SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 09 April 2001

Niser proaktif tangani masalah ceroboh sistem

Oleh Hizral Tazzif Hisham

PUSAT Keselamatan dan Tindakbalas Kecemasan Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser) bersedia berfungsi secara proaktif membantu semua pihak menangani masalah pencerobohan sistem rangkaian komputer di negara ini.

Pengarah (Niser), Mejar Husin Jazri, berkata usaha itu sejajar matlamat penubuhan badan itu dan Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (Nita) bagi menyediakan negara menghadapi cabaran dalam era ICT.

“Bagi membolehkan Malaysia menerokai era ICT, ia perlu memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai kemampuan bidang berkenaan membantu mereka untuk memanfaatkannya.

“Orang ramai perlu diyakinkan mengenai keselamatan sistem rangkaian komputer apabila mereka berurus niaga, berkomunikasi dan mencapai maklumat,” katanya kepada Berita Komputer, di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Niser ditubuhkan selepas mesyuarat keenam Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (Nitc) pada 15 Januari 1998. Mesyuarat itu bersetuju mewujudkan agensi akreditasi dan keselamatan sistem rangkaian komputer kebangsaan.

Niser akan dilancarkan esok oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan orang ramai boleh mengunjungi laman webnya iaitu www.niser.org.my bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pusat berkenaan.

Beliau berkata, Niser menyediakan kepakaran dalam pelbagai bidang membabitkan keselamatan sistem rangkaian komputer, termasuk pembangunan dasaer keselamatan, perkhidmatan forensik komputer dan jaminan keselamatan sistem rangkaian.

“Perkhidmatan komputer misalnya, dapat membantu menyelesaikan pelbagai kes membabitkan jenayah komputer, pengambilan maklumat, pemulihan dan analisis sesuatu keadaan.

“Sementara itu, jaminan keselamatan sistem rangkaian membolehkan Niser bertindak sebagai pihak ketiga untuk membuat penilaian terhadap produk dan perkhidmatan,” katanya.

Husin berkata, Niser bercadang memperkenalkan program akreditasi terhadap individu yang hendak menceburi bidang keselamatan sistem rangkaian komputer dengan kerjasama Institut Pentadbiran Sistem Rangakaian Komputer dan Keselamatan Amerika (SANS).

Ditanya mengenai ancaman terhadap pencerobohan sistem rangkaian komputer di negara ini, beliau berkata, jumlahnya meningkat tiga kali ganda bulan ini berbanding bulan lalu manakala ancaman pencerobohan meningkat dua kali ganda.

Beliau berkata, Niser mengesan 25 pencerobohan sistem rangkaian komputer bulan ini, meningkat berbanding lapan bulan lalu manakala ancaman terhadap pencerobohan bertambah kepada 19 berbanding hanya lapan.

“Angka ini walaupun kecil berbanding jumlah pengguna Internet di negara ini, masih perlu perlu ditangani segera dan dengan baik bagi memastikan kes berkenaan dapat dikawal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti ancaman pencerobohan sistem komputer semakin meningkat sejak dua tahun lalu dengan sepanjang Mac saja, 54 kes pencerobohan direkodkan berbanding 29 pada Februari.

Katanya, masalah pencerobohan sistem komputer di negara ini berlaku terutamanya kesan kekurangan kepakaran tenaga manusia untuk mengendalikan sistem rangkaian komputer dengan cara yang terbaik.

Menurutnya, tahap kefahaman yang rendah mengenai pendekatan serta metodologi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta terlalu menekankan produk, turut menjadi punca kerapnya berlaku pencerobohan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi