SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 11 April 2001

Kerajaan komited majukan ICT - TPM

KUALA LUMPUR 10 April - Kerajaan komited dalam memastikan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dapat membangun secara seimbang di negara ini dengan memaksimumkan faedah dan mengurangkan kesan buruk.

Berikutan itu, kerajaan sentiasa mencari jalan memperbaiki dan membangunkan undang-undang siber yang sesuai bagi melindungi maklumat dan hak peribadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, aliran bebas maklumat melalui Internet membawa faedah besar kepada kerajaan, perniagaan dan masyarakat.

Bagaimanapun, ia membawa kesan buruk kepada kepentingan negara dari segi politik, keselamatan, ekonomi dan kebudayaan.

Kerajaan sedar perkara itu dan keperluan meningkatkan keselamatan siber pada tahap kerajaan, sektor swasta, pertubuhan dan individu, katanya dalam ucap tama pelancaran Pusat Tindak Balas Keselamatan dan Kecemasan ICT Kebangsaan (NISER), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok.

Majlis itu turut dihadiri oleh Setiausaha Majlis Teknologi Maklumat Negara, Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dunia maklumat baru tidak mempunyai sempadan dan semua negara terdedah kepada cabaran dan entiti tidak diketahui yang melangkaui wilayah geografi.

``Pendekatan tradisional dalam melindungi dan memantau kawasan tidak lagi cukup. Jadi, lebih banyak pemahaman mengenai sifat dan ciri-ciri ruang siber diperlukan,'' katanya.

Menurut Abdullah, kerajaan mengiktiraf perlunya isu keselamatan ICT ditangani melalui pembentukan Agensi Keselamatan Rangkaian dan Akreditasi Kebangsaan dan NISER yang dikendalikan MIMOS Bhd.

Tindakan itu mencerminkan komitmen negara dalam membentuk pasukan pakar bagi mengendalikan pelbagai isu keselamatan ICT memandangkan perkembangan Internet telah mendedahkan negara kepada pelbagai bentuk pencerobohan maklumat setiap hari.

Berdasarkan statistik, Malaysia mencatat 1,713 kes keselamatan siber antara Ogos 1997 hingga Mac lalu dengan purata 400 kes setahun, tegasnya.

``Statistik ini membayangkan kes keselamatan ICT tidak akan terhapus dan dijangka terus meningkat dengan tahap penggunaan komputer yang meningkat,'' tambah Abdullah.

Beliau berkata, adalah dianggarkan bagi setiap kes yang berlaku, ada 50 kes lain yang tidak dilaporkan dan 50 kes berasingan yang tidak dapat dikesan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, penguatkuasaan undang-undang siber seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Piawaian Keselamatan ICT Kebangsaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Ada kes penggodam ditangkap ketika menggodam komputer dalam talian tetapi mangsa enggan membuat laporan polis secara rasmi atas sebab-sebab peribadi, katanya.

``Rakyat Malaysia seharusnya memberikan kerjasama penuh kepada agensi penguatkuasaan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan berkesan,'' tambah beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi