SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 09 April 2001

Pasport Pintar Malaysia: Iris bincang dengan negara berminat


IRIS Technologies (M) Sdn Bhd (Iris), sedang berunding dengan beberapa negara lain yang berminat menggunakan teknologi pasport pintar Malaysia untuk dimanfaatkan di dalam pasport antarabangsa mereka.

Pengarahnya, Tony Lee, berkata Iris sedang berbincang dengan beberapa negara yang berminat menggunakan teknologi pasport pintar kerana sudah terbukti tahap keselamatan yang tinggi sejak diperkenalkan kerajaan Mac 1998.

“Kami berbincang dengan banyak negara dan bercadang melesenkan teknologi berkenaan kepada negara yang berminat untuk menggunakannya,” katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Pasport pintar Malaysia mengandungi teknologi Dokumen Perjalanan elektronik Iris membabitkan bahan tanpa sentuhan antara lapisan buku pasport.

Ciri keselamatan pasport pintar Malaysia dapat menghalang sindiket pemalsuan paport antarabangsa memalsukannya.

Pihak berkuasa Imigeresen AS menubuhkan mesin khas untuk membaca pasport Malaysia (yang dimajukan Iris) di semua lapangan terbang antarabangsanya.

Lee berkata, perbincnagan itu mungkin mengambil sedikit masa bagi negara lain melaksanakan teknologi pasport pintar itu kerana ia membabitkan beberapa isu utama, seperti prasarana dan perundangan.

“Diharapkan, menjelang tahun depan, kami akan mempunyai satu atau dua negara menggunakannya,” katanya.

Katanya, di negara ini, sebanyak 30 Autogate atau mesin bacaan pasport pintar dipasang di pusat keluar/masuk utama negara ini, termasuk 12 di KLIA, dua di Bukit Kayu Hitam, dua di Lapangan Terbang Bayan Lepas dan enam di Tambak Johor.

Lee berkata, Iris melabur kira-kira RM20 juta sehingga kini bagi pembangunan teknologi pasport pintar daripada jumlah pelaburan sebanyak RM200 juta setakat ini sejak 1994.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi