SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 06 April 2001

Laman web kerajaan diceroboh 89 kali

PTRAJAYA 5 April - Sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan termasuk laman web telah dicerobohi sebanyak 89 kali antara 1 Februari 1999 dan 3 April lepas, 60 daripadanya membabitkan institusi awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman.

Antara yang terlibat ialah Kementerian Luar, Perbendaharaan, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Laut, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penerbangan Malaysia.

Samsudin berkata, beberapa institusi yang sama telah dicerobohi berulang kali dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada institusi berkenaan menyedari bahawa sistem ICT mereka telah dicerobohi.

Semasa berucap merasmikan Seminar Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sektor Awam di sini, beliau berkata, sebenarnya, masih banyak ancaman keselamatan yang sedang dihadapi seperti maklumat dihilangkan, disabotaj, gangguan data dan vandalisme web.

"Pada pandangan saya, ini adalah akibat daripada kelalaian dan kelemahan dalam usaha mencegah kejadian seumpama itu daripada berlaku," katanya.

Kerajaan telah menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan komputer kerajaan di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk memberi khidmat bantuan berhubung sebarang situasi yang menjejaskan keselamatan ICT di sektor awam.

Pada majlis itu, beliau melancarkan pekeliling baru mengenai "Mekanisme Pelaporan Insiden Keselamatan ICT" bagi memaklumkan agensi sektor awam mengenai langkah-langkah yang perlu diambil apabila wujud situasi sedemikian.

Semasa bercakap kepada pemberita kemudian, Samsudin meminta semua agensi dan jabatan kerajaan menjalankan penilaian terhadap tahap keselamatan aset dan infrastruktur ICT mereka bagi mengelak kejadian pencerobohan sistem termasuk yang mengandungi data-data sensitif.

Katanya, menjadi tanggungjawab Ketua Pegawai Maklumat dan Pegawai Keselamatan ICT yang berkenaan untuk mengukur kekuatan dan kelemahan sistem masing-masing supaya apa-apa tindakan membaik pulih boleh dilakukan.

"Apa yang penting ialah rahsia dan integriti data-data yang terkandung dalam rangkaian komputer itu sentiasa terjaga bagi memastikan urusan perkhidmatan awam terus utuh dan diyakini," katanya.

Seminar dua hari anjuran MAMPU dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) itu dihadiri 300 peserta. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi