SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 20 April 2001

Melayu ditindas jika abai revolusi maklumat


DR. Mahathir Mohamad dikenakan pakaian Diraja Nigeria sebagai tanda hormat oleh pengerusi penganjur Dialog Kepimpinan dan Intelektual Afrika Muda, Brima Sylla (kiri) dan rakannya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

GENTING HIGHLANDS 19 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa jika mereka terlepas peluang dari revolusi maklumat yang sedang berkembang sekarang ini, mereka tidak mungkin akan dapat mengejar kemajuan lagi.

Menurut Perdana Menteri, jika peluang itu terlepas, orang Melayu akan terus ditindas, ditakluk dan dijajah oleh bangsa-bangsa lain yang akan menguasai teknologi dan maklumat alaf baru ini.

``Orang Islam telah terlepas peluang Revolusi Perindustrian. Janganlah orang Melayu di Malaysia sengaja melepaskan peluang dari revolusi maklumat.

``Jika kita terlepas kali ini, tidak mungkin lagi kita dapat mengejar kemajuan,'' katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Perdana Pendidikan Kebangsaan di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.

Justeru kata Dr. Mahathir, pendidik memainkan peranan yang amat penting ke arah membentuk budaya yang sesuai bagi mencapai Wawasan 2020.

Katanya, kesanggupan generasi yang akan berusaha ke arah Wawasan 2020 bergantung kepada budaya yang dibentuk oleh pendidikan semasa.

``Sesungguhnya Wawasan 2020 banyak bergantung kepada kualiti rakyat hasil daripada pendidikan mereka,'' katanya.

Bagi pihak kerajaan, katanya, usaha sentiasa dipacu untuk membekalkan negara dengan kepimpinan pendidikan yang berkemampuan dan dalam masa yang sama, diharapkan tidak ada sesiapa yang akan mengganggu usaha murni kerajaan itu dengan menganggapnya sebagai sekular.

Dr. Mahathir menegaskan, perbezaan antara kemajuan bangsa-bangsa di dunia ini berpunca daripada nilai-nilai dan budaya hidup yang diamalkan.

``Di Malaysia, budaya Melayu dan Cina amat ketara perbezaannya. Sementara budaya Cina memberi penghargaan yang amat tinggi kepada penguasaan ilmu pengetahuan, budaya Melayu tidak begitu menghargai ilmu,'' katanya.

Justeru kata Perdana Menteri, prestasi anak Melayu dan anak Cina berbeza secara ketara tetapi ia bukannya kerana anak Melayu mempunyai otak yang kurang baik.

Beliau turut menggariskan salah satu punca kelemahan orang Melayu ialah tidak menjadikan nilai hidup yang dianjurkan oleh Islam sebagai amalan.

``Penuntut Melayu tidak pun belajar dengan bersungguh-sungguh setelah menerima pelbagai jenis bantuan dan kemudahan. Sebab itu kita bermasalah untuk memasukkan 55 peratus anak Melayu ke universiti kerana kelulusan yang tidak cukup tinggi,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, perbezaan budaya antara Cina dan Melayu itu juga menjadi punca yang menyebabkan Dasar Ekonomi Baru sukar dicapai.

Sehubungan itu, beliau menggesa nilai hidup dan budaya yang menghalang pencapaian kemajuan dikikis bagi mengimbangi prestasi kaum-kaum di Malaysia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi