SAINS DAN TEKNOLOGI

Berita Harian 10 April 2001

E-Book ganti buku teks



AZLIN MOHD ISHAK menunjukkan e-Book yang akan diagihkan
kepada 4,000 pelajar tingkatan empat aliran sastera dan
650 guru di ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR, Selasa – Buku teks mungkin tidak lagi digunakan dalam sistem pendidikan di negara ini jika projek perintis buku elektronik (e-Book) usahasama Kementerian Pendidikan dan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), mencapai kejayaan.

E-Book berfungsi seperti laptop tetapi bersaiz buku latihan dengan berat kira-kira 1.1 kilogram dan beroperasi menggunakan bateri yang mampu bertahan selama lapan jam.

Antara lain, e-Book menyediakan aplikasi seperti pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar, laman perbualan, e-mel, permainan dan Internet.

Buat permulaan, 4,000 pelajar tingkatan empat aliran sastera dan 650 guru dari 50 sekolah di sepuluh negeri, akan menerima e-Book sebagai persediaan fasa pertama projek perintis itu, Mei ini.

Pelajar dan guru berkenaan juga akan menerima latihan empat hari sepanjang bulan ini mengenai penggunaan dan kaedah pembelajaran melalui e-Book. Kursus itu akan dianjurkan syarikat IT berkenaan, One-Ed Dot Com.

Pengarah One-Ed Dot Com, Daniel Tan C Y, berkata projek itu selaras dengan wawasan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan IT dan komunikasi (ICT) seperti digariskan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3).

“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini. Seorang fasilitator akan memantau keberkesanan projek perintis ini di setiap negeri.

“Mereka akan memberikan maklum balas secara berterusan bagi membolehkan kajian dilakukan terhadap kesan pelaksanaan projek ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Syarikat telekomunikasi antarabangsa, Ericsson, bertindak sebagai perunding bantuan teknikal projek ini.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Pengurus Projek e-Sekolah Ericsson, Mikael Karlstrom.

Projek e-Book/e-Sekolah itu dijangka membantu usaha mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar selain membuka peluang kepada lepasan sekolah menyertai generasi berasaskan pengetahuan dalam menghadapi cabaran K-ekonomi.

Fasa pertama projek itu, yang bermula Mei hingga Oktober ini, membabitkan pelajar dari Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Tan berkata, fasa pertama bertujuan menguji kebolehan pelajar luar bandar menyesuaikan diri dengan ICT serta meningkatkan keyakinan mereka dalam perubahan teknologi.

Katanya, One-Ed Dot Com yang mendapat hak eksklusif pelaksanaan projek e-Book/e-Sekolah, bertanggungjawab menyediakan kandungan buku teks dalam bentuk digital, portal pendidikan, kemudahan e-Sekolah dan telekomunikasi serta sistem sokongan.

“Kami menjadikan sasaran membekalkan satu e-Book kepada setiap pelajar di seluruh negara bagi menggantikan buku teks, dalam fasa seterusnya. Setakat ini, hampir 90 peratus buku teks tingkatan empat telah ditukar kepada bentuk digital, manakala yang lain masih dalam proses,” katanya.

Tan berkata, projek yang membabitkan pelaburan kira-kira RM40 juta itu akan memupuk generasi celik komputer, selain menyelesaikan masalah beg sekolah berat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi