SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 13 April 2001

Malaysia negara pertama pakai Kad Pintar Pelbagai Guna


SEORANG petugas JPN mempamerkan contoh Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) pada pelancaran awal KPPK di Ibu Pejabat JPN, Petaling Jaya, semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

PETALING JAYA 12 April - Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) yang memuatkan pelbagai aplikasi kerajaan dan aplikasi pembayaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, projek itu adalah satu daripada tujuh aplikasi perdana yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC).

Menurutnya, KPPK memuatkan empat aplikasi kerajaan iaitu kad pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport dan kesihatan serta beberapa aplikasi pilihan seperti MEPS-Tunai dan prasarana kekunci awam.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada majlis pelancaran awal KPPK di Ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha, Datuk Seri Aseh Che Mat dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Azizan Ayob.

Sebagai permulaan, katanya, KPP itu dikeluarkan di Lembah Klang dan akan menggantikan kad pengenalan bermutu tinggi (KPT) dan lesen memandu yang sedia ada.

Beliau berkata, bagi kawasan di luar Lembah Klang, kerajaan telah melaksanakan pengeluaran Kad Pengenalan Dengan Chip (KPTC) yang hanya memuatkan satu aplikasi sahaja iaitu kad pengenalan.

KPTC, ujarnya, boleh ditingkatkan untuk memuatkan aplikasi-aplikasi lain seperti KPPK apabila prasarana berkaitan dapat disiapkan pada pelaksanaan peringkat nasional pada 2003.

Katanya, pelaksanaan KPPK akan dibuat secara sukarela dan tidak diwajibkan seperti proses penukaran kad pengenalan bermutu tinggi pada 1990-an.

``Bagaimanapun, orang ramai perlu menukar kad pengenalan kepada KPPK atau KPTC jika timbul keperluan seperti kehilangan, kerosakan dan permohonan pertama kali pada usia 12 tahun.

``Kerajaan juga telah menetapkan kadar bayaran KPPK sebanyak RM20 dan KPTC sebanyak RM10. Kos sebenarnya ialah RM33 dan kerajaan menanggung subsidi RM13,'' katanya.

Sehingga kini, sebanyak 6,000 KPPK dan 30,000 KPTC telah dikeluarkan kepada orang ramai sejak November lalu dan dijangka 600,000 akan dikeluarkan sehingga Disember ini.

Abdullah berkata, pelaksanaan KPPK kerajaan itu akan membolehkan orang ramai menikmati kemudahan-kemudahan perkhidmatan dengan lebih sempurna.

``KPPK kerajaan akan memudahkan pengesahan identiti kita, menukar alamat atau memperbaharui lesen memandu tanpa perlu menukar kad, melalui proses pemeriksaan imigresen secara elektronik, membuat bayaran melalui aplikasi E-Cash serta lain-lain,'' ujarnya.

Katanya, kemudahan pindah turun maklumat dalam kad kepada hos yang lain akan membantu ke arah membentuk sistem pentadbiran `tanpa kertas' yang mana keperluan mengisi borang-borang maklumat diri boleh dikurangkan.

Kejayaan pelaksanaan itu juga, tambah beliau, telah menarik perhatian kerajaan Singapura untuk mempelajari pengalaman Malaysia bagi membangunkan sistem KPPK yang serupa di negara itu.

Oleh: JOHARDY IBRAHIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi