SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Minggu 08 April 2001

Petronas lancar enjin GP1


SUZUKA (Jepun): Petronas menerusi syarikat usaha samanya, Sauber Petronas Engineering (SPE) AG, mencatat satu lagi sejarah apabila melancarkan enjin prototaip motosikal berprestasi tinggi berasaskan Formula Satu untuk kegunaan perlumbaan dan komersial.

Enjin prototaip GP1 empat lejang itu dihasilkan oleh sekumpulan enam jurutera daripada 17 rakyat Malaysia yang berkhidmat di kilang SPE di Hinwil, Switzerland dalam tempoh setahun.

Ketika ini, kumpulan jurutera berkenaan sedang meneruskan kerja pengubahsuaian enjin prototaip itu sebelum mempersembahkannya secara lengkap sebagai sebuah motosikal pada Oktober ini ketika Grand Prix Malaysia.

Apapun, lebih penting pelancaran enjin prototaip itu di sini, dibuat sehari sebelum musim pembukaan Grand Prix Motosikal Dunia FIM 2001.

Pelancaran dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Marzuki Mohammad Noor.

Enjin prototaip empat lejap tiga, tiga silinder dan berkuasa 989cc itu, dihasilkan daripada teknologi enjin terbaru Formula Satu, sekali gus melambangkan kejayaan besar dalam industri automotif negara hasil daripada pembabitan Petronas dalam sukan motor Formula Satu.

Mohd Hassan berkata, pihaknya bangga kerana jurutera tempatan yang berkhidmat di SPE berjaya menghasilkan enjin prototaip berkenaan dan membuktikan kesungguhan Malaysia untuk lebih maju dalam industri automotif.

“Keupayaan jurutera Malaysia dalam membangunkan enjin berteknologi tinggi adalah penting.

“Ini adalah 100 peratus hasil usaha jurutera Malaysia.

“Malah enjin prototaip ini adalah lambang pembabitan Petronas dalam tahap tertinggi teknologi enjin dan tentunya membuktikan keupayaan orang kita membangunkan kemahiran tinggi dalam rekaan dan pembangunan enjin,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia selepas pelancaran.

Dua tahun lalu, iaitu pada 9 November 1998, Petronas melancarkan enjin prototaip komersil pertamanya yang kini masih dalam fasa perancangan pengeluaran.

Konsep projek enjin itu lengkap pada awal tahun lalu sebelum kerja prototaip bermula pada penghujung Julai lalu.

Pengumpulan komponen pula bermula pada akhir September dan diikuti kerja pembangunan pada awal Disember.

Pasukan jurutera itu berjaya mengendalikan sesi menghidupkan enjin prototaip itu buat kali pertama pada 17 Disember 2001, di Switzerland.

SPE ditubuhkan pada 1996 dengan 60 peratus sahamnya dimiliki pasukan Formula Satu, Red Bull Sauber Petronas dan 40 peratus oleh Petronas.

Sehubungan itu, Pengurus Kanan Projek Khas, Bahagian Perancangan Korporat dan Pembangunan Petronas, Dr Hamzah Abdul Hamid berkata keupayaan enjin prototaip itu ialah lebih 200 kuasa kuda pada tahap 15,000 rpm.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi