SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 07 April 2001

42,000 unit Proton Perdana ditarik balik

KUALA LUMPUR 6 April - Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton) menarik balik kesemua 42,000 unit model Proton Perdananya kerana disyaki mempunyai alat yang rosak.

Penarikan itu membabitkan Proton Perdana yang dijual sehingga Mac lalu.

Langkah itu diambil berikutan Mitsubishi Motors Corporation of Japan (Mitsubishi) menarik balik kereta-kereta model yang sama dengan Perdana.

Mitsubishi merupakan rakan sekutu strategik Proton sejak 16 tahun lalu bagi pembuatan kereta nasional.

Langkah ini merupakan susulan kepada penarikan yang pernah dibuat pada September 2000 apabila para pemilik Proton Perdana keluaran tahun 1995 diminta membawa kereta masing-masing untuk pemeriksaan.

Proton dalam kenyataannya berkata, ia membabitkan satu komponen pemasangan bahagian bawah sisian di mana penyerapan air berlumpur boleh mengakibatkan karat dan menyebabkan tempoh pemakaian bebola dipercepatkan.

Apabila ini terjadi, penyambungan bebola akan mengeluarkan bunyi bising seterusnya menjejaskan pengendalian di dalam situasi tertentu.

``Dalam keadaan yang lebih teruk tetapi jarang berlaku, penyambungan bebola itu mungkin akan tertanggal dan mengakibatkan kenderaan hilang kawalan,'' kata kenyataan itu.

Proton berkata, pihaknya komited bagi memastikan tahap keselamatan Proton Perdana dan para pelanggan diberikan jaminan bahawa semua langkah perlu akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Proton, bersama Edaran Otomobil Nasional Malaysia (EON), pengedar kereta nasional, berkata semua pemilik Proton Perdana perlu membawa kenderaan mereka ke pusat servis EON yang berdekatan bagi tujuan pemeriksaan mulai esok.

Pemeriksaan itu bertujuan memastikan keutuhan komponen-komponen berkenaan yang mana, jika kerosakan dikesan, ia akan digantikan dengan yang baru secara percuma.

Sementara itu, seorang sumber industri memberitahu Utusan, masalah itu tidak akan menjejaskan pengeluaran unit-unit yang baru model itu kerana Proton akan menggunakan bahagian-bahagian baru.

Menurutnya, penarikan itu dilakukan serta-merta sebaik sahaja Mitsubishi melakukan sedemikian pada kira-kira awal minggu ini bagi mana-mana kenderaan yang menggunakan bahagian yang sama digunakan Proton Perdana.

Katanya, tidak kesemua daripada 42,000 unit yang dipanggil balik itu akan mempunyai masalah tersebut tetapi pemeriksaan yang terbuka tanpa had masa itu amat dialu-alukan bagi tujuan keselamatan.

Langkah susulan ini juga, katanya, tidak terhad kepada mana-mana peringkat keluaran seperti yang dilakukan pertama kali dulu (Proton Perdana pengeluaran tahun 1995).

``Penarikan kali ini membabitkan kesemua model Proton Perdana yang ada,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi