SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 06 April 2001

Cikgu.Net terima kunjungan pengguna dari luar negara


LAMAN web Cikgu.Net, gerbang pendidikan pertama di negara ini mendapat sambutan menggalakkan bukan saja di kalangan pelajar dan warga pendidikan tempatan, malah dari luar negara.

Laman web yang diwujudkan dalam bahasa Melayu sejak setahun lalu itu kini mempunyai keahliannya 6,000 orang, dengan mencatat jumlah kunjungan 12 juta pengguna.

Laman web anjuran Mimos itu juga menerima kunjungan dari pengguna negara luar seperti Jerman, Romania, Peru dan India bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kandungan pendidikan tempatan atau sebagai bahan penyelidikan pengajian.

Ketua Pegawai Operasi Mimos, Dr Mohamed Awang Lah, berkata berikutan sambutan yang menggalakkan itu, pihaknya telah membuat penampilan baru dengan menambah bahagian bahasa Inggeris sempena ulang tahun pertamanya baru-baru ini.

Beliau berkata, penambahan serta wajah baru laman web itu bertujuan menyesuaikan keberkesanannya dengan permintaan semasa pengguna Cikgu.Net dalam dan luar negara.

“Menerusi penambahan bahagian bahasa Inggeris ini, ia dapat menggalakkan penggunaan laman web serta perkongsian bijak dan mesra antara guru dan pelajar di seluruh negara secara lebih pantas dan cekap,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Peraduan Laman Web Cikgu.Net dan Pelancaran Cikgu.Net 2001 Berwajah Baru, rendah dan menengah dari seluruh negara di Mimos Berhad (Mimos), Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, baru-baru ini.

Di majlis itu beliau turut menyampaikan hadiah kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, Terengganu yang muncul johan dengan menewaskan 52 penyertaan kategori sekolah rendah dan menengah.

Peraduan Laman Web Cikgu.Net anjuran Mimos Berhad itu mendapat kerjasama daripada Berita Harian, Canon Marketing (M) Sdn Bhd, Majalah Jaring Internet, KYE System (M) Sdn Bhd, Pearson Education Malaysia, iBroadnet. Sdn Bhd dan iGalaksi.

Sementara itu, Pengurus Pembelajaran Cikgu.Net, Abd Hamid Abd Rahman, berkata bahagian bahasa Inggeris yang dihasilkan itu bukanlah terjemahan bahagian bahasa Melayu yang dihasilkan sebelum ini.

Menurut beliau, beberapa perkhidmatan dan ciri baru yang diperkenalkan itu tidak terdapat di bahagian bahasa Melayu seperti ruangan e-lite yang menyiarkan mata pelajaran Kesusasteraan Bahasa Inggeris dalam bentuk teks yang khusus untuk pendidik dan pelajar subjek itu.

Katanya, antara ciri lain yang baru diperkenalkan itu juga memasukkan elemen Berita Teknologi, Isu-isu Pedagogi, tip mengajar dan diari pendidikan.

“Bagi mempertingkatkan kandungan gerbang ini, Cikgu.Net terus berusaha mendapatkan kandungan bahan pembelajaran dari rakan kongsi projek ini termasuklah pihak swasta seperti Pearson Education Sdn Bhd, guru dan jabatan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan.

“Semua ini adalah berasaskan penyediaan bahan pengajaran tempatan berlandaskan kurikulum dan bukan kurikulum oleh kementerian bagi memperbanyakkan bahan pendidikan tematik untuk guru di dalam kelas.

“Cikgu.Net turut menyediakan banyak kaedah untuk pendidik berkongsi idea seperti bahan mengajar, soalan, rancangan mengajar, ujian serta kertas soalan yang boleh dikongsi bersama dengan guru di dalam dan luar negara.

“Sejak landasan ini disediakan, Cikgu.Net mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak khususnya guru dan ahli akademik dan kami berharap laman ini dapat membantu mereka menerusi pengisian yang terkini dan bermutu,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi