini tidak akan menjadi masalah sekiranya kerajaan dapat menawarkan satu tawaran yang lebih baik berbanding lawan kerajaan iaitu pembangkang.

Bagaimanapun perlu diingat, tawaran bukan jaminan utama kerana ada satu lagi faktor lain yang akan diambil kira oleh orang Cina iaitu potensi sesebuah parti itu untuk menubuhkan kerajaan.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana MCA menolak pelawaan Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar meskipun orang Cina diberi tawaran yang lebih menarik berbanding apa yang boleh diberi oleh Perikatan atau UMNO. Parti Negara ditolak kerana ia tidak mempunyai prospek untuk berkuasa.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi