SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 14 April 2001

Gaya hidup canggih dengan TV interaktif

Oleh:KU SEMAN KU HUSSAIN (Yang melawat Cannes, Perancis baru-baru ini)
SEJAUH manakah penjadualan program TV menepati selera dan menu sosial kita sebagai penonton? Penjadualan program TV tradisional yang ditentukan oleh stesen TV kini telah mendepani cabaran sengit revolusi digital dalam industri penyiaran.

Penjadualan secara tradisional atau siaran TV terrestrial dilihat tidak menepati keperluan masyarakat moden dan mereka yang berada dalam kerjaya yang sibuk. Revolusi pada era digital telah melahirkan teknologi yang mampu mengubah peranan TV supaya selari dengan keperluan hidup dan tuntutan konsumerisme masa kini.

Teknologi digital telah melahirkan media baru yang lebih toleran dengan pengguna. Media baru atau format siaran TV interaktif kini menjadi keperluan dalam gaya hidup baru di beberapa negara maju. Media baru ini mewujudkan interaksi dua hala antara media TV dengan pengguna.

Oleh kerana itu tidak hairanlah kalau TV interaktif kini dilihat sebagai alat penting dalam sektor pengiklanan di samping menepati selera pengguna media tanpa perlu dikongkong oleh jadual program yang rigid dan tiada toleran.

Tradisi format TV terrestrial memaksa pengguna media (penonton) memastikan masa mereka tidak diganggu semasa program yang digemari ke udara. Apabila terlepas menonton sesuatu program menarik, penonton tidak akan berpeluang mengulang siar dan terpaksa menunggu siaran ulangan. Itu pun penonton terpaksa mengikut masa yang ditetapkan oleh stesen TV.

Maknanya TV terrestrial tidak mewujudkan interaksi dua hala antara pengguna dengan media. Selain terpaksa mengatur menu sosial harian mengikut jadual program TV, format siaran begini dilihat sebagai tidak demokratik dari segi konsumerisme. Waktu berita, laporan sukan atau program hiburan dikelaskan mengikut suara majoriti.

Ini membuatkan ada kalangan pengguna yang menjadi mangsa kepada suara terbanyak yang mahu sesebuah program pada waktu tertentu.

Budaya menonton TV di negara ini misalnya tidak memberikan pilihan kepada penonton. Sebaliknya siaran TV terrestrial membuatkan penonton terpaksa menonton bahan yang bukan selera mereka. Apabila rutin hidup menjadi sibuk, format siaran TV yang ada sekarang dianggap sudah tidak mesra atau tidak memahami keperluan penonton.

Melihat jauh ke depan, pada pertengahan 1990-an, syarikat gergasi media seperti Time Warner membuat percubaan mewujudkan sistem TV interaktif. Sistem ini dianggap sebagai zaman baru bagi TV. Percubaan ini terbantut kerana ledakan Internet.

Tetapi gagasan TV interaktif tidak terus mati, sebaliknya generasi baru syarikat media terus membawa TV interaktif ke alam realiti.

Biarpun budaya menonton media baru iaitu TV interaktif belum wujud di negara ini tetapi di beberapa negara di Eropah dan Amerika, TV interaktif telah berada dalam arus perdana apabila mampu memenuhi keperluan manusia yang sibuk dalam kerjaya zaman moden.

Apakah stesen TV masih mampu memaksa penonton meluangkan masa yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain bagi menonton TV?

Persoalan ini antara yang hangat dibahaskan di sepanjang empat hari forum mengenai siaran TV interaktif di Pasar Program TV Antarabangsa (MIPTV) 2001 di Cannes, Perancis baru-baru ini.

Tahun ini MIPTV melangkah jauh ke depan dengan mengupas peluang, keperluan, cabaran dan teknologi terkini untuk memenuhi tuntutan TV interaktif. MIPTV melihat industri penyiaran di Jerman sebagai model kejayaan siaran TV interaktif menerusi konsortium penerbit program TV, RTL Group. Industri penyiaran Jerman dianggap yang paling berjaya dan berpengaruh di luar Amerika.

Forum empat hari di Cannes itu membuktikan satu budaya menonton yang baru telah wujud dan berada pada arus perdana. Ketua Pegawai Eksekutif RTL Group, Didier Bellens yakin dengan gaya hidup baru dan keperluan siaran TV interaktif memenuhi tuntutan sosial dalam masyarakat moden.

RTL Group adalah konsortium yang lahir daripada penggabungan syarikat penerbit program TV terbesar, Pearson Television, Audiofina dan CTL-UFA pada Julai tahun lalu. Kini sebanyak 204 program terbitan Pearson Television sedang ditayangkan di 33 buah negara.

Penerokaan RTL Group dalam siaran TV interaktif yang kini mempunyai kepentingan dalam 24 saluran TV, 17 stesen radio di 11 negara memperlihatkan media baru ini menjadi pilihan utama di seluruh dunia.

Menurut Didier Bellens, teknologi Internet menjadi pemangkin kepada RTL Group menggerakkan TV interaktif sebagai media baru yang memenuhi keperluan zaman. Ini kerana RTL Group sendiri mempunyai 85 laman web dan kebanyakan mempunyai hubungan dengan saluran dan program TV. Bayangkan dengan kejayaan mencatatkan empat juta pelawat laman web setiap bulan, RTL Group kini muncul sebagai wadah hiburan secara online yang terkemuka di Eropah.

``Media baru mengubah sikap penonton yang pasif menjadi interaktif terhadap media dan mempunyai kuasa memilih sesuai dengan keperluan sosial zaman moden,'' tegas Bellens semasa menyampaikan ucaptama di forum MIPTV di Cannes.

Bagaimanapun Bellens menolak tanggapan yang mengatakan TV interaktif sebagai revolusi dalam industri penyiaran sebaliknya evolusi yang tetap memanfaatkan program dalam bentuk tradisional.

Kewujudan TV interaktif dalam arus perdana penyiaran di Eropah sebenarnya telah dibahaskan sejak MIPTV 1999, dan juga pada MIPTV tahun lalu. Tahun ini fokus tentang TV interaktif kelihatan sangat ketara dengan mencatatkan 15 peratus daripada syarikat penerbitan program TV yang melibatkan diri dalam kegiatan TV interaktif.

Selain memberikan kemudahan memilih program yang digemari, TV interaktif juga memberi kelebihan kepada pengguna untuk mengambil bahagian dalam program-program yang berkonsep permainan di kaca TV.

Perkembangan yang sama juga dicatatkan di Amerika Syarikat di mana penggabungan America Online (AOL) dan Time Warner telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) untuk menceburi TV interaktif. AOL sebagai perkhidmatan Internet terbesar mewujudkan produk untuk TV interaktif yang dikenali sebagai AOLTV.

Di Amerika Syarikat, statistik menunjukkan 80 peratus pelanggan kabel digital dan 55 peratus pengguna kabel analog menerima kemunculan TV interaktif. Kaji selidik yang dibuat oleh Persekutuan Kabel & Komunikasi (C&TAM) mendapati pengguna yang prointeraktif cenderung kepada perkhidmatan seperti video peribadi, video berdasarkan permintaan dan akses Internet.

Sementara Pengarah Urusan Pittard Sulvivan, syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pemasaran dan komunikasi, Brian Seth Hurst yakin dengan masa depan siaran TV interaktif.

``Masa depan TV interaktif cerah tetapi pengisian perlu relevan dengan tuntutan pengguna,'' ujar Hurst.

Di Amerika, pengiklanan menerusi TV interaktif meningkat daripada AS$9 juta (RM34.2 juta tahun 1999) kepada AS$42 juta (RM159.6 juta) tahun ini. Malah dijangka angka itu akan menjulang hingga AS$525 juta (RM2.015 juta) pada tahun 2004.

Sebenarnya kita juga menghampiri realiti era digital TV interaktif apabila anak syarikat Eurofine Sdn. Bhd., Network Guidance akan membuat siaran percubaan di Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Eurofine Sdn. Bhd., Ida Rahayu Mohd. Nor memberitahu, TV interaktif itu akan memulakan siaran pada 1 Januari 2002 di Lembah Klang.

``Biarpun TV interaktif suatu yang baru tetapi saya yakin dengan gelombang perubahan di luar negara, siaran begini akan menjadi gaya hidup baru di negara ini,'' ujar Ida Rahayu. Keyakinannya bertambah kuat apabila MIPTV tahun ini memberi fokus kepada TV interaktif; cabaran, masa depan dan peluang perkembangannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi