SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Komersialkan hasil kajian MARDI - Dr. Mahathir

SERDANG 2 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menggesa sektor swasta turut mengkomersialkan hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menjadikan sektor pertanian sebagai ejen pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, banyak hasil kajian MARDI yang boleh dikomersialkan untuk memperoleh keuntungan jika disusuli dengan program pemasaran dan promosi berkesan.

``MARDI mempunyai cukup kemampuan dan kepakaran dalam penyelidikan.

``Hanya yang menjadi masalah ialah bukan MARDI tidak mampu tetapi kerana tidak ada ramai yang menggunakan hasil penyelidikan ini.

``Jika mereka menggunakannya, maka MARDI juga mendapat pulangan dan dengan ini, MARDI boleh membantu lagi dengan membuat kontrak penyelidikan dan sebagainya,'' katanya pada akhir lawatan kerjanya ke ibu pejabat MARDI di sini, hari ini.

Dalam lawatan selama empat jam itu, Dr. Mahathir diberi penerangan tentang hasil penyelidikan MARDI.

Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman antara MARDI dengan Glowing Hill Sdn. Bhd. bagi pengeluaran telur rendah kolesterol yang merupakan salah satu hasil kajian MARDI.

Dr. Mahathir berkata, tanggapan bahawa pertanian hanya aktiviti `belakang rumah' dan untuk kegunaan sendiri harus dibuang kerana sektor pertanian mempunyai potensi yang cukup besar untuk dimajukan.

Katanya, sejak 10 tahun lalu, MARDI telah memperlihatkan kemajuan yang besar dalam bidang penyelidikan pertanian.

``Tinggal lagi banyak daripada apa yang telah ditemui oleh MARDI ini tidak begitu digunakan, tidak ada dikomersialkan.

Beliau turut meminta MARDI menjalankan kajian tentang kos sesuatu hasil kajian itu dikomersialkan supaya kajian itu menjadi lebih menarik.

Beliau memberi contoh produk daripada pokok kenaf dan pelepah kelapa sawit sebagai antara hasil kajian MARDI yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan mula mengetepikan kepentingan sektor pertanian, Dr. Mahathir menjelaskan, pertanian telah diumumkan sebagai satu visi negara bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

``Kita memberi banyak perhatian kepada pertanian tetapi orang lebih berminat untuk membeli dan menjual saham kerana ia cara mudah.

``Kecuali orang serius terhadap pertanian, kita tidak akan boleh menjadikan pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi kepada negara yang sebenar,'' jelasnya.

Beliau menjelaskan, tidak ada gunanya kerajaan menambah peruntukan bidang pertanian sekiranya tidak ada pihak yang mahu mengeksploitasi sumber yang sedia ada.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengkaji untuk mewujudkan peluang perkembangan kerjaya yang lebih baik kepada para penyelidik di MARDI.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi