SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 06 April 2001

JPJ perkenal sistem pendaftaran talian

KUALA PILAH 5 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan sistem pendaftaran secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai mendaftarkan diri tanpa perlu ke sekolah atau institut memandu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Shahar Sidek memberitahu sistem berkomputer itu sedang diusahakan dan akan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

``Melalui sistem itu nanti, orang ramai yang ingin belajar dan mendapatkan lesen memandu boleh mendaftarkan diri secara dalam talian di laman web JPJ tanpa perlu ke sekolah memandu untuk menguruskannya,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Cawangan Kecil JPJ Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Dr. Mohd. Shahar menambah, sebuah syarikat swasta akan dilantik untuk mengendalikan ujian bertulis secara talian terus dengan JPJ di mana-mana tempat yang diluluskan seperti di pusat membeli-belah.

``Selepas menduduki ceramah selama lima jam di institut-institut memandu, mereka boleh menduduki ujian bertulis secara On-line yang akan dilaksanakan pada tahun ini,'' ujarnya.

Bagaimanapun, pada peringkat permulaan pelancaran sistem itu, katanya, sebanyak 16 institut memandu di Selangor dan Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan ujian bertulis ini secara terus dengan JPJ.

Dr. Mohd. Shahar menambah, bilangan mereka yang boleh menduduki peperiksaan bertulis ini tidak ada had jika institut memandu itu dapat menyediakan lebih banyak kemudahan komputer.

``Mereka akan tahu keputusan ujian bertulis melalui sistem yang ada dan mereka yang gagal boleh mengambilnya semula pada hari yang sama dengan syarat membayar yuran kepada syarikat yang dilantik itu,'' jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya juga bercadang untuk membeli `simulator' untuk ujian memandu bagi kenderaan kereta dan motosikal pada masa depan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi