Make your own free website on Tripod.com

SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Sistem komputer elak surat berdaftar hilang

KUALA LUMPUR 2 April - Pos Malaysia hari ini melancarkan sistem baru posdaftar yang dikendalikan secara berkomputer bagi menggantikan sistem manual sekarang dalam usaha mengurangkan kes kehilangan surat berdaftar.

Pengurus Besar Kanan Operasi Perniagaan Mel Pos Malaysia, Abdul Malek Ahmad Shazili berkata, sistem baru ini akan dapat mempertingkat kualiti dan mempercepatkan lagi perkhidmatan posdaftar.

``Sistem baru ini dapat mengurangkan kes-kes kehilangan surat berdaftar ke tahap paling minimum,'' katanya ketika pelancaran posdaftar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia di sini hari ini.

Perkhidmatan ini, menurut beliau, telah pun dilaksanakan di negara-negara maju seperti Australia, England, Jerman dan Kanada.

Pelaksanaan sistem baru ini akan membolehkan kemasukan dan pertukaran lebih daripada 83,000 data item posdaftar dari 1,260 rangkaian Pos Malaysia di seluruh negara setiap hari.

Pos Malaysia membelanjakan hampir RM15 juta bagi memperkenalkan sistem tersebut yang merangkumi penyediaan perisian dan perkakasan seperti komputer, mesin pencetak dan pengimbas.

Perisian sistem posdaftar ini dibangunkan dengan kerjasama pihak Cen Technology Sdn. Bhd. dan ia berupaya mengawal selia segala maklumat pada setiap surat yang diposkan.

``Pemusatan maklumat ke dalam sistem membolehkan setiap pertanyaan pelanggan mengenai status surat berdaftar yang diposkan dapat dilayani dengan lebih yakin, cepat dan tepat,'' kata Abdul Malek.

Beliau menjelaskan, bagi menjayakan sistem baru itu, penggunaan label kod bar diperlukan untuk setiap surat berdaftar yang diposkan.

``Bagi pengeposan dalam negeri, label posdaftar berwarna merah dijual dengan harga RM1.30 dan setem tidak diperlukan jika ia kurang daripada 20 gram.

``Manakala bagi pengeposan ke luar negara, label berwarna biru dijual dengan harga RM1 dan pengguna hanya perlu membeli setem berdasarkan berat surat dan destinasi negara,'' tambahnya.

Selain itu, Pos Malaysia juga memperkenalkan sampul posdaftar khas baru berlabel kod bar sebagai pilihan dan dijual dengan harga RM2.

Sampul ini boleh digunakan untuk menghantar surat berdaftar yang beratnya 100 gram bagi semua destinasi dalam negeri tanpa setem, bagaimanapun, setem pos diperlukan sekiranya melebihi 100 gram.

Menurut Abdul Malek, Pos Malaysia akan menarik balik penjualan sampul surat berdaftar sedia ada tetapi bagi mereka yang sudahpun membelinya masih boleh menggunakannya sehingga 30 April ini.

Pos Malaysia, tambahnya, tidak akan membekalkan lagi label nombor berdaftar kepada pelanggan-pelanggan yang biasa membuat pengeposan secara pukal.

``Mereka perlulah membeli label-label kod bar posdaftar atau sampul khas posdaftar sebelum membuat pengeposan di kaunter,'' ulas Abdul Malek.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi