SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 16 April 2001

Ketua Trafik Negeri diminta hantar surat kepada JPJ

PULAU PINANG 15 April - Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Ahmad Shamsuri Ahmad Mukri diminta menghantar surat kepada Bahagian Perlesenan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berkaitan kegagalan beliau memperbaharui lesen memandunya.

Pegawai Perhubungan Awam JPJ, K. Balakhrisnan berkata, surat daripada ketua trafik itu perlu bagi jabatan berkenaan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut mengenai kehilangan maklumat lesen memandu beliau dalam sistem komputer jabatan itu.

"Jabatan perlu mengenal pasti beberapa perkara terlebih dahulu seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor siri lesen memandu, tempat ia dikeluarkan dan beberapa perkara lain bagi memudahkan siasatan dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan bahawa ketua polis trafik negeri itu gagal memperbaharui lesen memandunya kerana data peribadi lesennya tiada dalam sistem komputer JPJ.

Beliau yang telah memiliki lesen memandunya sejak tahun 1973 tidak pernah menghadapi kesukaran untuk memperbaharui lesen memandu sebelum ini bagaimanpun gagal memperbaharuinya baru-baru ini.

Lesen memandu Ahmad Shamsuri telah tamat tempohnya pada 30 Mac lalu. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi