SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 09 April 2001

Industri angkasa Malaysia bakal lahirkan pakar satelit

MUKADIMAH
MALAYSIA sedang bertatih menjadi sebuah negara pembuatan satelit. Kepakaran di bidang itu sedang dirintis.

Pengarah Urusan Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. (ATSB), Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kita pasti akan seiring dengan negara-negara itu. Ikuti temu bual wartawan Pendidikan, MARZITA ABDULLAH mengenai usaha-usaha yang sedang dilakukan untuk memajukan industri angkasa di negara ini.

UTUSAN:Di manakah kedudukan industri angkasa di Malaysia, kini?M

DR. SABIRIN: Pada masa ini industri angkasa yang sebenarnya belum wujud.

Yang ada hanyalah industri yang boleh membantu menyokong industri angkasa.

Kerajaan mewujudkan projek mikro satelit TiungSat-1 sebagai salah satu daripada pemangkin kepada penubuhan industri angkasa.

Apa yang kita ada sekarang ialah kemudahan dari segi pembuatan, pengujian komponen bagi satelit, kepakaran dari segi elektro mekanikal, kepakaran industri yang ada dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan komputer yang dapat menyokong industri angkasa.

Industri angkasa di negara kita masih di peringkat permulaan.

UTUSAN: Sejauh mana pencapaian teknologi pembuatan satelit di Malaysia?

DR. SABIRIN: Kita kini dalam peringkat menguasai teknologi reka bentuk dan sebagai peringkat permulaan kita juga memulakan aspek pengintegrasian komponen-komponen pada satelit dan reka bentuk beberapa subsistem satelit.

Bila sudah kuasai teknologi reka bentuk, kita berhajat untuk menjadi sebuah organisasi yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk satelit.

Pada masa ini, kita masih perlukan rakan kongsi teknologi dari luar tetapi kita berharap dalam masa lima tahun yang akan datang kita dapat menguasai teknologi ini.

Sekarang kita berguru supaya kita tidak akan mengulangi kesilapan yang telah mereka (negara-negara maju) lakukan dan menimba pengalaman mereka.

Kita ada beberapa pakar tempatan dalam bidang ini yang sedang berkhidmat di luar negara. Tetapi sekarang kita memfokuskan kepada pembangunan kapasiti khususnya kepada tenaga muda yang akan meneruskan usaha-usaha ini pada masa hadapan.

UTUSAN: Apakah kepakaran tertentu yang diperlukan untuk memajukan industri angkasa ini?

DR. SABIRIN: Dari segi latar belakang kepakaran, teknologi ini mempunyai gabungan yang luas dan tidak dimiliki oleh satu kelompok disiplin.

Seseorang yang ingin berkecimpung dalam industri angkasa terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang kejuruteraan mekanikal, elektronik, fizik, geografi, pemerhatian bumi, sains, matematik dan lain-lain. Skop disiplinnya amat luas.

Industri ini dikongsi bersama oleh pelbagai pakar daripada pelbagai disiplin. Di Malaysia apa yang kita buat sekarang adalah dari segi kesedaran mengenai sains dan teknologi. Sebagai contohnya, pelajar sekolah dan prasekolah kini sudah tahu apa itu satelit malahan dapat menghubung kaitkan teknologi ini dalam kehidupan harian jika dibandingkan 20 tahun lalu.

UTUSAN: Adakah ATSB mempunyai cukup kemampuan untuk menguasai industri angkasa?

DR. SABIRIN: ATSB ditubuhkan untuk melaksanakan projek mikro satelit TiungSat-1. Kita juga melihat fungsi ATSB sebagai pemangkin kepada industri yang akan diwujudkan. Kita tidak berhasrat untuk melakukan segala-galanya sendiri (monopoli) malahan melihat kepada aspek kerjasama dengan agensi yang sedia ada untuk meningkatkan kepakaran tempatan.

Kita juga cuba untuk mendapatkan syarikat-syarikat yang ada di negara ini bagi meningkatkan peralatan dan kemahiran untuk membekalkan produk kejuruteraan kepada ATSB dan negara luar.

Kita mahu menambahkan pakar dalam pelbagai sistem untuk penggunaan satelit seperti komunikasi, kawalan, komputer dan banyak aspek yang boleh dikembangkan.

Kita sudah ada kepakaran asas tetapi sekarang kita hendak meningkatkan kepakaran tersebut khusus kepada pembinaan satelit.

Pada masa ini, syarikat tempatan yang terlibat untuk menyokong aktiviti TiungSat-1 bukan dari industri angkasa tetapi industri sokongan yang lain seperti elektronik dan mekanikal.

Dalam hal ini kita akan menggunakan keupayaan industri tempatan dan menambahkan keupayaan untuk menampung aktiviti berkaitan angkasa selain daripada aktiviti khusus syarikat-syarikat yang terbabit.

Ini semua bertujuan untuk membantu pertumbuhan industri itu supaya banyak yang dapat keuntungan tetapi jika kita tidak dapat membantu pertumbuhan industri bermakna kita telah gagal dalam usaha membangunkan industri angkasa.

UTUSAN: Sejauh mana penglibatan syarikat bumiputera dalam industri ini.

DR. SABIRIN: Syarikat bumiputera yang terlibat dalam industri itu buat masa ini masih kurang. Hanya 20 peratus sahaja yang terlibat. Kebanyakan mereka terlibat dalam bidang pemprosesan data tetapi dari segi pembuatan masih lagi dikuasai bukan bumiputera.

Saya fikir skim vendor yang diamalkan untuk program yang lain seperti Proton dapat digunakan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam industri ini.

UTUSAN: Bolehkan sesebuah syarikat melaksanakan sendiri pelancaran satelit tanpa bantuan daripada kerajaan.

DR. SABIRIN: Kos untuk melancarkan satelit sangat tinggi. Kita perlu bantuan kerajaan kerana kebanyakan negara yang memulakan industri angkasa memerlukan suntikan dana daripada kerajaan. Walaupun begitu, kita berharap untuk menjana sumber kewangan pada masa akan datang untuk meneruskan aktiviti kita.

UTUSAN: Kita sudah ada satelit sendiri dan industrinya, jadi apakah pentingnya industri ini kepada pembangunan negara.

DR. SABIRIN: Industri angkasa dapat dimanfaatkan untuk menyokong pelbagai program seperti Koridor Raya Multimedia (MSC), sekolah bestari, teleperubatan, sistem telekomunikasi, pertahanan negara (tentera) dan meningkatkan taraf sosio ekonomi.

Kita juga memerlukan satelit sendiri supaya dapat mengurangkan pergantungan kepada negara lain. Jika kita gunakan satelit asing ia tidak dapat memenuhi keperluan kita secara berterusan dan kemungkinan tidak sesuai untuk tujuan strategik.

Kalau kita ada satelit sendiri kita boleh kawal sendiri dan dapat menentukan bila dan data apakah yang diperlukan. Kebanyakan negara-negara yang sedang membangun menggunakan khidmat orang lain kerana tidak mampu dari segi kewangan dan mereka sanggup menunggu sehingga beberapa bulan untuk menerima data yang diinginkan.

Negara-negara maju yang mempunyai keupayaan sendiri tidak bergantung kepada sumber luar kerana kesannya amatlah besar.

UTUSAN: Jika kita boleh maju dalam pembuatan satelit adakah kita juga mampu menguasai teknologi roket.

DR. SABIRIN: Teknologi roket adalah satu teknologi yang lain daripada satelit dan pada masa ini kita masih memerlukan beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

Secara umumnya kedudukan negara di khatulistiwa memang baik untuk pelancaran kerana dapat menjimatkan minyak bagi roket tetapi kedudukannya kini tidak lagi menjadi satu kelebihan kerana perkembangan teknologi roket yang begitu pantas. Ini kerana bagi negara-negara maju mereka boleh membawa satelit untuk dilancarkan ke perairan berdekatan garisan Khatulistiwa untuk pelancaran roket. Ini telah pun dilakukan oleh `SeaLaunch'.

Banyak faktor yang harus diambil kira dan satu kajian terperinci mesti dilakukan untuk menggunakan Malaysia sebagai tapak pelancaran.

UTUSAN: Bagaimana minat pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang angkasa.

DR. SABIRIN: Mereka memang berminat dalam pengajian berkaitan teknologi angkasa tetapi mereka berasa `takut' untuk mencuba sesuatu yang baru kerana tidak yakin yang ia dapat dilakukan dengan baik. Mereka lebih selesa mengambil jurusan-jurusan tradisional yang skop pekerjaan yang ada adalah lebih luas.

Walaupun begitu, sikap negatif ini tidak saja dimiliki oleh pelajar Melayu bahkan juga ada pada pelajar bukan Melayu. Mereka masih lagi menganggap teknologi ini sebagai milik `orang putih' dan tidak percaya yang orang Malaysia mampu untuk melakukannya.

Selagi kita tidak dapat menghakis sikap negatif pada diri, kita akan menjadi `pengikut' kepada teknologi sahaja dan bukan sebagai `ketua'.

Kita perlu berani untuk meneroka dan menguasai ilmu yang baru untuk menjadi satu bangsa yang berjaya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi