SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 08 April 2001

Tingkat langkah banteras pencerobohan ICT - TPM

KUALA LUMPUR 7 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu langkah segera diambil terhadap pencerobohan yang berlaku ke atas sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta lawan web institusi awam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah-langkah tertentu perlu diambil termasuk meningkatkan pemantauan bagi membanteras gejala yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa keselamatan Internet yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menjalankan pengawasan terhadap pencerobohan sistem ICT dan laman web.

``Apa yang berlaku kita rasa tidak senang hati. Jawatankuasa itu sedang meneliti perkara ini dan kalau hendak tubuh pasukan penyiasat lain kita tidak ada halang, cuma mesti dipastikan keberkesanannya,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Belia 2001 di sini, hari ini.

Pada 5 April lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman mendedahkan, Sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan termasuk laman web telah dicerobohi sebanyak 89 kali antara 1 Februari 1999 dan 3 April lepas, 60 daripadanya membabitkan institusi awam.

Menurutnya, antara yang terlibat ialah Kementerian Luar, Perbendaharaan, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Laut dan Penerbangan Malaysia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi