RENCANA

Mingguan Malaysia 01 April 2001

Gergasi China bangun dari tidur

Oleh: ABDULLAH AHMAD
PADA hari Rabu lalu, China mengumumkan keputusan bancian penduduk mutakhir dan yang kelima semenjak komunis memerintah, bahawa jumlah penduduknya ialah 1.3 bilion. Ini bermakna bagi setiap enam insan di muka bumi ini, seorang daripadanya ialah rakyat China. Penduduk dunia sekarang ialah enam bilion.

India merupakan negara kedua terbesar dengan penduduk 1.1 bilion, Amerika Syarikat ketiga dan keempat Indonesia (penduduknya lebih kurang 210 juta) - lebih setengah juta daripada mereka bekerja di Malaysia.

Shanghai, kota raya terbesar dan legenda Tiongkok mempunyai penduduk seramai 13.1 juta. Beijing, ibu kota purba dan moden China pula hanya memiliki 12.6 juta penduduk. Pendapatan per kapita penduduk Shanghai ialah AS$2,010 dan di Beijing AS$1,698.

Para pemodal asing terpaksa memilih antara Shanghai atau Beijing, di bandar mana mereka ingin beroperasi - setakat ini jelas pemenangnya ialah Shanghai iaitu kota raya legenda yang merupakan pusat ekonomi, hiburan, pendidikan dan modenisasi. Tahun lepas sahaja, sebanyak AS$2.8 bilion pelaburan masuk ke Shanghai manakala Beijing iaitu ibu kota politik dan pentadbiran hanya menerima separuh daripada angka itu (AS$1.98 bilion).

Dagangan antarabangsa Shanghai ialah AS$38.1 bilion dan Beijing AS$18.4 bilion tetapi Beijing mengatasi Shanghai dari segi pendapatan pelancongan (AS$2.5 bilion) dan Shanghai AS$1.36 bilion.

Maybank, bank terbesar di Malaysia (dengan aset bernilai RM128 bilion) telah diizinkan oleh pemimpin China untuk membuka cawangan pertamanya di tanah besar China pada 28 Disember tahun lalu. Petang Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah merasmikan pembukaan cawangan itu. Cawangan Maybank pertama di China ialah di Hong Kong yang dibuka pada tahun 1962.

Sebagai balasan, kerajaan kita telah membenarkan satu cawangan Bank of China beroperasi di Kuala Lumpur. Pertukaran ini membuktikan wujud hubungan dua hala yang baik antara KL dan Beijing.

Kehadiran Maybank di Shanghai, tegas Daim, adalah kesinambungan usaha Tun Razak yang mula membuka China kepada Malaysia dan kini diperhebatkan lagi hubungannya oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Tahun lepas, kita menerima permintaan dari China untuk melabur berjumlah RM2.7 bilion. Pada bulan Januari tahun ini, satu pelaburan berjumlah RM2.8 bilion telah diluluskan bagi projek Sabah Paper and Pulp.

Eksport kita ke China berjumlah RM8.8 bilion (1999) dan RM11.5 bilion pada tahun lepas, dan import dari China RM12.3 bilion tahun lepas berbanding dengan RM8.1 bilion pada tahun sebelumnya. Tahun lepas, lebih 400,000 pelancong China melawat Malaysia dan angka tersebut dijangka bertambah banyak tahun ini dan pada tahun-tahun mendatang. Ramai pelajar dari China belajar di Kuala Lumpur terutama di sekolah dan kolej swasta.

Kemasukan China (dijangka akan berlaku segera) ke dalam World Trade Organisation (WTO) tentu akan membawa kebangkitan China dan perubahan besar kepadanya dalam segala aspek kehidupan. Seperti juga kepada kita. WTO sebenarnya bukan satu malapetaka tetapi ia juga bukan ubat bagi segala kegiatan perdagangan dan ekonomi dunia. Apapun, WTO, e-ekonomi dan teknologi maklumat akan memberi kesan dan impak kepada cara kita mengadakan bisnes walau di manapun.

Bagi tanah besar China, impak WTO akan terserlah bermula dengan Shanghai yang merupakan kota ekonominya dulu dan sekarang. Shanghai sedang bersiap diri menyambut cabaran ini. Shanghai penuh dengan sejarah gemilang masa lampau - selain daripada kedudukannya sebagai pusat ekonomi, keintelektualan, kebudayaan dan kegiatan politik menentang kolonialisme dan tuan rumah pertama bagi kongres Parti Komunis China.

Sekarang, Shanghai bercita-cita menjelma sebagai ``New York di Asia'' mengatasi Hong Kong dan Singapura, satu impian yang penulis kira tidak mustahil tercapai jika segala tenaga positif Shanghai ditumpukan ke arahnya. Sebelum Perang Dunia Kedua, Shanghai adalah pusat politik dan komersial yang terbesar di timur Terusan Suez.

Ahli pemikir, pemimpin, pegawai, orang bisnes dan korporat dan pada akhirnya rakyat akan menentukan sama ada kota Shanghai dan China akan mencapai impiannya. Kalau satu masyarakat itu kekurangan bakat, ketekunan, sikap positif manakala institusi dan sistem kerajaannya korup, tidak amanah dan cekap, kota raya dan negara itu akan gagal.

Orang Shanghai terkenal di kalangan orang China sebagai kumpulan yang berbakat, agresif dan entrepreneur yang bijak maka kemungkinan untuk ia menjadi New York Asia amat cerah. Harus diingat bahawa bagi mencapai taraf itu sekadar mempunyai infrastruktur dan bangunan mencakar langit tidak mencukupi. Kota itu perlu benar-benar menjadi sebuah metropolis antarabangsa dalam erti sebenarnya.

Sesebuah kota raya itu mesti ada ketelusan dan insan berbakat, kreatif dan inovatif dalam bisnes, kebudayaan dan pendidikan. Universiti-universiti mestilah mengeluarkan graduan-graduan yang bukan sahaja berbakat tetapi mempunyai kemahiran dwibahasa paling minimum.

Maybank yang melihat Shanghai sebagai berpotensi mencapai kedudukan demikian telah membuka hubungan dagang dua hala secara langsung antara China dan Malaysia. Maybank ada pejabat perwakilan di Beijing semenjak 1993. Pada masa ini Maybank mempunyai 365 cawangan di tanah air, 59 di Filipina, Singapura 22, Brunei tiga, Papua New Guinea dua dan satu di Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, Kemboja dan Vietnam, dan sebuah pejabat perwakilan masing-masing di Myanmar, Uzbekistan dan Vietnam.

Maybank adalah antara lima bank gergasi dalam wilayah ASEAN, tetapi kerdil jika dibandingkan dengan bank-bank gergasi Jepun, China, Eropah dan Amerika. Namun begitu, kejayaan Maybank jelas menunjukkan kebolehan anak-anak Malaysia yang dipimpin oleh anak-anak Melayu (yang bukan berbudaya bank Melayu lain) dalam perbankan domestik dan antarabangsa.

Rangkaian antarabangsa Maybank lebih besar daripada rangkaian Wisma Putra yang mempunyai 80 perwakilan di seluruh alam bertaraf kedutaan, konsulat-general dan konsulat biasa. Bayangkanlah aktivitinya dan potensi Maybank di masa kemuka.

Penulis bangga dengan kejayaan Maybank dan amat gembira merakam kecemerlangannya dalam sejarah dunia korporat Melayu dan Malaysia yang harus menjadi contoh dan teladan.

Kali terakhir penulis ke Shanghai ialah 27 tahun lalu mengiringi Tun Abdul Razak menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Seperti kata Daim, tanpa pandangan jauh politik Tun Razak, kita barangkali masih meraba-raba lagi dalam diplomasi dengan negara-negara yang sedang muncul, yang telah diperluas dan dipertingkatkan lagi oleh Dr. Mahathir.

Tetapi pandangan jauh Tun Razak itu besar kosnya kepada pergolakan politik dalam UMNO setelah kembalinya Tun Razak ke rahmatullah secara mengejut di London pada 14 Januari 1976.

Begitulah sejarah. Lumrah bagi mereka yang moden dan maju pemikirannya selalu menjadi mangsa kejahilan dan puak-puak purba. Melayu muda lawan Melayu kuno, kaum muda (ulama moden dan objektif) lawan ulama kerajaan sebelum Perang Dunia Kedua tetapi kini nampaknya kedudukan sebaliknya pula, yakni ulama kerajaan mendahului ulama di luar dalam pendekatan dan pemikiran. Melayu baru tidak semestinya progresif walaupun mereka lebih berupaya dalam ekonomi.

Tun Razak dan Dr. Mahathir adalah pelopor diplomasi bebas Malaysia. Kita tidak harus bermusuh dengan sesiapa pun terutama China yang sedang membangun (bagaikan satu gergasi yang baru sedar daripada lena). Tun Razak dan Dr. Mahathir berpendapat kita mesti bekerjasama dan cuba rapat dengannya, bukan memusuhinya - we must work with China, not against it, bak kata mat saleh.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi