SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 09 April 2001

Azure bangun pusat data IBM


AZURE Technologies (M) Sdn Bhd (Azure), melabur RM1 juta untuk membangunkan pusat Simpanan Data Lengkap menggunakan teknologi terbaru Sistem Rangkaian Kawasan Simpanan Data (SAN) milik IBM.

Azure dan IBM bekerjasama untuk memajukan pusat berkenaan yang akan menyaksikan penggunaan pelbagai teknologi terkini yang dimiliki IBM dalam bidang simpanan data.

Pengarah Azure, CM Wonn, berkata dengan adanya pusat itu, pelanggan dapat menyaksikan secara nyata teknologi terkini milik IBM yang boleh dimanfaatkan bagi membantu mempertingkatkan kecekapan operasi perniagaan mereka.

“Pusat SAN ini disasarkan terhadap syarikat yang menawarkan perkhidmatan rumusan penyelesaian dan penyepadu sistem kepada pelanggan masing-masing. Menerusi pusat ini, mereka dapat mengetahui perkambangan terkini teknologi SAN,” katanya di Petaling Jaya, minggu lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran pusat itu. Turut hadir Pengurus Kanan Jualan Sistem IBM Malaysia, Lee Choon Yee; Pengurus Besar Azure, Philip Soh dan Eksekutif Jenama IBM Asean, Nipun Mehrotra.

Antara kemudahan yang ada di pusat berkenaan ialah pelayan IBM model iSeries, pSeries dan xSeries, perisian pengurusan simpanan yang diuruskan oleh pengurus simpanan data Tivoli.

Beliau berkata, dengan adanya kemudahan di pusat berkenaan Azure kini berkeyakinan untuk menembusi pasaran simpanan data secara agresif dan dapat meningkatkan kefahaman pelanggan terhadap kelebihan SAN.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi