SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 10 April 2001

Doktor Malaysia cipta bahan penampal gigi bebas raksa

KUALA LUMPUR 9 April - Kehadiran raksa bebas pada bahan yang digunakan untuk menampal lubang pada gigi yang selama ini membimbangkan pakar-pakar kesihatan kini suatu yang silam, terima kasih kepada bahan baru yang dicipta oleh seorang doktor gigi Malaysia.

Bahan inovatif itu yang dikenali sebagai Silverfil ialah campuran lembut yang diolah untuk menampal gigi dan apabila kering ia menjadi keras dan tidak mempunyai apa-apa kesan "raksa bebas", kata penciptanya Dr. S. Radhakrishnan hari ini.

Dr. Radhakrishnan memberitahu Bernama dalam satu temu bual yang Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan melancarkan produk baru itu di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil di sini, pada 12 April.

Beliau berkata, pancalogam pergigian yang digunakan di seluruh dunia sekarang ini merupakan campuran perak-timah-tembaga bersama raksa mengikut pelbagai sukatan.

Dr. Radhakrishnan berkata, sebaliknya Silverfil terdiri daripada adunan serbuk perak dan raksa dengan serbuk perak yang digunakan itu berbeza daripada yang digunakan dalam bahan konvensional dengan ia sangat reaktif dan mengikat sepenuhnya bersama raksa yang dicampur dan ini menghalang kewujudan raksa bebas.

Penyelidikan sejak 30 tahun lepas mengesahkan wujudnya kesan raksa bebas dalam campuran perak-timah-tembaga dan raksa yang digunakan untuk menampal gigi dan raksa bebas ini boleh diserap ke dalam sistem tubuh manusia.

Walaupun demikian, persatuan-persatuan pergigian di seluruh dunia terus mengesyorkan penggunaannya kerana belum lagi ada bahan yang lebih baik sebagai penggantinya, kata beliau lagi.

Beberapa negara seperti Sweden telah menghentikan sama sekali penggunaan pancalogam dalam rawatan pergigian pada 1995 kerana saintis di negara itu percaya apabila digunakan pada wanita, kesan raksa bebas daripada si ibu boleh memasuki janin melalui plasenta dan boleh membawa kerosakan genetik pada bayi.

Jerman telah menghentikan pengeluaran pancalogam bagi rawatan gigi pada 1994, kata beliau lagi.

Dr. Radhakrishnan berkata, Silverfil, yang dibungkus dalam kapsul boleh diadun dengan mudah dan raksa itu akan terikat dengan sendiri dalam tempoh tiga saat kerana koefisien bauran yang tinggi pada campuran itu - satu ciri yang tidak terdapat dalam campuran lain.

Menurut Dr. Radhakrishnan, kajian oleh City University London dan juga Institut Sains Lanjutan Universiti Malaya mengesahkan tiada bukti kewujudan raksa bebas dalam campuran Silverfil dalam sukatan yang disyorkan.

Jelas Dr. Radhakrishnan lagi, Silverfil telah diuji dan digunakan dalam rawatan pergigian di sebuah klinik kerajaan di Kluang, Johor, klinik-klinik Kementerian Pertahanan, Jabatan Kanak-Kanak Fakulti Pergigian Universiti Malaya dan dua klinik pergigian swasta.

Teknologi proses Silverfil telah dipaten di peringkat antarabangsa dengan beberapa geran paten telah pun dikeluarkan di negara-negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, juga negara-negara Eropah, Hong Kong, Korea Selatan, Rusia, Jepun dan negara-negara Amerika Selatan.

Silverfil dikilangkan oleh Dunia Perwira Sdn. Bhd. di pusatpengeluarannya di Bukit Kemuning, Klang dan syarikat itu membekalkan pancalogam bagi rawatan pergigian kepada Kementerian Kesihatan sejak 1990.

Dr. Radhakrishnan yang juga anggota Lembaga Pengarah Dunia Perwira berkata, dengan adanya teknologi untuk mengilangkan bahan baru itu (Silverfil), syarikat berkenaan harus menumpukan pada pengilangan dan pemasaran Silverfil sebagai bahan alternatif kepada pancalogam perak-timah-tembaga yang digunakan dengan meluas.

Beliau berkata, Silverfil boleh didapati dalam bungkusan kapsul dengan setiap satu kotak mengandungi 50 kapsul.

Dr. Radhakrishnan berkata, Dunia Perwira akan memasarkan Silverfil di klinik-klinik kerajaan sementara Biotech Medical Corporation Sdn. Bhd. telah dilantik untuk memasarkan produk itu untuk kegunaan di klinik-klinik swasta di Malaysia dan juga Singapura. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi