SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Minggu 08 April 2001

Mara minta pelatih tidak ubah suai enjin tanpa kebenaran


ALOR GAJAH: Mara mengingatkan pelatih di semua institut kemahiran kelolaannya supaya tidak menggunakan kebolehan mereka untuk mengubahsuai enjin motosikal atau kereta tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehubungan itu, Mara mengarahkan semua tenaga pengajar di institusi berkenaan mengingatkan pelatih supaya tidak mengambil kesempatan berbuat demikian, terutama untuk menambah kelajuan kenderaan.

Pengerusi Mara, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata Mara juga tidak mahu ada penuntut lepasan institusi kemahirannya yang apabila membuka bengkel, menyediakan khidmat mengubahsuai kenderaan tanpa kelulusan JPJ.

Perbuatan itu, katanya, bukan saja membahayakan nyawa penunggang motosikal atau pemandu kereta, malah pengguna jalan raya lain.

“Di segi kejuruteraan, semua tenaga pengajar diminta mengingatkan pelatih agar tidak sesuka hati membuat pengubahsuaian enjin untuk motosikal sendiri atau orang lain tanpa kebenaran JPJ,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pemasangan papan tanda keselamatan jalan raya berhampiran plaza tol Simpang Ampat, dekat sini semalam.

Papan tanda itu adalah yang keempat dipasang oleh Kelab Lions Melaka dengan kerjasama MKJR Melaka, polis serta Persaudaraan Pengakap Raja Negeri.

Beliau berkata, Mara juga akan diminta menguatkuasakan tindakan undang-undang bagi memastikan semua pelatih yang menunggang motosikal atau kereta mempunyai lesen memandu.

Abu Seman berkata, pendidikan keselamatan jalan raya akan dijalankan melalui kempen kesedaran di kalangan pelatih supaya bersama-sama menjaga keselamatan diri ketika di jalan raya.

“Mara juga akan menjalankan kajian mengesan jumlah pelatih di pusat kemahirannya yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, terutama yang membabitkan kematian.

“Kajian itu diperlukan bagi menentukan kedudukan sebenar pelatih institusi kemahiran Mara sama ada menjadi penyumbang terbesar atau tidak bagi kes kemalangan itu, terutama kemalangan maut yang membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), 6,035 orang terbunuh daripada 441,368 kenderaan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Katanya, seramai 3,099 penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya dan jumlah itu adalah paling tinggi.

“Kemalangan ini mungkin juga membabitkan pelatih IKM serta PGM, tetapi tidak diketahui kedudukan sebenar dan kajian terperinci perlu dijalankan,” katanya.

Abu Seman berkata, Mara akan meneliti hasil kajian itu bagi menentukan tindakan yang akan diambil berasaskan kepada tindakan program pendidikan, kejuruteraan dan penguatkuasaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi