SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 08 April 2001

NSA penentu masa depan negara dalam bidang angkasa

PADA akhir bulan Mac 2001 yang lepas, Datuk Law Hieng Ding, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia telah mengumumkan penubuhan sebuah agensi kerajaan yang dikenali sebagai Agensi Angkasa Negara atau NSA (National Space Agency). Agensi ini yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dilihat sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap masa hadapan Malaysia dalam bidang angkasa.

Organisasi rasmi pihak kerajaan Malaysia yang selama ini bertanggungjawab terhadap hal ehwal angkasa adalah Baksa (Bahagian Kajian Sains Angkasa) yang kini telah mencapai umur hampir 10 tahun. Dalam tempoh sedekad ini Baksa telah memainkan peranan yang begitu luas mencakupi pendidikan sains angkasa melalui operasi Planetarium Negara hinggalah kepada menyediakan draf dasar angkasa negara.

Baksa sebenarnya bermula sebagai sebuah bahagian di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri yang dikenali sebagai bahagian Planetarium. Bahagian ini pada mulanya beroperasi sebagai agensi kerajaan yang menguruskan projek Planetarium Negara.

Setelah Planetarium Negara berjaya dibina dan mula beroperasi pada tahun 1993, bahagian Planetarium ditukarkan namanya kepada Baksa dan dipindahkan pentadbirannya ke bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam sekitar, bersesuaian dengan fungsinya sebagai agensi kerajaan yang menguruskan operasi Planetarium Negara.

Baksa mula menceburi bidang angkasa di peringkat antarabangsa apabila berjaya mengendalikan program mikrosatelit melalui syarikatnya, ATSB (Astronautics Technology Sdn. Bhd.) Kejayaan ini memperlihatkan Baksa sebagai sebuah agensi yang berkemampuan untuk pergi lebih jauh dan meneroka dengan lebih luas bidang angkasa di peringkat antarabangsa.

Penubuhan NSA sebenarnya lebih merupakan evolusi yang dialami oleh Baksa bersesuaian dengan keperluan negara dan perkembangan bidang kajian angkasa yang merangkumi sains, teknologi dan ekonomi angkasa. Dengan wujudnya NSA, adalah menjadi harapan kerajaan Malaysia akan lebih sensitif dan pantas bertindak terhadap perkembangan terkini dalan bidang kajian angkasa.

NSA patut mencontohi beberapa agensi angkasa negara maju seperti Agensi Angkasa Amerika Syarikat NASA (National Air & Space Administration), Agensi Angkasa Jepun NASDA (National Space Development Agency) dan Agensi Angkasa Eropah ESA (European Space Agency). Antara cara terbaik bagi mendekati dan memahami agensi-agensi angkasa ini adalah dengan menyertai program-program mereka.

NASA, NASDA dan ESA memang mempunyai beberapa program yang mungkin sesuai disertai oleh NSA seperti program penerokaan planet Marikh, program penyelidikan aplikasi teknologi angkasa dan program stesen angkasa antarabangsa atau ISS (International Space Station).

Buat permulaan penyertaan NSA dalam program ini mungkin lebih sesuai sekadar pendedahan melalui pembabitan penyelidikan asas, seperti penyelidikan kenderaan rover planet Marikh dan penyelidikan kesan mikrograviti.

Suatu perkara yang tidak patut dilupakan adalah penyertaan dalam program latihan angkasawan. Mungkin telah sampai masanya bagi NSA menyediakan calon-calon angkasawan Malaysia yang boleh dihantar bagi menyertai latihan angkasawan kendalian NASA, NASDA atau ESA. Sebahagian daripada latihan angkasawan ini juga boleh dilaksanakan di dalam negara untuk tujuan penjimatan dan menyesuaikan dengan keperluan negara.

Pemilihan angkasawan perlulah diberi perhatian yang serius dan dijalankan dengan berhati-hati, kerana kumpulan angkasawan pertama bagi sesebuah negara mempunyai pengaruh yang besar ke atas sosial, politik dan psikologi masyarakat. Tambahan pula kos latihan angkasawan yang sebenar memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan masa yang lama.

Dalam pengumumannya, Law juga menegaskan bahawa bidang yang akan diberi tumpuan oleh NASA adalah aplikasi angkasa dan infrastruktur angkasa. Kedua-dua bidang ini memang patut diberi perhatian kerana Malaysia telahpun mempunyai prasyarat bagi menceburi kedua-dua bidang ini dengan bersungguh-sungguh.

Aplikasi angkasa yang mungkin sesuai untuk Malaysia adalah aplikasi satelit canggih (advanced satelite application). Seperti yang sedia maklum, Malaysia telahpun mempunyai dua buah satelit komunikasi (MEASAT 1 & MEASAT 2) dan sebuah mikrosatelit (Tiungsat-1). Faktor geografi, politik dan ekonomi Malaysia pula memerlukan penggunaan lebih banyak satelit canggih.

Disebabkan keadaan geografi Malaysia yang dikelilingi lautan, adalah amat bijak sekiranya satelit digunakan untuk mengawal sempadan, memerhati perdagangan, memeta sumber asli (natural resources) dan mengkaji persekitaran lautan (marine environment research). Faktor politik dan ekonomi Malaysia pula membolehkan Malaysia mengendalikan satelit serantau (regional satellite) untuk negara-negara ASEAN, negara-negara membangun dan negara-negara Islam.

Di segi infrastruktur angkasa pula, NSA mungkin patut mengkaji kemungkinan atau kesesuaian membina dan menjalankan operasi tapak pelancaran kenderaan pelancar (launch vehicle) yang juga dikenali sebagai kosmodrom ataupun spaceport. Antara faktor utama yang membolehkan Malaysia mempunyai kosmodrom atau spaceport adalah kedudukan Malaysia berhampiran garisan Khatulistiwa yang merupakan lokasi paling ekonomik bagi melancarkan kenderaan pelancar angkasa.

Adalah tidak keterlaluan juga sekiranya NSA mengkaji kesesuaian KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) untuk dinaikkan tarafnya sebagai Lapangan Angkasa Antarabangsa (International Spaceport) pada suatu masa kelak. Perlulah diberi perhatian bahawa adalah menjadi harapan kerajaan dan rakyat Malaysia KLIA dapat beroperasi sehingga sekurang-kurangnya ke tahun 2020.

Menjelang tahun 2020 adalah tidak mustahil kenderaan pelancar satu-peringkat-ke orbit atau SSTO (single-single-to orbit) mula beroperasi membawa manusia dan muatan lain ke angkasa berlepas dan mendarat di lapangan terbang yang diubah suai menjadi lapangan angkasa. Pada ketika ini, KLIA mungkin sesuai berfungsi sebagai KLIS (Kuala Lumpur International Spaceport).

Suatu perkara yang menarik dan penting untuk diberi perhatian oleh NSA adalah fakta bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang paling maju di segi pengurusan ekonomi dan teknologi. Oleh itu, NSA berkemampuan untuk menerajui negara-negara Islam dalam bidang kajian angkasa.

Dengan ini NSA berpeluang bertindak menguruskan projek angkasa untuk negara-negara Islam. Sehubungan dengan itu juga NSA berpeluang merencanakan programnya yang boleh menyumbang kepada negara-negara Islam sejagat dan dibiayai oleh negara-negara Islam pengeluar petroleum yang kaya.

Mungkin persidangan OIC (Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam) 2003 yang akan diadakan di Kuala Lumpur boleh bertindak sebagai platform bagi NSA mengemukakan cadangan-cadangan program angkasanya yang boleh menarik pelaburan kewangan negara-negara Islam pengeksport petroleum yang kaya.

Sesungguhnya pelaburan dari negara-negara Islam yang kaya ini adalah penting kerana program-program angkasa sememangnya menelan perbelanjaan yang besar. Tambahan pula negara-negara ini mempunyai potensi sebagai pelanggan program angkasa NSA.

Di samping pembangunan high-end seperti aplikasi satelit canggih dan spaceport, pembangunan low-end ataupun usaha menarikkan taraf kemudahan sedia ada hendaklah diberikan perhatian. Planetarium Negara yang telah banyak menyumbang kepada pendidikan umum sains angkasa di Malaysia perlulah dibangunkan dan dipermodenkan.

Pihak pentadbiran Planetarium Negara mungkin patut memberi perhatian kepada sistem planetarium digital yang kini telahpun dipasang di beberapa planetarium yang terkemuka di dunia. Setidak-tidaknya pihak Planetarium Negara menyokong usaha kerajaan-kerajaan negeri untuk membina dan menjalankan operasi planetarium digital di negeri masing-masing. Operasi planetarium ini merupakan perkara paling asas bagi menyediakan masyarakat yang ``mesra angkasa'' dan sumber tenaga kerja profesional dalam bidang kajian angkasa.

Peranan planetarium digital boleh pergi lebih jauh berfungsi sebagai pusat pendidikan kajiaan angkasa untuk masyarakat umum dan golongan profesional. Di negara-negara maju misalnya, planetarium digital beroperasi di setiap bandar utama, institusi pengajian tinggi, pusat latihan tentera dan sebagainya, kerana planetarium digital adalah sistem ICT yang amat menarik, menghiburkan dan ``mesra-pengguna.''

Walau apapun, ucapan tahniah perlulah diberikan kepada Baksa yang selama ini telah berjaya mengendalikan operasi Planetarium Negara dan juga kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai wawasan untuk membangunkan kemudahan planetarium digital di negeri masing-masing.

NSA mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar terhadap masa hadapan Malaysia dalam bidang angkasa. Angkasa adalah sumber kekuasaan ekonomi dan politik pada masa hadapan. Malah pada hari inipun telah jelas akan kekuasaan ekonomi dan politik negara-negara yang menguasai dan memonopoli teknologi angkasa.

Pelantikan Dr. Mahathir sebagai pengerusi NSA amat tepat kerana beliau mempunyai pandangan dan wawasan yang jauh terhadap perkembangan ekonomi, politik dan teknologi masa hadapan. Rakyat Malaysia berharap NSA dapat merealisasikan impian negara untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi angkasa serantau (regional space economic power) pada masa hadapan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi