SAINS DAN TEKNOLOGI

Mingguan Malaysia 15 April 2001

Data hilang, Ketua Trafik gagal baharui lesen

PULAU PINANG 14 April - Ketua Trafik Negeri, Deputi Supritendan Ahmad Shamsuri Ahmad Mukri, terkejut besar apabila diberitahu beliau tidak boleh memperbaharui lesen memandunya kerana data peribadi lesennya tiada dalam sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahmad Shamsuri berkata, berikutan kehilangan rekod itu, beliau bukan sahaja tidak dapat membaharui lesen memandu malah terpaksa memiliki lesen memandu yang telah tamat tempoh.

Beliau hairan bagaimana rekod lesen memandunya tiada dalam sistem komputer JPJ sedangkan beliau memiliki lesen memandu sejak 1973.

Kata Ahmad Shamsuri, beliau pada mulanya cuba memperbaharui lesen di pejabat pos tetapi diberitahu bahawa ia tidak boleh dilakukan kerana maklumat dirinya tidak terdapat dalam sistem mereka.

Beliau kemudian ke JPJ, Batu Uban, semalam dan diberitahu lesen memandu beliau yang tamat tempoh pada 30 Mac lalu tidak dapat diperbaharui kerana data peribadi lesennya tiada dalam sistem komputer JPJ.

``Saya tidak tahu bagaimana maklumat itu boleh hilang kerana setiap tahun selama 27 tahun saya tidak menghadapi masalah untuk memperbaharui lesen, tetapi pada tahun ini saya tidak boleh berbuat demikian.

``Walaupun saya sebagai Pegawai Trafik Negeri, kedudukan saya sama seperti orang lain di sisi undang-undang dan dikira melakukan kesalahan jika memandu dengan lesen memandu yang tamat tempoh,'' katanya kepada Mingguan ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta JPJ menjalankan siasatan berhubung kejadian itu agar ia tidak berulang lagi kerana perkara tersebut boleh menyulitkan orang awam yang mungkin disaman oleh polis atau JPJ kerana memiliki lesen yang tamat tempoh.

Tegasnya, pihak berkuasa seperti polis dan JPJ tidak akan menerima alasan yang diberikan oleh pemilik lesen memandu bahawa lesen mereka tidak boleh diperbaharui kerana rekod peribadi mereka hilang dalam simpanan JPJ.

``Jika perkara ini terjadi kepada orang awam, ini akan menyusahkan kerana mereka tidak dapat menunjukkan bukti yang sah bahawa data lesen memandu mereka hilang daripada sistem komputer JPJ.

``Saya sendiri pun tidak berani memandu kereta kerana memiliki lesen yang tamat tempoh, selain salah di sisi undang-undang saya juga tidak dilindungi oleh insurans,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi