SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 08 April 2001

Su-35UB pesawat digeruni musuh

Keupayaan dan kelengkapan pertahanan yang kredibel ibarat `insurans paling komprehensif' untuk keselamatan rakyat dan kedaulatan sesebuah negara.

Ia sudah tentu menjadi idaman setiap negara termasuk Malaysia, yang kian menyerlah kewibawaannya di arena antarabangsa dan pada masa yang sama dicemburui oleh sesetengah negara.

Selain rekod pencapaian ekonomi dan kestabilan politik yang baik, Malaysia nampaknya memulakan alaf baru dengan persiapan pertahanan yang realistik biarpun negara ini bukan berorientasikan ketenteraan.

Buat pertama kalinya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyaksikan peningkatan seimbang dalam ketiga-tiga perkhidmatannya iaitu darat, laut dan udara sesuai dengan konsep peperangan konvensional.

Perkembangan inilah yang kian ketara dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari sebuah pasukan penyokong kepada misi-misi tentera darat suatu masa dahulu, beralih kepada pasukan pendahulu dalam menghadapi ancaman.

Manakan tidak, keupayaan tempur TUDM menyaksikan peningkatan ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan gabungan tiga teknologi Amerika Syarikat (AS) - Rusia - Britain.

Menerusi pemilikan pesawat pejuang F-5E (AS), Hawk (Britain), MiG 29N (Rusia) dan pesawat tempur pelbagai guna F-18D Hornet (AS) sebelum tahun 2000, ia hampir melengkapkan TUDM dengan kuasa tempur udara yang diperlukan untuk pertahanan negara. Bagaimanapun TUDM masih memerlukan lagi pesawat pejuang pelbagai fungsi atau Multi Role Combat Aircraft (MRCA) sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ahmad Saruji Che Rose, baru-baru ini.

Penggunaan MRCA dalam saiz lebih besar akan menjadikan TUDM sebagai angkatan udara lebih kredibel- isu yang menimbulkan persoalan besar sejak lebih sedekad lalu kerana negara dikatakan ketinggalan terutama berbanding dengan sebuah negara jiran dalam konteks keseimbangan kuasa serantau. Sedangkan pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, Malaysia mendahului negara serantau dalam kelengkapan dan persenjataan tentera.

Maka langkah kerajaan menimbang untuk membeli pesawat buatan Rusia, Sukhoi merupakan perkembangan menarik dalam membina pakej kekuatan udara terbaik untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 tahun akan datang. Tempoh itu juga kebetulan merupakan sasaran bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menerusi Wawasan 2020, iaitu antara matlamat strategi agung (grand strategy) negara dalam konteks persaingan antarabangsa.

Antara versi pesawat Sukhoi yang menjadi perhatian Malaysia sekarang ialah Su-35UB (dua tempat duduk) kerana menawarkan beberapa kelebihan dari segi keupayaan persenjataan, kuasa enjin, daya tembak, jangkauan radar, jangkauan penerbangan serta operasi yang lebih meluas.

Kelahiran Su-35UB agak baru iaitu susulan kepada versi asal Su-35 yang dihasilkan pada 1996. Rusia sendiri baru menggunakan perkhidmatan 15 buah Su-35UB. Difahamkan, sejak pesawat tersebut diluluskan oleh kerajaan Rusia untuk pasaran antarabangsa, ia menjadi perhatian banyak negara.

Korea Selatan dikatakan sedang mengadakan rundingan membeli 50 pesawat S-35UB manakala Brazil menimbang untuk membeli sekitar 60-80 pesawat itu, yang diperakukan sebagai antara MRCA tercanggih di dunia.

Dalam usaha ATM melonjakkan pencapaian Revolusi Hal Ehwal Ketenteraan (RMA) yang menjadi teras ketenteraan alaf baru, Malaysia tidak harus melepaskan kesempatan untuk menggunakan pesawat Su-35UB.

Versi dua tempat duduk itu menjadi pilihan kerana ia lebih relevan kepada keperluan pertahanan udara antaranya bagi pengendalian teknologi khususnya persenjataan lebih canggih, potensi lebih besar menjayakan misi dan tahap survival lebih tinggi sebagaimana dalam misi-misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Balkan dan Iraq.

Para pemerhati menyifatkan pembelian Sukhoi apatah lagi Su-35UB sebagai `pesawat menang membeli, menang memakai' berdasarkan harga lebih murah tetapi keupayaan dari segi avionik, persenjataan dan operasi yang sekurang-kurangnya sama dengan pesawat blok Barat dalam kelas setara.

Keupayaan Su-35UB adalah setanding dengan McDonnel Douglas F-15 iaitu pesawat dalam kategori generasi kelima dan ia lebih baik berbanding pesawat F-16 (yang dimiliki oleh Singapura, Thailand dan Indonesia) dan MiG-29N (Malaysia).

Dengan kata lain, Su-35UB menjadi pesawat strategik yang sangat digeruni dengan keupayaan terbaik melancarkan serangan udara ke udara; udara-bumi dan udara-maritim.

Pesawat tersebut juga mempunyai radar multi-mode tercanggih untuk mengesan sasaran dari jarak jauh (maksimum 362 kilometer) sama ada udara - udara; udara - bumi dan udara - maritim. Malah Su-35 adalah satu-satunya pesawat pejuang yang mempunyai radar rearward looking di bahagian belakang pesawat, selain radar di depan, tidak seperti pesawat-pesawat lain yang hanya memiliki radar di depan pesawat.

Pesawat tersebut boleh terbang pada jarak sejauh sehingga 3,400 kilometer dan lebih jauh iaitu sekitar 6,300km dengan mengisi minyak di udara. Kemudahan teknologi mengisi minyak di udara itu membolehkan operasinya berterusan enam hingga lapan jam. Su-35UB turut berkebolehan mempertahankan diri dalam suasana peperangan elektronik (ECM).

Banyak lagi ciri menarik pesawat tersebut antaranya keupayaan melakukan serangan awal terhadap sebarang ancaman udara termasuk pesawat yang cuba menyelinap masuk; penjejakan serentak pelbagai sasaran di kedua-dua hemisfera depan dan belakang serta menentang usaha-usaha ECM musuh.

Penggunaan pesawat berkeupayaan tinggi seperti Sukhoi merupakan jalan keluar kepada perancangan pertahanan negara dalam mendepani tuntutan strategik lebih-lebih lagi Malaysia merupakan sebuah negara maritim.

Kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah laluan Laut China Selatan dan Lautan Hindi menjadikan Malaysia terdedah kepada ancaman pelbagai penjuru. Selain itu, kedudukan geografi Malaysia yang terbahagi antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak dan pengawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) termasuk beberapa terumbu di gugusan Kepulauan Spratly (tuntutan bertindih dengan beberapa negara lain), menuntut perancangan pertahanan negara yang unik dan terbaik.

Dalam hubungan ini, penggunaan Su-35UB dapat meningkatkan kemampuan TUDM dalam melengkapi ketiga-tiga konsep pertahanan iaitu cegah rintang (deterrence), pertahanan hadapan (forward defence) dan pertahanan menyeluruh (total defence).

Misalnya, dengan keupayaan operasi terbang yang mencakupi kawasan yang begitu luas meliputi EEZ, Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan daya cegah rintang bahkan dalam percaturan keselamatan jika tercetus krisis termasuk bagi tujuan tindak balas segera terhadap `sumber' serangan.

Persoalan tentu timbul mengapa Malaysia sekali lagi selepas pembelian MiG29N perlu membeli pesawat Rusia. Selain soal teknologi yang sama canggih, harga yang lebih rendah, kepelbagaian teknologi dalam percaturan pertahanan negara, faktor yang tidak kurang penting ialah sistem persenjataan. Pembelian pesawat Rusia membolehkan mana-mana negara pembeli bebas untuk memiliki apa sahaja sistem persenjataan termasuk peluru berpandu yang dikehendaki berbanding pesawat AS misalnya yang banyak halangan dan peraturan. Selain kecanggihan pesawat, sepertimana yang diketahui, sistem persenjataan pada pesawat merupakan faktor penentu kepada kehebatan sesuatu misi tentera udara dan inilah pertimbangan penting yang perlu diambil.

Pembelian MiG-29N juga membuktikan bahawa tidak timbul soal masalah teknikal dan bahasa seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini, di samping pesawat itu sendiri begitu berkeupayaan. Maka Su-35UB adalah pilihan yang menampilkan pakej terbaik kepada pertahanan negara termasuk program pemindahan teknologi yang ditawarkan oleh firma pengeluarnya.

Pertahanan negara akan berada dalam dimensi yang lain selepas penggunaan Su-35UB sambil menjayakan teori Gullion Douhet bahawa air superiority adalah kuasa dominan kepada pertahanan dan kedaulatan negara.

Ia juga sedikit sebanyak akan menyemarakkan elemen `pertahanan psikologi' melibatkan keyakinan rakyat termasuk tentera di samping melonjakkan konsep cegah rintang supaya negara tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak luar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi