Make your own free website on Tripod.com

SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 03 April 2001

Perpustakaan digital Islam beroperasi Mei

KUALA LUMPUR 2 April - Perpustakaan digital Islam yang pertama di dunia akan memulakan operasinya awal Mei ini sebagai tempat rujukan utama terhadap segala permasalahan mengenai Islam melalui kemudahan teknologi maklumat.

Sebanyak 70 juta bahan rujukan termasuk lebih daripada 62,000 hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi besar dimuatkan dalam perpustakaan itu.

Selain itu 750,000 analisis mengenai hukum-hakam dalam Islam menurut perspektif Imam Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali turut disediakan.

Pengarah Ashtech Holdings Sdn. Bhd. Ahmad Shaharuddin Abdul Latiff berkata, perpustakaan digital Islam itu dibangunkan dengan kerjasama antara pihaknya dengan Harf Information Technology Co. yang berpengkalan di Mesir.

Buat permulaan, katanya, sebanyak 70 juta bahan rujukan Islam dalam pelbagai bidang boleh didapati dalam perpustakaan itu.

``Kewujudan perpustakaan ini akan membuka lembaran baru dalam usaha masyarakat Islam mendapatkan maklumat mengenai Islam dengan lebih terperinci dan bersistematik.

``Perpustakaan digital ini membuktikan kita boleh memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat bagi faedah masyarakat Islam,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan syarikat Harf di sini, hari ini.

Majlis MoU itu telah disaksikan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdul Hamid Othman.

Mengulas lanjut, Ahmad Shaharuddin berkata, pemilihan syarikat Harf sebagai rakan kongsi disebabkan syarikat tersebut mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyediaan bahan-bahan Islam secara digital.

Katanya, antara bahan rujukan yang akan dimasukkan ke dalam perpustakaan itu termasuk tafsiran al-Quran, tafsiran al-Hadis, hukum hakam, fatwa-fatwa, sejarah Islam dan cerita-cerita Islam untuk kanak-kanak.

Selain daripada Harf, beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bahan-bahan rujukan daripada badan-badan Islam yang ada di negara ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi-institusi pengajian tinggi.

``Sebanyak RM3 juta akan digunakan untuk mewujudkan perpustakaan ini. Namun begitu, kita belum mengenal pasti tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat perpustakaan ini.

``Bagaimanapun kita tetap akan memulakan operasi bulan depan dan alamat untuk melayari laman web perpustakaan ini akan diberitahu kemudian. Mereka yang menggunakan perkhidmatan kami akan dikenakan caj perkhidmatan yang berpatutan,'' katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar syarikat Harf, Dr. Fahd A. Al-Tuwaijiry menyifatkan kewujudan perpustakaan itu sebagai usaha memartabatkan ilmu Islam sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat.

Katanya, Harf akan berusaha menyediakan pelbagai bahan rujukan berdasarkan sumber-sumber ilmu Islam yang asli.

``Sebanyak 70 juta bahan rujukan termasuk lebih daripada 62,000 hadis, 750,000 analisis mengenai hukum-hakam Islam boleh didapati dalam perpustakaan digital ini,'' katanya lagi.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi