RENCANA

Mingguan Malaysia 01 April 2001

Antara kesalahan Dr. Mahathir dengan Nik Aziz mengenai hukum

Oleh: MOHD. NAKHAIE AHMAD
DALAM satu pertemuan berkelompok anjuran Bahagian Hal Ehwal Khas di Kedah, saya telah diarahkan menghadiri perjumpaan di sebuah kampung di Kubang Pasu, kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Setelah menyampaikan ucapan mengenai beberapa isu yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum Islam di negara ini, saya diajukan pertanyaan sinis, menyentuh peribadi Dr. Mahathir.

``Dr. Mahathir ingat dia pandai sangat fasal hukum agama. Beri fatwa yang bukan-bukan mengenai aurat wanita. Kalau dia alim macam Tuan Guru Nik Aziz, tak apalah. Ustaz pula buat apa! Tak nasihat Dr. Mahathir?'' Begitulah lebih kurang pertanyaan yang diajukan.

Saya agak kaget dengan pertanyaan itu, meskipun soalan agresif seperti itu bukan luar biasa bagi saya bahkan pertanyaan lebih nakal dan menyentuh perasaan sering dihadapi, terutama oleh orang-orang muda yang panas baran. Saya kaget, kerana pertanyaan itu dibuat oleh seorang ketua kampung.

Di Kedah, kebanyakan ketua kampung adalah orang UMNO.

Sebelum menjawab pertanyaan itu, saya cuba menenangkan kekagetan itu. Jawapan sudahpun ada, tetapi harus disusun supaya berkesan.

``Abang bercakap tentang hukum. Abang tahukah apa pengertian hukum itu?''

Terhembur pertanyaan dari mulut saya. Dalam benak saya otak ligat berfikir tentang penyusunan jawapan yang akan diberikan. Saya perlu sedikit waktu. Cara terbaik ialah menyerahkan beberapa peranan kepada orang yang bertanya.

Meskipun dia menjawab tidak tahu, saya berulang kali mengajukan kepadanya soalan itu. Saya perlukan sedikit masa lagi untuk menyusun jawapan.

Setelah yakin dengan sususan jawapan yang akan diberi, saya menghuraikan kepadanya definasi hukum mengikut takrif ilmu Usulul Fiqh.

``Hukum ialah kitab (perintah) Allah s.w.t yang berkaitan dengan perbuatan orang mukalaf, sama ada secara yang ditetapkan atau pilihan atau wadh'i, yakni yang ditetapkan sebagai syarat, sebab dan halangan.

``Ini bermakna hukum Allah itu luas dan tidak terbatas hanya kepada hukum mengenai perkara tertentu sahaja seperti berpakaian menutup `aurat.'

``Membantu orang-orang miskin adalah wajib. Wajib adalah hukum. Demikianlah juga mengembangkan ilmu, mengukuhkan ekonomi, menyediakan keperluan hidup atau nafkah hidup.''

Saya memberi penjelasan sambil membacakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan pendapat sahabat mengenainya.

Banyak yang berkata Nik Aziz lebih berhak bercakap mengenai hukum daripada Dr. Mahathir, kerana Nik Aziz seorang alim dan Dr. Mahathir tidak.

Memang benar, apabila Nik Aziz bercakap mengenai masalah menutup aurat, dia bercakap benar mengenainya. Tetapi bagaimana kenyataan Nik Aziz mengenai kemiskinan, mengenai pelajaran dan mengenai ekonomi?

Apabila Nik Aziz membuat kenyataan bahawa kemiskinan adalah takdir, dengan pengertian tidak harus ada kebimbangan terhadapnya dan tidak perlu dijadikan kenyataan itu adalah salah dari segi hukum Islam.

Ia berlawanan dengan kebimbangan Rasulullah s.a.w mengenai bahaya kemiskinan terhadap agama. Rasulullah s.a.w meminta perlindungan Allah s.w.t daripada kekufuran dan kemiskinan di dalam doanya. Bahkan Saidina Ali k.w berkata: ``Kalau kemiskinan itu orang, nescaya aku membunuhnya.'' Allah s.w.t menyebut bahawa orang yang tidak menghiraukan nasib orang miskin adalah pendusta agama, seperti yang disebut di dalam surah Al-Ma'uun.

Persoalan kemiskinan bukan menyentuh takdir semata-mata, tetapi juga berkait dengan ikhtiar manusia. Bagaimana ikhtiar pemerintah untuk mengatasi masalah kemiskinan. Apakah usaha individu untuk membanteras kemiskinan yang membelenggu dirinya? Dimensi-dimensi ini telah dihurai dengan begitu jelas dalam epistemologi ahli Sunah Wal Jama'ah mengenai amalan baik dan buruk dan tanggungjawab manusia.

Sebagai pemerintah apakah Nik Aziz tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab di dalam menangani masalah kemiskinan di negeri yang diperintahnya. Di manakah peranan usaha dan ikhtiar mengenai masalah yang dihadapi ini?

Sewaktu negara ini menghadapi krisis mata wang angkara imperialis dan Yahudi, Dr. Mahathir berdiri tegak menentang angkara itu dan ancaman itu dapat ditangani secara semestinya. Sedangkan banyak negara lain di rantau lain di rantau ini menyerah kalah dan masuk ke dalam perangkap IMF.

Di manakah Nik Aziz waktu negara menghadapi kegawatan ini? Apakah sumbangan beliau dalam pembangunan ekonomi? Sekurang-kurangnya untuk membendung penghijrahan rakyat Kelantan ke negeri-negeri lain.

Yang melucukan, Mahfuz Umar ditabal oleh Pemuda Pas sebagai hero menentang Yahudi. Semata-mata kerana memilih dipenjarakan dan tidak memilih denda setelah didapati bersalah melanggar undang-undang dalam demonstrasi membantah lawatan pasukan kriket Israel ke negara ini. Apakah hukum seorang yang dipertanggungjawab memelihara negeri dan rakyat di negeri itu, diam membisu sewaktu negara digugat ancaman imperialis dan Yahudi? Apakah hukumnya seorang pelanggar undang-undang dijadikan hero dan diberikan penghormatan?

Dua persoalan penting di atas berkait rapat dengan hukum dan tanggungjawab pemerintah. Apabila Dr. Mahathir sebagai pemerintah, sedaya upaya, menunaikan tanggungjawab ini dengan pelbagai usaha, tidakkah beliau telah menjalankan tugasnya sebagai pemerintah seperti yang dituntut oleh Islam? Tetapi apakah yang dilakukan oleh Nik Aziz dalam menangani isu yang penting ini di dalam negeri yang diperintahnya?

Membuat penilaian mengenai kebaikan dan keburukan orang sering sahaja semberono. Yang penting disingkirkan dan yang kurang penting diutamakan. Kesalahan kecil dibesarkan, jasa yang besar dilupakan. Jika pertimbangan saksama tidak digunakan, intan dihumban ke dalam lumpur dan kaca dijadikan perhiasan balairong istana. Imej dan hiasan boleh menyebabkan manusia terpedaya. Kaca yang dibentuk indah, juga boleh memperdayakan harga. Ia dibeli dengan harga mahal oleh orang yang jahil tentang intan permata.

Nik Aziz mungkin lebih warak daripada Dr. Mahathir dalam hal yang berkaitan dengan ibadat khusus. Tetapi tanggungjawab seseorang, seperti yang ditentukan oleh Islam, tidak hanya sekadar melaksanakan ibadat khusus. Islam ialah sistem hidup yang syumul. Bidang pemerintahan adalah yang terpenting di dalam sistem Islam.

Tanggungjawab cukup besar. Penghayatannya tidak memadai dengan hanya berfatwa bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan dan siapa berkata politik suku agama suku jadi kafir.

< P>* Datuk Mohd Nakhaie Ahmad adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi