SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 06 April 2001

USM temui kaedah bermutu biak tiram


MALAYSIA berpotensi menjadi pengeluar utama tiram dunia bermutu tinggi bagi pasaran antarabangsa berikutan kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah bermutu pembiakan sumber laut itu.

Kajian dan penyelidikan tiram yang dijalankan USM di Stesen Muka Head, di Teluk Bahang, Pulau Pinang sejak lima tahun lalu kini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Kejayaan penyelidikan itu membuktikan saintis tempatan tidak kurang hebatnya dari segi keupayaan, malahan setanding negara maju menerokai bidang yang selama ini dimonopoli saintis asing.

Kaedah pembiakan tiram yang diperkenalkan USM lebih terjamin mutunya serta dapat dikeluarkan mengikut permintaan serta menjimatkan kos penyelenggaraan dan penjagaan.

Melalui pameran hasil penyelidikan yang diadakan oleh USM baru-baru ini, kini ia sudah bersedia untuk dikomersialkan dan pihak USM sedang mencari pihak yang berminat membiaknya secara menguntungkan.

Pengerusi Program Stesen Penyelidikan Muka Head, Pusat Kajian Marin dan Samudera Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Zulfigar Yasin, berkata melalui penyelidikan itu, benih tiram dapat dihasilkan secara berjadual.

“Ketika ini, hasil tiram diperoleh dengan menangkap benih tiram liar di tempat tertentu terutama di kawasan hutan bakau,” katanya ketika sesi dialog bersama ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), di Dewan Persidangan USM, di Georgetown, baru-baru ini.

“Dengan adanya kaedah itu, benih tiram dapat diperolehi secara konsisten mengikut keperluan pelanggan,” katanya yang juga mampu menghasilkan tiram laut daripada peringkat awal hingga ke peringkat matang.

Beliau berkata, melalui kaedah yang dicipta USM itu, jangkaan permintaan dan bekalan dapat diselaraskan berdasarkan kepada jumlah tiram diperlukan untuk dipasarkan dalam tempoh tertentu.

“Hasil penyelidikan USM melalui program berkenaan juga berjaya menghasilkan tiram bermutu tinggi, segar serta lebih enak daripada tiram biasa yang ditangkap di laut atau yang diimport,” katanya.

Ketika ini Malaysia mengimport tiram dari Australia dan New Zealand bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan kos yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, bagi pihak yang berminat, USM sedia menyediakan bekalan benih, khidmat rundingan serta kursus berkaitan bagi membolehkan ia dijalankan secara komersial.

Pembiakan tiram sehingga tempoh matang yang dilakukan USM lebih cepat iaitu antara 12 dan 18 bulan berbanding 24 bulan di Amerika Syarikat dan Jepun (20 bulan).

Stesen penyelidikan USM di Muka Head itu, juga menjalankan penyelidikan mengenai spesis kerang gergasi, gamat dan terumbu karang serta hidupan laut lain yang belum dikenali ramai.

Dr Zulfigar yang terbabit secara langsung dalam penyelidikan itu, berkata Malaysia mempunyai kepakaran, prasarana dan teknologi yang mencukupi untuk menerokai industri makanan laut khususnya tiram.

Beliau berkata, ketika ini usaha memasarkan tiram sama ada di pasaran tempatan atau luar negara menghadapi sedikit masalah berikutan jangkaan permintaan dan bekalan yang tidak menentu.

“Jika bekalan dan permintaan dapat ditentukan secara konsisten tiram akan lebih mudah dipasarkan. Jika permintaan tinggi pada masa tertentu, bekalan dapat memenuhi permintaan,” katanya yang yakin hasil penyelidikan itu mempunyai potensi cerah bagi pihak yang berminat mengkomersialkannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi