SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 03 April 2001

Projek hutan tanam jamin sumber kayu


PROJEK hutan tanam atau perladangan pokok dianggap pelaburan berisiko tinggi kerana memerlukan modal besar, sedang hasilnya tidak boleh dilihat sekurang-kurangnya untuk 25 tahun akan datang. Ia juga menuntut dedikasi sepenuhnya dan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Lagipun siapa tahu, dalam tempoh 25 tahun akan datang, permintaan terhadap kayu mungkin berkurangan atau tidak ada lagi. Mungkin juga ketika itu orang ramai beralih kepada bahan lain seperti plastik.

Justeru, tidak ramai pihak yang berani membabitkan diri dalam projek seperti itu.

Keberanian Perbadanan Perusahaan Kemajuan Kayu Sarawak (Pusaka), sebuah badan berkanun di Sarawak dan KTS Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pembalakan yang wujud di Sarawak sejak 1960-an mengorak langkah ke arah itu, harus dipuji.

Perjanjian usaha sama antara kedua-dua pihak bagi menubuhkan Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd, dimenterai pada 8 September 1998. KTS memegang 70 peratus ekuiti dalam syarikat berkenaan, manakala Pusaka 30 peratus.

Tindakan itu susulan kepada saranan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletakkan wawasan mewujudkan sejuta hektar hutan tanam di Sarawak pada tempoh 15 tahun dari sekarang.

Dianggarkan Sarawak mampu menikmati pengeluaran tahunan 15 juta meter padu balak setahun, jika ia memiliki sejuta hektar hutan tanam.

Minat Sarawak untuk memajukan perladangan hutan bermula sejak 1960-an, tetapi hanya beberapa tahun lalu ia memutuskan untuk melakukan sesuatu ke arah itu.

Ia bermula dengan langkah meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Perhutanan (Pindaan) 1996 di Dewan Undangan Negeri dan mewartakan Peraturan Perhutanan (Hutan Tanam) 1997 pada Februari 1997.

Pusaka KTS Forest Plantations Sdn Bhd menjadi syarikat pertama tampil menyahut seruan ke arah itu dengan membabitkan kawasan 267,000 hektar di Ulu Sungei Tubau, Belaga dalam Bahagian Kapit; Kakus dalam Bahagian Miri dan Tutoh dalam Bahagian Bintulu, diluluskan untuk tujuan berkenaan.

Syarikat itu melabur RM400 juta untuk projek perintis yang dilaksanakan dalam tiga pusingan bagi tempoh pajakan 60 tahun it

Projek di Ulu Sungei Tubau, Belaga dalam Bahagian Kapit, yang keseluruhannya membabitkan 72,000 hektar bermula tahun lalu.

Projek di Tutoh (98,000 hektar) bermula awal tahun ini dan di Kakus (97,000 hektar) pula, kerja semaian baru bermula. Kedua-dua Tutoh dan Kakus terletak di Bahagian Miri.

Baru-baru ini, sekumpulan wartawan dibawa melawat projek perintis di Ulu Sungei Tubau. Walaupun terletak dalam Bahagian Kapit, perjalanan ke situ lebih mudah dilakukan melalui Bintulu.

Seramai 14 wakil media di Sarawak dibawa dari Bintulu ke tapak projek di Ulu Sungei Tubau melalui 105 kilometer jalan berturap dan baki kira-kira 25 kilometer jalan balak.

Oleh kerana projek penanaman di situ mula tahun lalu, banyak kawasan yang belum ditanam, selain kelihatan kawasan hutan yang pokok matangnya belum ditebang, kerana sebahagian kawasan itu adalah konsesi untuk KTS Holdings sebelum ini.

Setakat ini, Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd menanam seluas 500 hektar kawasan berkenaan dengan pokok getah untuk kayunya. Selain pokok getah, pekerja menanam 600 hektar kelapa sawit di situ sejak Januari tahun lalu.

Pengurus Besar (Operasi) Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd, Nigeng Ping Wei, berkata daripada 267,000 hektar keseluruhan kawasan tanaman syarikat itu, kira-kira 30 peratus digunakan bagi penanaman kelapa sawit untuk hanya satu pusingan, iaitu kira-kira 25 tahun.

“Kita boleh menuai kelapa sawit selepas tiga atau empat tahun ditanam. Kelapa sawit ditanam di kawasan perladangan hutan bagi membantu menjana pendapatan untuk menanam pokok di kawasan yang sama.

“Selepas satu pusingan penanaman kelapa sawit, kawasan ini ditanam pokok lain termasuk pokok getah dan sentang,” katanya.

Mengenai perkembangan projek di dua lagi kawasan (Tutoh dan Kakus), Ngieng berkata, kedua-dua kawasan mempunyai tapak semaian sendiri.

Kerja awal dilakukan di Kakus bagi penanaman pokok, manakala di Tutoh, pokok ditanam pada tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Pusaka, Len Talif Salleh yang turut menyertai lawatan itu berkata, pelaksanaan projek itu bukan saja bagi menjamin pengurusan hutan mapan di Sarawak, malah memastikan kawasan itu menjadi hutan kekal selamanya.

Katanya, mereka melaksanakan dasar tebang tanam bagi memperkayakan hutan iaitu setiap pokok yang ditebang diganti dengan tanaman semula. Sebelum pokok cukup matang untuk ditebang, sudah ada pokok baru ditanam dicelahnya bagi menggantikan pokok itu.

Projek perintis hutan tanam di Sarawak itu bukan saja mampu menjamin bekalan sumber kayu untuk Sarawak bagi jangka panjang, malah bakal menjamin pengurusan hutan mapan dan memulihara biologi.

Pendekatan yang digunakan syarikat itu juga menjamin kewujudan estet hutan kekal di Sarawak.

Dasar Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd ialah memastikan projek hutan tanam itu berdaya maju dari segi ekonomi, menggunakan pendekatan pengurusan mesra alam dan bio kepelbagaian, berasas tiga pusingan edaran serta menjamin kewujudan hutan kekal di situ.

Pusingan edaran dimaksudkan berasas kepada topografi, kos dan pertimbangan nilai. Ia juga bergantung kepada kecuraman kawasan penanaman iaitu 15 tahun – jangka pendek untuk kecuraman kurang 25 darjah, 25 tahun (tempoh sederhana) bagi kecuraman 25 ke 35 darjah, manakala jangka panjang iaitu 35 tahun bagi kecuraman lebih 35 darjah.

Sementara itu, Pengurus Am Operasi Pustaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd, Law Lee Thian berkata, jumlah sebenar kawasan yang ditanam dengan pokok setiap tahun sepanjang tempoh pajakan itu tidak dapat ditetapkan.

Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kewangan yang disediakan.

Dari segi kaedah penanaman, Law berkata, kira-kira 20 peratus daripada 267,000 hektar kawasan digunakan untuk ‘penanaman bagi memperkayakan hutan’ dengan mengurangkan kesan atau impak pembalakan (RIL), manakala baki 60 peratus untuk clear-fell industrial tree planting (ITP).

RIL pada umumnya dilakukan di cerun bukit dan di kawasan yang sudah ditebang, tetapi masih mempunyai banyak pokok berpotensi.

“Bagi RIL, jenis pokok yang ditanam termasuk meranti, durian, engkabang dan cengal pasir,” kata beliau.

ITP pula, katanya, untuk kawasan yang berpotensi pertumbuhan agak rendah, terutama di tanah rendah.

Beberapa spesies terutama pokok getah dan sentang ditanam di kawasan ITP. Syarikat itu juga mengkaji klon getah yang baik untuk diusahakan di situ.

Pokok getah boleh ditoreh selepas pusingan 15 tahun, bergantung kepada spesies yang ditanam, sementara kayu getah mungkin digunakan sebagai kayu bergergaji dan papan lapis.

Dari segi peluang pekerjaan, keseluruhan projek itu (Ulu Sungei Tubau, Kakus dan Tutoh) menjana sekurang-kurangnya 400 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, terutama masyarakat pribumi di sekitar kawasan berkenaan.

Setakat ini, lebih 140 penduduk tempatan, majoritinya suku Kayan dan Kenyah diambil bekerja di Ulu Sungei Tubau. Seramai 40 daripada mereka adalah pekerja bulanan yang menerima gaji tetap, manakala lebih 100 lagi pekerja bergaji hari.

Matlamat Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd ialah memastikan kira-kira 90 peratus daripada tenaga kerja projek itu terdiri daripada penduduk sekitar, khususnya dari rumah panjang berhampiran kawasan projek.

Bagi kawasan di Tutoh dan Kakus, pengambilan pekerja masih dijalankan dan pekerja berpengalaman dari ladang di Ulu Sungei Tubau, turut membantu melatih mereka.

Pengurusan projek itu juga sentiasa menjaga kebajikan pekerja dan kini mereka ditempatkan di kuarters yang selesa dengan dilengkapi kemudahan asas.

Sebuah kuarters konkrit empat tingkat untuk menempatkan pekerja juga sedang dalam pembinaan di situ dan dijangka siap tidak lama lagi.

Kem utama syarikat itu di Ulu Sungei Tubau, kini mempunyai bangunan pentadbiran yang turut meliputi dewan serba guna, lounge eksekutif, pejabat, bengkel, setor alat gantian, tapak semaian dan kawasan stok benih.

Kemudahan lain yang sedang dibina ialah kantin, pusat penyelidikan, kemudahan bermain tenis, bola keranjang dan badminton.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi