SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 13 April 2001

Memperingati manusia pertama di angkasa

BEZANYA antara Yuri Gagarin dan seluruh dunia hanya 108 minit pada 12 April 1961, masa yang diambilnya untuk menjadi angkasawan pertama membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dan memahat namanya di kemuncak angkasa.

Perjalanan itu mengubah hidup seorang anak petani menjadi ikon penting dalam abad ke-20, dan memukau dunia Barat betapa dengan segala kekurangannya, Soviet boleh melakukan apa yang hanya mampu diimpikan oleh mereka.

``Tidak banyak pencapaian yang boleh dibandingkan dengan apa yang telah dilakukan oleh Gagarin,'' kata Pavel Popovich. Beliau merupakan seorang daripada anggota pasukan enam angkasawan Soviet, dan juga sahabat Gagarin.

``Biar apa juga yang mampu dilakukan oleh manusia di angkasa, tiada yang dapat menandingi detik ketika Yuri membuat penerbangan itu ... tetapi selepas menghantar manusia pertama ke angkasa, kami tahu ada beberapa halangan yang tidak boleh diatasi,'' katanya dalam satu wawancara dengan agensi berita Reuters.

Keadaan menjadi semakin sukar 40 tahun kemudiannya apabila para pemimpin angkasa Rusia mengharungi krisis kewangan serta pelbagai keutamaan yang menghambat kemajuan dan kemudiannya memakan korban seperti stesen angkasa Mir, yang terpaksa dibawa turun bulan lepas kerana kekurangan dana.

Bagi pakar sains roket Rusia, Gagarin adalah simbol kemegahan kejayaan masa lampau, tatkala mereka meninggalkan para saintis Amerika Syarikat terpinga-pinga. Ia juga adalah obor harapan untuk masa depan.

Sebahagian daripada daya tarikan Gagarin ialah, seperti kebanyakan tokoh besar abad lepas, dia mati muda. Dia menemui ajalnya dalam satu nahas udara pada usia 34 tahun, tujuh tahun selepas melakukan penerbangan bersejarah itu.

Maka itu, untuk selama-lamanya Gagarin terus dilihat sebagai tokoh muda bersemangat waja yang menawan hati berjuta-juta manusia ketika dia mengelilingi bumi dalam satu usaha propaganda Kesatuan Soviet yang paling berjaya.

Popovich, kini 70 tahun, masih dengan keperibadian yang penuh semangat tanda karisma yang ada pada pasukan angkasawan itu, berkata, ketika kali pertama bertemu dengan Gagarin, beliau telah melihat tanda-tanda bahawa dia akan jadi manusia terbilang.

``Yuri begitu berbeza daripada kami semua. Dia sederhana, suka berkawan, periang, penuh semangat dan sifat ingin tahu. Dia manusia yang cukup baik,'' kata Popovich, angkasawan keempat ke angkasa untuk Kesatuan Soviet.

``Pernah kami, angkasawan semua ditanya siapa yang harus pertama ke angkasa dan kami semua menjawab Gagarin,'' tambahnya.

Keperibadian Gagarin memikat hati para pegawai perancang Soviet apabila mereka terpaksa memilih angkasawan yang akan memahat nama dalam sejarah menaiki kapal angkasa Vostok 1 itu.

Latar belakangnya yang sederhana meletakkannya sedikit di depan Gherman Titov, daripada keluarga intelek dan amat menggemari puisi yang dilihat terlalu borjuis untuk diangkat sebagai wira Soviet.

Titov, bertahun-tahun kemudian berkata, dia masih kecewa tetapi akur dengan pemilihan itu.

``Yuri disukai oleh semua orang tetapi tiada siapa yang boleh menyukai saya,'' kata Titov dalam satu wawancara tidak lama sebelum kematiannya tahun lalu.

Ulang tahun ke-40 penerbangan Gagarin adalah masa yang begitu penting untuk bangsa Rusia, sama seperti penerbangannya itu dulu.

Di sebuah negara yang teruk dilanda masalah ekonomi dan politik selama sedekad sejak keruntuhan Soviet, wira yang diterima oleh semua warganya seperti Gagarin tidak ramai.

Oleh itu, Rusia cuba menghidupkan semula semangat zaman itu dengan mengenangkan kembali Gagarin dengan pelbagai majlis dan pameran serta menghimpunkan sebilangan kecil anggota kumpulan angkasawan asal itu yang masih berbaki.

Keadaan di Rusia sekarang saling tidak ubah seperti 40 tahun yang lalu, ketika luka Perang Dunia Kedua dan penyingkiran diktator Joseph Stalin masih belum sembuh.

Gagarin yang kacak, bijak dan sangat merendah diri adalah tokoh yang cukup sempurna untuk menyatukan semula bangsa Rusia dan menggerakkan mereka untuk membina masa depan yang sewajarnya.

Ketika di luar negara, Gagarin menghapuskan pandangan bongkak Barat tentang Soviet yang mundur apabila para pemuzik, tokoh politik dan bintang filem berebut-rebut menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.

Satu peristiwa yang sempat dirakamkan pada sekeping gambar yang cukup terkenal, pelakon wanita Gina Lollobrigida meloloskan diri daripada khalayak ramai dan mencium pipi Gagarin, saat yang sangat-sangat diidamkannya.

``Tiada wira lain lagi sepertinya sebelum ini, dan selama-lamanya,'' kata Dasha, seorang kanak-kanak perempuan 13 tahun.

``Hari ini kami tiada sesiapa yang boleh dijadikan wira tetapi Yuri Gagarin adalah seorang wira yang akan sentiasa kami kenang,'' katanya yang ditemui ketika melawat sebuah muzium di Moscow yang menempatkan banyak khazanah penerbangan Gagarin itu.

Pihak berkuasa Soviet selalu merungut tentang tabiat minumnya dan cerita-cerita perselingkuhannya yang harus disembunyikan, termasuk cerita bagaimana pernah sekali dia ditangkap oleh isterinya ketika sedang tidur dengan seorang wanita lain. Dia terjun dari balkoni hotel itu dan tercedera.

Namun semua masalah itu tidak pernah mencemarkan imej Gagarin.

Yuri Biryukov, seorang jurutera yang membantu membina kapsul yang dinaiki oleh Gagarin berkata, beliau tidak pernah berhenti mengagumi angkasawan dan manusia yang memulakan lonjakan dunia ke angkasa lepas itu.

``Bagi kami semua, mereka seperti wira agung, terlalu agung. Pada masa itu, kami sudah tahu Gagarin sedang memahat sejarah. Mungkin ketika itu kami lebih faham daripada Gagarin kesan apa yang hendak dilakukannya itu,'' kata Biryukov.

``Kami tidak akan lupa bahawa kami adalah sebuah negara yang merintis jalan ke angkasa lepas,'' tambahnya. ``Kami tidak akan lupa Gagarin adalah manusia yang menunjukkan kepada dunia kami mampu melakukannya.'' - Reuters

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi